Salam sejahtera,
Aku Kamelia, yang kini telah lebih 4 tahun perkahwinan. Sedikit luahan dari aku sebagai seorang isteri kerana baru baru ini ternampak post di meds yang pandang enteng terhadap isteri membebel & kerja kerja rumah.
Suami ku juga ada mengulas topik ini dan mengatakan isteri suka melebih lebih. Harap dapat terjentik ke hati suamiku jika dia terbaca penulisan ini.
Kepada suami,
Kamu sering mengatakan isteri suka membebel walaupun atas sebab yang remeh. Tetapi adakah kamu pernah ambil cakna APAKAH sebab yang dikatakan remeh tersebut, dan KENAPA “sebab remeh” tersebut dibesar besarkan?
Sekiranya tidak pernah, mungkin bebelan isterimu itu terjadi kerana sikap tidak cakna oleh mu.
Sebagai manusia, setiap orang mempunyai perkara yang suka dan tidak suka dan apabila berkahwin perlu lah saling melengkapi dan bertimbang rasa.
Jika suami tidak suka, isteri akan elakkan mengulangi dan sekiranya suami suka maka isteri akan berusaha melakukan dengan lebih baik. Begitu juga lah harapan seorang isteri kepada suaminya.
Jika sudah terang terangan isterimu tidak suka akan sesuatu perkara, berusahalah untuk tidak melakukannya. Bukan dengan alasan “LUPA”. Dan menyalahkan isteri kerana selalu membebel.
Untuk pengetahuanmu, inilah salah satu punca isterimu penat.. Penat mata untuk melihat, penat mental untuk tenangkan hati & fikiran dan juga penat untuk bebel walaupun tahu dirimu tidak endahkan bebelan tersebut.
Bertimbang rasa… kami juga penat membebel. Bebelan kami adalah untuk menyatakan kami tidak suka, dan tolong jangan melakukannya lagi. Sekiranya berulang, kami penat.
Prihatinlah kepada fizikal, mental & hati isterimu..
Kepada suami,
Kamu sering mengatakan kamu penat bekerja dan kewangan tidak mengizinkan. Oleh itu isteri sanggup menggalas sedikit tanggungjawab kamu untuk menyara keluarga.
Tetapi adakah kamu pernah ambil cakna akan tanggungjawab isteri pula iaitu kerja kerja rumah?
Kadang kadang kamu memberitahu tak pandai buat kerja rumah mungkin kerana tiada didikan sebelum berkahwin.
Tetapi adakah kamu pernah terfikir, adakah isterimu handal semua perkara tentang hal kerja rumah sedangkan ini adalah perkahwinan kali pertama bagi kita suami isteri?
Jika isteri perlu belajar kendalikan kerja kerja rumah, kenapa kamu tidak perlu belajar? Adakah jika tidak pandai, perlu tidak pandai selamanya, tiada jalan penyelesaian dan biarkan isteri yang melakukan semuanya.
Jika isteri mampu mengambil sedikit tanggungjawabmu, kenapa kamu tidak mampu mengambil sedikit tanggungjawabnya? lemahkah kamu?
Prihatinlah kepada fizikal, mental & hati isterimu..
Kepada suami,
Kamu sering mengatakan kamu hanya melakukan apa yang disuruh. Tetapi mengapa tidak ditambah dengan lojik akal yang dikurniakan Allah?
Contohnya.. nampak baju siap cuci dan lembap dalam bakul, kenapa tidak dijemur? Nampak pinggan bertimbun di sinki, kenapa tidak dicuci?
Nampak sisa makanan dilantai dan ada semut, kenapa tidak dibersihkan?
Semua ini adalah lojik akal manusia, manusiakah kamu jika hanya menggunakan alasan “tiada arahan dari isteri”. berusahalah untuk gunakan akalmu yang waras.
Adakah isterimu robot yang boleh melakukan semuanya tanpa penat?
Prihatinlah kepada fizikal, mental & hati isterimu..
Kepada suami,
Tahulah bahawa kamu ialah ketua keluarga dan role model kepada anak anakmu.
Jika baik contoh yang ditunjukkan, maka baiklah tutur laku dan kata anak mu (dengan izin-Nya).
Maka kuatkan lah imanmu, berusahalah perbaiki hubungan mu dengan Allah, cukupkanlah solat wajib. Semoga menjadi contoh yang baik untuk keluargamu.
Sekian luahan seorang isteri.
– Kamelia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit