Abang Yang Gagal

Assalamualaikum pembaca semua. Tiada apa lah sangat yang hendak diluahkan. Cuma sekadar perasaan kesedihan dan kerisauan yang dipendam sebagai seorang abang dan anak lelaki.

Aku merupakan anak lelaki sulung dan mempunyai adik lelaki dan adik perempuan yang masih muda remaja. Jauh jarak umur denganku dalam 7 ke 8 tahun. Emak dan bapakku alhamdulillah masih sihat.

Jujurnya aku sebenarnya sangat risau dengan keadaan keluarga aku. Kami dari kecil memang tidak terlalu ditegaskan sangat tentang solat dan aurat. Bab puasa alhamdulillah tiada masalah. 

Tudung tu dipakai jika ada ke majlis majlis atau pergi berjalan jalan. Kalau setakat buang sampah, menyapu laman atau ke kedai runcit memang emakku biasa tidak menutup aurat dengan sempurna.

Bab solat pulak, kalau di rumah, emak dan bapak aku memang akan tegur kami untuk solat tetapi jika kami berada di luar seperti di shopping mall atau di jalan raya, bapak aku tiada pula mengajak kami untuk solat.

Kerana didikan begini, bila dewasa, kami jadi macam tiada rasa bersalah atau berdosa kerana tidak menjaga dua hal ini.

Sehinggalah aku menyambung pelajaran selepas spm, sebilik dengan roomate yang menjaga hal solat dan aurat, jadi segan sendiri dan kadang kadang join kuliah maghrib di surau kolej kediaman kami, dia banyak menasihati aku,

Lama lama hati aku jadi sayu, sejak itu aku mula berubah menjaga solat 5 waktu. Dah tak pakai short pants. Doakan semoga aku istiqomah yaa.

Semakin aku meningkat dewasa, dan adik adik aku jugak semakin membesar. Adik adik aku ketika kecilnya sangat manja dengan aku. Kerana aku yang banyak menjaga mereka ketika emak dan bapak aku bekerja.

Kini, aku sudah bekerja dan tidak duduk sebumbung lagi dengan mereka. Emak dan bapak aku juga semakin berumur. Tapi bab solat dan aurat masih sama. Tidak terjaga.

Ketika adik perempuan aku mula acuh tidak acuh dalam bertudung, aku ada juga menegurnya. Tapi mungkin sebab emak aku pun kadangkala bertudung kadangkala tidak, aku diamkan.

Tetapi ada satu peristiwa ini membuatkan aku rasa sedih. Rasa gagal menjaga adik aku.

Ketika itu, aku membawa keluarga aku pergi bercuti di kawasan pantai. Aku sangat terkejut bila tengok adik aku memakai baju renang yang lagaknya seperti baju perenang olimpik.

Sebegitu teruk ke tahap kebebasan aurat adik aku selama ini. Dan aku tak sedar semua tu sebab aku duduk berjauhan dan jarang berada di rumah.

Aku terus menegur adik aku untuk tukar baju lain. Dan dia jawab, mak dengan bapak tak cakap apa pun selama ni bila dia pakai macam tu. Aku terus terkaku.

Ya sebenarnya aku juga sedih dengan sikap emak dan bapak aku. Bab keprihatinan tentang aurat ni memang kurang. Tapi takkan la sampai dah berpakaian begitu terbuka pun emak dan bapak aku masih biarkan.

Pernah juga dahulu aku tegur kenapa tindik hidung dan lidah. Dibalasnya trend sekarang. Aku tanya emak dan bapak kenapa tak ditegur perbuatan adik. Katanya sudah di tegur tapi adik buat juga.

Kenapa emak dan bapak tak bertegasssss. Sumpah aku sedih. Sepanjang percutian tu aku banyak termenung. Silap aku ke kerana duduk berjauhan dari mereka.

Ubah diri sendiri itu memang mudah kerana itu keinginan diri kita. Tapi untuk ubah orang lain itu tersangatlah susah.

Untuk menegur emak dan bapak sendiri pun tidak terkeluar kata kata. Aku pendam. Tapi lama kelamaan hati aku jadi sakit. Sakit sebab tak mampu nak ubah keluarga aku.

Bila kita mendalami agama yang sebenarnya, rupanya begini beratnya tanggungan seorang anak lelaki dan seorang abang.

Aku teringin nak melihat ibu dan adik perempuan aku betul betul menjaga aurat mereka. Bukan menutup aurat kerana “ikut suasana”.

Entah lah. Makin lama makin sedih makin sayu hati aku. Aku sayang keluarga aku. Aku selalu berdoa untuk mereka. Aku rasa gagalnya aku sebagai abang kerana tak mampu menjaga adik adik aku.

Mohon pembaca semua doakan semoga Allah bukakan hati keluarga aku untuk sama sama berubah menutup aurat dan menjaga solat.

Sesungguhnya bukanlah aku mahu membuka aib keluarga aku cuma aku sedih hati aku terlalu sedih melihat keadaan sekarang. Dan aku tak nak kami sia siakan baki hayat yang ada.

– Abu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *