2023 : 365 Hari : Solat dan Masjid

Assalamualaikum, salam hormat buat pembaca semua. Alhamdulillah, pertama kali aku terpanggil untuk mencoret atau mungkin berkongsi kisah dan pengalaman berkaitan diriku di sini setelah bertahun-tahun menjadi pembaca setia IIUM Confession ini.

Disebabkan di sini tidak ada sesiapa yang mengenali aku kerana maklumat asli penulis tidak didedahkan, maka aku berani tampil untuk berkongsi kisah dan pengalaman aku ini.

Tiada sesiapa mengenali penulis di sini, maka aku pasti kisah ini bukanlah lapangan untukku takbur atau membangga diri.

Seperti kalian dapat baca pada tajuk di atas, ya ini sekadar perkongsian dari pengalaman diriku sendiri secara jujur dan telus buat kita sama-sama hayati dan merenung kembali hakikat sebenar yang perlu kita pegang dalam hidup ini sebagai seorang muslim, khususnya kaum Adam.

Bersempena dengan menginjaknya masa ke tahun 2024 ini, aku rasakan tepat untuk berkongsi kisah ini kerana ianya berkaitan dengan “azam tiba-tiba atau azam tanpa dirancang” bagi diriku untuk tahun lalu, 2023.

Jujur, perkongsian ini aku lakukan sekadar ingin menyeru semua kita untuk bersama-sama semakin mengagungkan dan mendekatkan diri dengan rumah Allah khususnya para kaum Adam supaya dapat sama-sama kita nikmati kemanisan masjid merangkap taman-taman syurgaNya di dunia ini.

Nama aku Abdullah (bukan nama sebenar). Berumur 30-an, seorang lelaki biasa-biasa sahaja, juga bekerjaya biasa-biasa sahaja, tidaklah warak, tidaklah juga seorang muslimat yang baik dan patuh kepada segala garis panduan beragama sebagai seorang muslim.

Walaupun terlahir dalam keluarga yang boleh dikatakan terdidik tinggi nilai-nilai keagamaan, tetapi kehidupanku lebih terbuka dan mungkin agak ‘liberal’ dan tidak sejalan dengan keluargaku. Rutin solatku ketika dahulu bolong-bolong, culas dan aku pernah meninggalkan solat (sama ada sengaja atau tidak).

Berbalik kepada petikan perkataan di awal perenggan tadi, “azam tiba-tiba atau azam tanpa dirancang” bagi diriku untuk tahun 2023.

Alhamdulillah, pada tanggal 31 Disember 2023 yang baru sahaja berlalu tiga hari lepas telah menyaksikan bahawa selama 365 hari aku memastikan diriku ini tidak terlepas daripada berkunjung ke rumah Allah untuk menunaikan solat secara berjemaah setiap hari.

Bagi diriku, rasanya ini bukanlah azam tahun baru 2023 sebab tidak pernah wujud istilah azam tahun baru bagi aku sejak dulu. Segalanya berlaku seperti tidak dirancang atau diazam.

Apa yang pasti pada 1 Januari 2023 tidak semena-mena ketika azan solat Isyak aku terpanggil dan bingkas bangun bersiap ke masjid.

Jujur betapa Aku berasa kekok ketika itu, seolah seperti baru kenal tanga masjid. Ketika aku tiba di masjid itu imam sudah hampir di tahiyat akhir ( Isyak 1 Januari 2023). Seusai solat Jemaah Isyak pada malam itu, entah mengapa hatiku terus melekat dan terpaut untuk kekal bertamu di rumah agung ini.

Sejujurnya itulah kali pertama aku ke masjid untuk bersama-sama solat berjemaah secara ikhlas dan sukarela tanpa suruhan atau pengaruh sesiapa. Bukannya aku tidak pernah solat di masjid.

Sejak dulu, dari kecil ibu bapaku juga sudah menyuruh dan membawaku solat di masjid, cuma bila semakin remaja dan dewasa, semakin jauh dan tidak tinggal bersama keluarga maka rutin itu tak diteruskan.

Jika solat di masjid pun mungkin hanya waktu solat Jumaat atau kadang kala bila bermusafir barulah aku akan singgah solat di masjid/surau.

Tetapi untuk ikhlas ke masjid menunggu waktu atau solat berjemaah pada takbir pertama tidak pernah terlintas di hati atau fikiranku untuk aku lakukan setiap hari secara berterusan.

Entah mengapa, bermula dari detik itu, 1 Januari 2023 hinggalah tanggal 31 Disember 2023, tidak ada sehari pun aku ketinggalan untuk bersolat jemaah walaupun cuma untuk 1 waktu solat.

Dan alhamdulillah, kadang kala aku melengkapkan 5 waktu solat berjemaah di masjid dalam sehari. Aku juga tidak menyangka Allah sentiasa memudahkan dan melorongkan masa serta kesempatan aku untuk solat berjemaah di masjid setiap hari walaupun untuk 1 waktu.

Walau ketika aku berpergian, atau bercuti ke mana-mana lokasi masjid terdekat adalah sasaranku dan aku sentiasa pastikan bahawa aku tidak terlalu jauh dari lokasi masjid di mana sahaja tempat yang aku berada.

Aku sendiri tidak pasti mengapa, namun apa yang aku sedar, keadaan ini seolah-olah menjadi satu rutin dan ketagihan buat diriku sehingga ke detik ini.

Adakah hal ini memberi apa-apa kesan terhadap hidupku? Alhamdulillah semuanya dengan izin dan kebesaran nikmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Baik.

1. Aku pernah merasakan hidupku kosong, putus asa, tidak bermotivasi dan gelisah tanpa sebab dua tahun dan tahun-tahun sebelumnya dulu. Namun kini tidak lagi.

Walaupun tidak ada apa perubahan besar dalam hidupku seperti dalam kerjaya atau seumpamanya, tetapi hidupku kini terasa lebih bermakna dan bertujuan. Hidupku terasa lebih teratur. Perkara ini sudah terlalu lama tidak aku rasakan. Namun sejak setahun lalu perasaan dan keadaan itu telah berubah.

2. Bibir dan lidahku lebih mudah dan cenderung untuk berkata-kata dengan ayat perkataan lebih baik, lidah ini juga lebih ringan untuk berselawat, juga rasa bahagia untuk menyebut dan berzikir ke atasNya setiap hari dan telah menjadi rutin harian.

3. Terasa lebih tenang dan bahagia tanpa sebab. Terasa kerap diberi jalan penyelesaian secara tiba-tiba dan tanpa disangka contohnya hal-hal yang berkaitan kerjaya atau hal-hal dalam kehidupan yang berkait dengan rezeki dan kewangan.

4. Aku dahulunya seorang yang pemarah, dan mudah melenting. Jujurnya aku dapat rasakan kini keadaan tersebut beransur berkurang.

Jika ada perkara yang membuatkan naik darah. Automatik sedetik selepas itu bibirku terus akan beristigfar dan bercakap seorang diri, “sudahlah, jangan marah-marah”. Aku akan mula terasa tenang, setenangnya ketika berada dalam masjid.

5. Kini lebih cenderung mengikuti dan mendengar majlis-majlis Ilmu atau ceramah-ceramah berkaitan agama.

Satu perkara yang aku sangat hindarkan sejak dulu. Mungkin ketika dahulu aku seolah menafikan kebenaran, jadi aku tidak gemar atau langsung tidak mahu untuk cuba atau dengar ceramah-ceramah atau majlis-majlis ilmu yang berkait dengan agama.

Namun tidak kini, aku dapat rasanya hatiku lebih lembut dan lunak untuk perkara seperti itu dan aku akan berasa bahagia bila mendekatkan diri dengan perkara seperti itu hari ini.

6. Lebih kuat dan patuh menjaga solat berbanding dahulu. Aku dapat rasakan kini bahawa aku lebih mementingkan dan mengutamakan waktu solat jika dibanding dengan diriku yang dulu.

Apabila aku memastikan diriku harus ke masjid setiap hari untuk solat berjemaah walaupun untuk 1 waktu,

Hal ini membuatkanku cenderung memastikan solat-solat yang lain juga didirikan segera dan sebolehnya di masjid. Jadi secara tidak langsung aku akan mencukupkan solat 5 waktu dengan lebih baik berbanding diriku suatu ketika dulu.

Allahuakbar, segala puji bagi Allah. Allah Maha Pengasih lagi Penyayang.

Seteruk-teruk diriku dahulu, sejahil-jahilnya aku dahulu. Bertahun-tahun bahkan mungkin puluhan tahun sejakku mumaiyiz terus berada dalam dosa yang berulang kali, namun betapa pengasihnya Allah, Dia tetap sudi memandang dan menjemputkan setiap hari ke rumahNya sepanjang tahun 2023 lalu.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambaNya yang berusaha dan mahu kembali kepadaNya.

Semoga tahun 2024 ini, Aku terus diberi peluang untuk mempertingkat keimanan dan lebih kuat dalam perjalanan dan perjuanganku untuk membetulkan diri demi menjadi muslimat yang lebih baik.

Di kesempatan daripada perkongsian aku ini juga, aku ingin mengajak insan-insan sekaumku, kaum Adam untuk kita bersama-sama mengimarahkan rumah-rumah Allah yang berada di sekitar kita atau di mana jua.

Kita adalah kaum dipilih dan yang dimuliakan Allah untuk mengimarahkan masjid. Percayalah kita semua pasti akan merasakan kebahagian dan kemanisan setelah kita hidupkan suasana di taman-taman syurgaNya itu.

Buat rakan-rakan pembaca, sebagai insan biasa dan pendosa yang ada naik turun imannya, mohon doakan aku dan diri kita semua untuk terus istiqamah dalam menggapai reda dan keberkatan daripada Allah.

Semoga di fasa hujung & akhir zaman ini Allah berikan kesempatan buat kita semua untuk berubah untuk menjadi insan yang lebih baik dan bertaqwa di sisiNya.

-Abdullah/Hamba Allah-

– Abdullah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *