Ini bukan pertama kali aku dimarah dihadapan orang ramai termasuk di hadapan keluarga. Hari ini di kedai makan di hadapan ibu dan anak-anakku.
Walaupun sudah sebati air mata tetap jatuh. Sungguh maruah aku sebagai isteri wanita dan ibu dipijak-pijak oleh lelaki yang kupilih untuk menjadi imamku.
Aku pilih dia sebagai suami kerana latar belakang yang ada pegangan agama dari keluarga yang baik-baik tapi itu cuma pada luaran sahaja.
Caci maki untuk aku dan anak-anak sudah biasa menjadi zikirnya. Marah hingga habis dilempar kerusi di ruang makan rumahku kerana aku lupa menutup pili air. Habis dimaki hamun aku dan anak-anak.
Belum lagi anak-anak membuat silap, habis dijerkahnya.
Jika dilihat dari luaran dia la lelaki paling baik. Walaupun hanya aku, anak-anak dan ibu ku sahaja tahu.
Punca hari ini, aku tidak bersedia menerima tetamu iaitu adik beradik dia yang sudah lama tidak pulang ke kampung.
Aku bukan sengaja menolak, aku penat dan lelah, tenagaku sudah habis.
Aku kini bekerja tidak menentu termasuk jumaat sabtu, sementelah lagi kini aku mengetuai unit yang sangat sibuk.
Pada setiap ruang cuti ku, aku ingin berehat, ingin baring. Kebetulan terdapat cuti panjang aku mengambil kesempatan untuk bercuti balik melawat kampung ku kerana aku menetap di kampung dia.
Sepatutnya aku bekerja tapi kupujuk ketua untuk membenarkan aku bercuti untuk membawa anak-anak cuti sekolah ke kampung ku.
Namun dek kerana kepulangan adik beradiknya aku dipaksa untuk pulang awal. Aku tidak puas hati namun menerima kerana memikirkan dia mahu berjumpa adik beradiknya.
Yang menjadi isu dia memaksa aku membuat majlis makan-makan untuk keluarganya. Padahal seminggu yang lepas baru je ada adik beradik dia pulang dan aku raikan kedatangan dengan memasak dan menjamu sebagai tetamu.
Seminggu sebelum itu pun aku sentiasa menerima tetamu iaitu adik beradik dia. Aku raikan. Cuma kali ini aku menolak dan menyebut perkara diatas.
Kata-kataku disalah erti atau saja tidak mahu diterjemah dengan baik. Dia mula mengungkit mengata aku tidak menerima tetamu dan berkata setakat masak makanan ringan tu apa sangat. Allah..
Apa dia sudah jadi pelupa atau saja buat lupa. Aku sediakan makan malam untuk tetamu minggu lepas. Bukan setakat sedia makan aku buat dari A hingga Z untuk raikan tetamu.
Cuma kali ini aku menolak, jika ingin menerima tetamu aku perlu mengemas rumah. Rumah agak bersepah kerana sudah beberapa minggu aku keluar gelap balik gelap.
Itu belum lagi untuk membuat juadah untuk tetamu. Melayan tetamu dan meraikan tetamu. Terus diherdiknya aku dihadapan ibu, anak-anak dan dengan suara yang tinggi di meja kedai makan yang dikelilingi pelanggan lain.
Aku percaya ramai yang mendengar sehingga ibu aku terpaksa campur tangan meredakan amarah si dia. Sungguh aku tahu, aku sudah silap memilih imam, aku tahu. Sangat tahu.
Aku bukan babu..
– Camar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit