Buka dompet keluar nyamuk

Assalamualaikum semua dan admin. Terima kasih sudi siarkan confession ini yang tidak lah seberapa tetapi rasanya boleh mewakili hati banyak pihak.

Merujuk kepada subjek di atas kalian pasti sudah boleh mengagak apa topiknya. Ya 10 markah buat anda! Syabas. Topiknya ialah fulus aka duit. Duit tak boleh dibawa mati, tetapi tak ada duit anak yang sedang kelaparan mahupun kesakitan boleh mati.

Anda pernah tak hadapi situasi di mana, saat anda buka dompet, bukanlah kelibat sang merah atau biru kehijauan yang muncul. Tetapi kelihatan beberapa ekor nyamuk berterbangan melarikan diri. Lantas membuatkan hati anda terjelepuk jatuh seperti mahu menyorok dalam peti ais buat selamanya. Ya aku pernah hadapinya. Bukan sekali, tetapi banyak kali. Andai aku ini tidak mempunyai rasa tanggugjawab dan iman, sudah lama aku pos diri sendiri ke benua antartika. Biar aku mati di sana bersama pingu yang jalan kengkang. Sedihnya aku rasa bila mana gaji yang pada mulanya tersergam segak persis Leonardo Dicaprio, berubah menjadi si bongkok sekelip mata.

Usai mendapat gaji, perkara pertama perlu dibayar haruslah ansuran kereta. Terlewat sedikit hatta 2.5 saat sekalipun, pastinya cilanat bertopengkan kemeja dan tie mengenakan bunga tambahan. Ya aku pernah kena, gara-gara terlupa memasukkan baki lagi 20ringgit, pihak bank tidak dapat memotong ansuran secara auto lalu mendenda aku 60ringgit. Tahik ayam punya perangai.
“Kenapa pakai kereta kalau dah tahu gaji ciput?” soalan cepumas ini seringkali muncul buat rakyat marhaen seperti aku. Jawapannya haruslah begini. “Dah tu kalau mak ayah aku nak ke pasar ke , mak ayah aku sakit ke, bini aku nak beranak ke, aku nak bawak diorang naik moto jugak ? Ke kau nak aku call si botak tu tolong pinjamkan jet beliau ?” Aku ni bukannya spesis macam kau. Tergamak biar orang tua sendiri terkedek-kedek naik bas ke hulur ke hilir. Kereta pun tidak lah mahal mana. Mahal lagi seluar jeans Guess original.

Settle kereta, misi mencari barang dapur. Aku nak tanya korang, berapa banyak barang yang korang boleh beli dengan RM100 ? Siapa boleh jawab dengan maksima akan daku hadiahkan keropok mamee satu! Kalau aku, boleh beli beras 10kg, gula 3kg,minyak 2kg (minyak dalam plastik), bawang merah, sabun mandi, ubat gigi, garam, rempah ratus, biskut kering, sabun baju, sabun basuh pinggan dan macam2 lagi. TETAPI, itu semua mampu bertahan dalam 2minggu sahaja bagi rumah yang berisi 5,6 orang macam rumah aku. Haruslah diingat, RM100 itu belum masuk lagi bahan mentah macam ayam , ikan, telur, sayur. Sekarang pulak ayam mahal mengalahkan kasut timberland! Tahik betul. Manusia yang kawal ayam ke, ayam yang kawal manusia sekarang ni?

Waktu ni mulai stress. Bil elektrik dan bil air. Walaupun berkongsi sesama isi rumah tapi beban itu tetap ada. Aku selalu berfikir, alangkah bagus kalau aku mempunyai kuasa kilat bak X Men. Jana sendiri je elektrik rumah aku. Tetapi itu semua tahyul di siang hari yang tak mungkin menjadi hakiki.

Duit belanja harian ke kerja aku pecahkan siap2 RM100 bersamaan sehari aku cuma bawak RM5 sahaja ke kerja. Boleh anda bayangkan? Aku rasa aku ini sudah sama level dengan budak sekolah. Aje gile bawak 5rgt tetapi itulah kebenarannya. Duit itu lah aku gunakan untuk minyak motor dan sarapan. Tengah hari aku pulang ke rumah biarpun jaraknya 25km sehala. Tak percaya? Terpulang… Tatkala berlaku kejadian paling tak seronok yakni tayar pecah, berhuhuhu lah aku di jalanan. Kulit aku yang dahulunya putih seputih bini Bung Mokhtar, kini menjadi gelap. Andai aku berdiri sebelah Martial, pasti kalian tidak dapat bezakan kami kerana skil aku bermain jugak sama dengan beliau.

Nafkah bini. Aku bagi, tapi bukan dalam bentuk tunai. Tetapi aku tunaikan apa yang beliau mahu contohnya tudung, makanan, baju, dan apa-apa sajalah yang beliau mintak. Beliau pun tak merungut, ikut saja kata kekanda hatinya ini. Sekali sekala ada juga beliau ‘rebel’ bila tak dapat kek Resepi Rahsia tapi jejaka macho ni bijak memainkan kata-kata pujukan. Beliau tewas. Syukur alhamdulillah, setakat ni belum pernah lagi beliau minta cincin 3juta. Sayang beliau ketat2. Huhu

Aku tinggal sekali dengan ibuku, jadi rumah tidak perlu bayar. Tapi dengan gaji yang seciput bulu hidung ni, aku tak berdaya. Aku juga manusia biasa yang ada kehendak. Aku juga ingin internet, ingin makan udang besar, ingin jalan-jalan, ingin rumah sendiri, ingin ke Mekah satu hari kelak. Tetapi rezekiku sekadar ini. Nak sesuatu, harus lah berkorban sesuatu. Aku sedar, ramai lagi yang lebih susah daripada aku. Ramai lagi yang ikat perut gara-gara tak punya wang. Banyak mulut-mulut anak kecil di luar sana yang tidak tersuap. Banyak saudara-saudara yang sakit dan perlukan rawatan namun tiada apa yang percuma di dunia ini.

Aku ingin sekali membantu, tetapi diriku jua terkekang. Aku hanya mampu selitkan sedikit wang ke dalam tabung masjid, tabung syria dan gaza, ke dalam cawan tadahan saudara susah di pasar malam dan hulurkan sekeping dua buat makcik jual kerepek di depan bank serta sedikit jamahan buat si misai comel yang menyendeng ke kaki. Kerana aku juga kesempitan. Aku juga punyai perut-perut di rumah yang perlu diisi. Biarpun tidak banyak, aku usahakan supaya konsisten sedekah aku buat si susah.

Aku selalu terfikir, bagaimana agaknya hidup orang yg punyai anak ramai, gaji pula tak sampai seribu, dengan keperluan sekolah, yuran sekolah, makan minum, sakit demam, anak yang oku, Allahu.. Sebak hati ni. Sebak berganda bila memikirkan aku tak mampu berbuat apa2 untuk membantu melainkan mengeluarkan zakat. Lebih sebak, apabila pihak yang boleh berbuat sesuatu hanya berpeluk tubuh dan menjaja janji itu ini. Aku tak mahu menuding jari. Tetapi semua ada mata, ada telinga. Yang tiada otak sahaja tak mampu berfikir persis lembu. Bahkan lembu yang kononnya bodoh itu pun berguna. Dagingnya boleh dimakan, tulangnya dibuat sup, kulitnya boleh dibuat hiasan atau alat muzik bahkan otaknya pun boleh dimakan! Tetapi kau? Kau kalau bodoh boleh buat apa? Hanya duduk depan tv pukul 8 sajalah.

” Tu lah dulu taknak belajar pandai2 sekarang nak merungut kerja gaji taksedap,” ayat ni memang klise. Ya aku menyesal tak belajar bersungguh-sungguh dulu. Ya memang aku menyesal tak belajar sampai jadi doktor. Aku memang bodoh. Tapi relevankah ayat tu dituju buat makcik pakcik yang menyara hidup anak-anak dengan menoreh getah? Menangkap ikan? Menjual sayur di pasar? Relevan kah ayat itu di soal kepada si isteri yang terpaksa kahwin awal kerana mahu ringankan beban mak ayah yang perlu menyara anak-anak yang masih ramai? Ataupun, dituju buat si ibu tunggal beranak enam yang kematian suami? Relevankah aku tanya dikau wahai mangkuk sakti.

Maaf coretan ku agak panjang. Aku cuma mahu meluahkan apa yang terbuku di dada. Dada yang kian sempit dihimpit tekanan hidup. Syukur? Ya aku bersyukur masih dikurniakan kudrat yang sihat. Aku bersyukur aku belum pernah lagi tidak makan 2 hari. Aku bersyukur aku tidak dilahirkan sebagai anak malang di Somalia mahupun mangsa penindasan di Syria. Aku bersyukur Malaysia masih aman! Tetapi ‘syukur’ bukan lah satu tiket untuk manusia terus diperbodoh dan diperkotak katikkan.

Kalau aku ludah kepala kau, bersyukur lah aku tak pijak kepala kau. Kalau aku pijak kepala kau, bersyukur lah aku tak pancung kepala kau.

Sampai bila semua ni akan berlarutan. Yang bilis terus menjadi bilis. Yang jerung terus menjadi jerung si pelahap. Aku harap, tidak lama lagi kita akan merdeka. Merdeka sebenar-benarnya. Merdeka daripada jajahan bangsa sendiri.

Salam.

Selingan : Tanah Melayu ini kaya dan hebat. Kalau tidak buat apa kuasa asing susah-susah datang sini suatu masa dahulu. Baik diorang balik duduk korek hidung kat negara sendiri sambil main salji.

– Hang Kebun

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit