Assalamualaikum semua. Saya Haemin (bukan nama sebenar), berumur lingkungan 30-an, mempunyai seorang anak perempuan berumur 2 tahun, dan kini berkerja sebagai penjawat awam di utara tanah air.
Saya dah lama berfikir berkenaan sama ada saya nak meluahkan di sini atau tidak. Kalau saya ceritakan kepada keluarga saya (read: mak saya),
Mak saya akan selalu suruh saya bersangka baik dan kebanyakannya bermula dengan pernyataan yang saya punca masalah ini muncul in the first place.
Contoh, kalau saya kata makanan saya diambil orang walaupun saya dah buat macam macam untuk pastikan makanan saya tidak diambil orang, mak saya akan kata “lain kali jangan letak dekat (…), memanglah orang akan ambil.”
Mak saya, god bless her heart, terlalu bersangka baik sampai kadang-kadang saya rasa tak ada yang elok berkenaan saya di mata dia.
Jadi, saya luahkanlah banyak mana pun berkenaan family mertua saya, akhirnya saya juga yang salah. I want to be validated but I only end up being told I’m the cause of my problem.
Nak meluahkan kepada kawan, saya tak tahu macam mana nak cerita. Ada beberapa benda yang terlalu personal untuk diceritakan. Nak beritahu suami yang saya terasa, saya makan hati dengan keluarga dia, akhirnya saya yang dimarah semula.
Suami akan cakap saya tak sukakan keluarga dia, biar dia doakan mak ayah dia mati saja, saya tak faham situasi dia, dan sebagainya. Jadinya saya pendamlah perasaan saya seorang diri.
Tapi, saya dah rasa macam gunung berapi yang tunggu masa nak meletus saja sekarang ni. Saya dan suami dah berkahwin hampir 5 tahun dan masalah kami yang utama adalah keluarga dia. Kebanyakan pergaduhan besar kami semuanya ada kena mengena dengan keluarga dia.
Saya tak maksum. Saya juga banyak dosa dan saya juga banyak salah. Saya rasa antara punca kenapa saya dilayan teruk dan dilihat sebagai orang luar oleh keluarga mertua saya adalah kerana berikut:
1. Sebelum saya berkahwin dengan suami, saya dapat tahu yang kakak ipar saya ada bercakap mengenai saya dengan ex kepada suami saya. Katanya saya ni bukan menantu pilihan kerana saya garang dan tidak reti bersosial. Mak ayah dia tak sukakan saya kerana muka saya tak nampak manis.
Jadi, disebabkan hal ini, pada mula mula usia perkahwinan kami, saya berusaha untuk memenangi hati keluarga mertua saya. Saya telefon mertua saya bila saya ada masa lapang.
Pada masa kakak ipar saya lari dari rumah tinggalkan anak anak dia, saya tawarkan diri kepada adik beradik suami saya untuk jaga anak-anak dia memandangkan saya tak bekerja. Saya kemas barang kakak ipar saya supaya bila dia balik, hati dia tenang tengok bilik lapang, bersih dan kemas.
Saya berhenti bagi anak anak dia main gadget dan mula spend masa dengan mereka supaya mereka tak sedih bila teringatkan mak yang lari tinggalkan mereka di rumah mak ayah mertua saya.
2. Saya pendam apa yang saya rasa sebab saya tak mahu sesiapa terasa bila saya beritahu apa yang saya rasa. Pada awal kehamilan saya, ayah mertua saya selalu cakap yang anak saya tu anak lelaki.
Dan penyataan ini diulang banyak kali sehingga saya rasa kalau saya mengandungkan anak perempuan, dia takkan suka.
Dek kerana menangkan kakak ipar saya, ayah mertua saya juga pernah cakap sesebuah keluarga itu takkan lengkap tanpa kehadiran anak lelaki, seolah-olah anak perempuan itu bukan rezeki dan amanah dari Allah.
Ayah mertua saya juga pernah marahkan biras saya sehingga terkeluar ayat yang menyatakan biras saya tu cuma orang luar dan tidak berhak nak katakan apa-apa berkaitan keluarga mertua saya. Padahal biras saya tu dah berkahwin dengan ipar saya hampir 30 tahun.
Dek kerana menangkan anak yang seorang, habis yang lain disalahkan, dilihat tak cantik di mata dia. Kakak ipar saya pernah beritahu saya yang saya ni cuma orang luar yang masuk dalam keluarga dia yang berpura-pura baik dengan keluarga dia.
Saya sakit, hati saya bagai dihiris hiris. Tetapi saya diamkan. Saya tak cakap dengan sesiapa sebab saya kena faham dia.
Dia dah kematian suami, tak ada kelulusan tinggi, dan tak ada mata pencarian yang tetap. Saya kena faham dia sebab situasi dia yang susah. Saya kena bersangka baik dengan dia walaupun saya ni tak pernah baik di mata dia.
Saya dah berkahwin dengan suami hampir 5 tahun. Tetapi kejadian baru-baru ini telah buat saya rasa betullah jangkaan saya selama ini yang orang sangkal dan kata “oh that’s just you overthinking”.
Suami dan ibu bapa mertua bercadang nak ke pantai timur cuti sekolah yang lepas. Jadinya, kami bercadang untuk konvoi 2 kereta. Saya, suami, anak, ibu bapa mertua satu kereta dan kakak-kakak ipar, suami kakak ipar, dan anak anak dalam kereta lagi satu.
Nak dijadikan cerita, salah seorang anak saudara saya disuruh naik kereta yang suami saya pandu kerana “kereta lagi satu tak muat, dah penuh”.
Saya tidak diberitahu, suami tak diberitahu. Yang diberitahu cuma mak ayah mertua. Kereta sempit dan kami tak selesa. Tak apalah, saya tutup mata, perkara kecil saja.
Setelah sampai di Kelantan, saya dan suami check in dan terus masuk ke bilik. Saya tanya kepada mak ayah mertua saya nak makan apa apa ke, lapar ke. Dan dua dua kata oh tak apa dah kenyang. Saya pun, okaylah tak apa, saya pun kenyang lagi.
Jadinya saya pun masuk ke bilik untuk susukan anak. Suami pula tanya mak ayah dia kemudian, tak sampai sejam dari tempoh saya bertanya. Mak ayah mertua saya terus beritahu lapar, perut ayah dah masuk angin, nak termuntah. Saya ni tunggul ke?
Kenapa bila saya tanya jawabnya lain, bila suami saya tanya, jawabnya lain? Seolah-olah macam saya ni tak peduli, tak kisah.
Setelah sampai di tempat kejadian, suami saya merancang nak ke wakaf che yeh. Suami saya hantar mesej kepada kakak-kakak dia, mengajak pergi sekali. Tiada jawapan.
Jadi kami pun pergi saya dengan sangkaan mereka tak mahu ikut. Dalam perjalanan, kakak ipar telefon mak mertua dan beritahu mereka taknak ikut ke wakaf che yeh sebab tidak diajak.
Tak apalah, tutup mata lagi. Nak berjalan mood kena baik. Keesokan harinya nak cari nasi ulam. Kami dah sampai ke destinasi dulu. Kakak kakak ipar nak pergi juga tapi tak tahu location.
Mak mertua saya ditelefon, disuruh share location. Mak mertua saya tepuk bahu suami saya yang tengah bawa kereta untuk hantar location sedangkan saya duduk di sebelah dia tak ada buat apa-apa, boleh share location.
Tak apalah, benda kecil. Kita tutup mata saja. Nak kecil hati buat apa, hantar location masalah pun settle.
Saya banyak makan hati dengan keluarga suami saya. Tapi saya taknak cakap apa-apa. Saya sayangkan suami saya, dia suami dan ayah yang baik. Sangat hands on terutamanya dengan anak kami.
Walaupun kerja rumah yang dia buat tidak perfect di mata saya, tapi dia tetap cuba tolong mana yang boleh ditolong.
Kalau saya tiba-tiba ada emergency, saya boleh tinggalkan anak dirumah untuk bersama ayah dia kerana saya tahu he is a reliable father. Tapi pada masa yang sama, saya dah tawar hati dengan keluarga mertua. Saya ni dilayan macam saya tak wujud, saya memang orang luar.
Saya bukan menantu yang melahirkan zuriat menyambung keturunan keluarga mertua saya. Tapi saya dilihat sebagai orang yang boleh diminta tolong bila dalam kesusahan.
Jadi sekarang, apa yang saya buat untuk jaga hati saya sendiri? Bila suami ajak balik kampung sebelah dia, saya akan beritahu saya tak mahu balik kerana khidmat dan kehadiran saya tidak diperlukan.
Dia nak marah, nak terasa tak apa. Saya beritahu sebab kenapa. Kalau dia tak faham juga dan rasakan yang saya ni isteri derhaka, silakan. Allah tahu apa yang saya rasa.
Saya tidak lagi beriya nak win their approval. Saya takkan go the extra mile untuk mudahkan hidup sesiapa dalam keluarga mertua saya just to be accepted. Saya dah penat. Gas saya dah habis.
Saya berhenti salam dan bercakap dengan kakak ipar saya yang kematian suami tu. Dia kata saya orang luar yang berpura-pura baik depan keluarga dia? Baiklah, saya tunjukkan perangai sebenar saya. You no longer exist in my life.
Saya tak tahu sampai bila saya boleh tolerate keluarga mertua saya. Saya mohon doa untuk saya terus kuat supaya saya boleh hidup dengan suami dan anak saya sehingga ke akhir hayat kami.
– Haemin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Camni je puan, saya pun sama macam puan, tapi sekarang hati saya dah tawar hati. saya buat gap dengan family mertua saya. datang rumah mereka sebulan sekali. datang pun hanya salam dan bertanya khabar. tak pernah saya nak borak lebih2. sebab saya pun bukan menantu pilihan. kerja rumah diaorang pun jarang saya buat sebab adik beradik suami batu api. so saya banyak buat hal saya je. puan anggap je mereka tak wujud.