Kisah Pahit Manis Aku Dan Abah

Hi, korang boleh panggil aku Atu (bukan nama sebenar). Sedikit background tentang family aku. Aku seorang perempuan, ada seorang abah, mak dan 6 orang adik beradik yang lain (4 laki, 3 perempuan termasuk aku).

Abah aku seorang yang tegas tapi overall aku takda problem dengan abah aku sebelum ni. Sebenarnya, aku sangat rapat dengan abah aku sebelum ni.

So nak dijadikan cerita, abah aku bekerja di syarikat besar yang handle pengagihan elektrik (mesti korang tahu syarikat mana) dan jawatan dia pun agak tinggi (gaji 11k-12k sebulan). Aku selalu respect abah aku sebab dia dulu orang susah, start kerja dari bawah.

Mula kahwin dengan mak aku dulu, dia operator ja, then sambung belajar, naik pangkat sikit-sikit sampai la dah bergaji besar. Mungkin sebab dulu dia orang susah, jadi dia sangat berharap pada anak-anak dia untuk berjaya.

Abah aku ni, dia jenis tak berbelanja untuk diri sendiri, tapi bab belajar anak-anak dia tak pernah kedekut nak keluar duit.

Aku anak no 4. Jadi atas aku ada abang1, abang2 dan kakak. Abang dan kakak aku semua engineer (abang engineer electrical, kakak engineer electronics).

Tak tau la kenapa, tapi abah aku selalu brain wash kami untuk jadi engineer dari kami kecil. Maybe sebab sekarang dia kerja bahagian elektrik, so dia nak anak dia semua jadi engineer bahagian elektrik.

Meanwhile, aku nak jadi seorang cikgu. Aku minat sangat mengajar, even dari zaman sekolah. Aku selalu jadi tutor masa sekolah menengah dan selalu ajar adik-adik aku di rumah.

So, nak dijadikan cerita, antara kami 4 beradik (aku exclude adik-adik aku sebab diorang still sekolah lagi), aku ni boleh dikatakan yang paling pandai belajar masa sekolah (bukan saja nak berbangga ya, just untuk clarify cerita nanti ).

Abang kakak aku semua masuk asrama start dari form 1, aku seorang ja dalam family yang tak masuk asrama. Aku sekolah menengah harian biasa ja. Abah bagi kelonggaran pada aku sebab dia nampak aku boleh belajar sendiri dan aku dah berjanji untuk belajar betul betul walaupun tinggal di rumah.

Dari Form 1 sampai form 5 aku dapat anugerah cemerlang, no satu keseluruhan pelajar sekolah. Spm aku dapat 10A. Abah bangga sangat dengan aku, cerita pada satu kampung.

Bermula dari sini, aku dah start rasa pressure. Mungkin sebab aku dah nak masuk alam dewasa, dan juga mungkin sebab abah nampak sangat berharap pada aku. Walaupun abang kakak aku semua berjaya, dia nampak lebih mengharapkan aku untuk lebih berjaya.

Lepas Spm, aku discuss dengan abah nak sambung belajar di mana. Deep down, aku tahu abah nak aku sambung engineering macam abang kakak aku.

Tapi disebabkan aku sangat sangat sangat tak minat engineering, aku beranikan diri juga menyuarakan keinginan aku untuk menjadi guru. Abah macam tak berapa setuju, tapi dia bagi aku peluang. Dia minta aku cuba apply Ipg (institut perguruan).

Kalau aku tak diterima, dia suruh aku give up bidang guru sebab katanya, selain daripada Ipg, memang susah nak jadi guru kalau sambung universiti lain. Jadi, aku pun cuba sedaya upaya untuk diterima masuk Ipg. Aku lepas ujian fizikal dan pergi interview.

Tak tau la kenapa, tapi aku tak lepas interview Ipg. To be honest aku sangat sangat confident masa interview tu, aku siap nyanyi lagi depan para interviewer dan pelajar yang lain. Maybe bukan rezeki aku kat situ.

Akhirnya, lepas bincang dengan abah, aku decide untuk sambung matrikulasi setahun, sebagai jalan singkat untuk ke universiti. Modul apa aku ambil? Of course modul 2 (fizik dan kimia) sebab abah nak aku sambung degree engineering.

Mungkin masa ni aku masih muda, jadi aku tak fikir sangat pasal career pilihan aku. Aku selalu boleh belajar masa zaman sekolah, jadi aku assume aku mesti boleh belajar engineering juga. Tup tup habis matrikulasi setahun, aku graduate. 4 flat untuk sem 1 dan sem 2.

Seperti yang aku jangka, belajar ni mudah bagi aku. Aku mohon universiti awam dan pada masa yang sama aku juga cuba mohon biasiswa kerajaan dan juga swasta.

Sebelum keputusan UPU keluar, aku dapat tawaran biasiswa daripada syarikat pengurusan internet utama negara (mesti korang boleh agak syarikat apa). Full coverage yuran belajar di universiti T***** dan elaun bulanan almost 1k setiap bulan.

Habis belajar nanti, dia akan terus serap kerja (tapi kalau student tak nak kerja dengan dia pun takpa). Kena pula aku dapat tawaran sambung degree bidang engineering electronics. Abah lagi happy daripada aku yang dapat tawaran ni.

Aku terima tawaran yang diberikan dan sembung degree awal 3 bulan daripada kawan matrikulasi aku yang lain (sebab result universiti awam keluar lambat sikit berbanding universiti swasta).

Di sinilah bermulanya kisah pahit aku. Aku tak pernah ada masalah dalam pembelajaran aku. Even dari sem satu, aku selalu dekan tiap sem. Tapi…setiap hari anxiety aku bertambah. Setiap kali aku fikir tentang masa depan aku yang akan datang, aku jadi depressed.

Mula mula aku abaikan sahaja, anggap mungkin aku terlampau banyak berfikir. Then, setiap kali aku buka Instagram, aku nampak kawan kawan aku happy sambung belajar, kejar cita-cita diorang. Aku bertambah depressed.

Aku tak pernah suka engineering. Dari zaman sekolah aku tak suka engineering. Sebab utama aku sambung bidang ini ialah “Abah”. Abah nak aku jadi engineer, dan aku rasa aku boleh belajar.

Masa tu aku fikir, mungkin bila aku dah masuk universiti nanti, minat pada engineering akan datang sikit-sikit dalam diri aku. Tapi aku silap. Semakin lama aku belajar, semakin aku tak gembira, semakin aku marah, semakin aku benci pada engineering. Dan yang paling aku takut…aku juga jadi benci pada “Abah”.

Kenapa abah tak boleh terima keinginan aku untuk menjadi seorang guru. Aku tahu aku salah sebab tak perjuangkan cita-cita aku habis-habisan. Tapi aku selalu terfikir, kalaulah abah dapat beri sokongan pada aku, walaupun hanya sedikit, mungkin aku akan lebih gembira untuk sambung belajar dan lebih yakin.

Aku tahu aku salah tapi, satu benda yang korang kena tahu tentang orang yang alami severe depression dan anxiety ialah… kami sudah penat menyalahkan diri sendiri, jadi akhirnya kami akan cari saluran lain untuk berkongsi kesalahan ini.

Walaupun aku tertekan, aku masih belajar sebab aku dah sign perjanjian biasiswa. Aku kena graduate. Kalau tak graduate, aku kena bayar balik semua Wang yang dilaburkan untuk pengajian aku (dekat RM130K total). Isu biasiswa ini juga menyebabkan tekanan mental aku semakin teruk.

Aku mula makan ubat, jumpa kaunseling. Setiap hari aku menangis, walaupun takda sebab. Kerana menangis merupakan cara aku untuk release ketegangan mental aku.

Aku takda masalah belajar langsung. Seperti yang aku katakan, aku pro belajar. Aku stress dan depressed setiap kali aku fikir masa depan dan kerjaya yang aku benci, yang harus aku lalui lepas graduate nanti.

Aku takut nak luahkan perasaan pada Abah, jadi aku bercerita pada mak aku yang lebih lembut sifatnya. Tapi rupanya, mak memberitahu luahan hati aku pada Abah. Abah call aku suatu hari. Cuba korang teka Abah cakap apa? Kata-kata semangat? Pujukan? Galakan? TAK! Abah marah aku.

Dia kata aku mengada-ada dan berlebih-lebihan. Dia bandingkan aku dengan abang kakak aku. Kalau diorang boleh berjaya, kenapa aku tak boleh? Menurutnya semua salah aku sebab aku terlampau ikutkan perasaan.

Abah tak suka aku bercerita pada mak aku, yang kemudiannya meluahkan kerisauannya pada Abah. Yang paling aku terasa, still sampai ke hari ini (aku dah 26 tahun), abah beritahu aku dengan jelas.

Ayatnya yang masih aku ingat “KAMU PENDAM PERASAAN KAMU SORANG-SORANG! TAK PAYAH NAK CERITA DEKAT MAK KAMU!”, dengan nadanya yang betul-betul tengah marah. Aku tersentap sangat masa tu. Terus tutup call. Dup dup dup. Aku berdiri, terdiam lama lepas call tu. Pelbagai perkara terlintas di fikiran aku.

Salah ke aku tertekan? Dia ingat aku saja-saja nak tertekan? Dah la aku buat semua ni untuk dia. Semata-mata untuk dia. Perlu ke abah marah aku sampai macam tu. Bukannya aku mencuri, buat maksiat atau perkara jahat lain. Aku stress belajar. Itu sahaja.

Dan aku belajar ni pun untuk cuba capai keinginan abah. Itu hari yang paling tertekan aku pernah alami. Aku sampai rasa nak commit s*****. Siap dah search lagi cara-cara mudah untuk habiskan nyawa aku ni. Tapi akhirnya aku abaikan sahaja. Aku abaikan, tapi aku tak lupa. Aku tak pernah lupa.

Lepas dari haritu, aku tak pernah cerita masalah aku dekat parents aku, termasuk mak aku sekali. Aku jalani hari-hari aku sebagai student seperti biasa. Dekan tiap-tiap sem. Aku belajar dalam kemarahan. Kalau sebelum ni aku sedih, sekarang aku marah. Dalaman aku ni penuh dengan kemarahan.

Aku tak contact family aku berbulan bulan. Cuti sem panjang 3 bulan lebih pun aku tak balik rumah. Aku cuba untuk jauhkan diri aku dari family. Aku malu sangat sangat. Malu nak jumpa Mak Abah lepas kena tengking haritu. Diorang punya call dan mesej pun aku tak jawab. Aku tak block diorang, aku just ignore semua contact.

Mungkin sebab dah lama sangat aku mendiam, tak balik rumah. Abah datang universiti satu hari. Dia datang seorang. Aku tahu dia datang pun sebab guard perempuan naik bilik aku, bagitahu abah aku datang. Takkan nak suruh balik dah datang jauh, so aku pun siapkan diri nak turun jumpa abah aku.

On the way turun tangga hostel, aku nampak abah aku dari jauh. Tiba-tiba mata pedih, rasa nak menangis. To be honest, sebelum isu ni terjadi, aku yang paling rapat dengan abah aku, kalau nak banding dengan adik-beradik aku yang lain. Bila jadi macam ni, aku sedih sangat-sangat.

Still, ayat dia suruh aku pendam perasaan aku sorang-sorang haritu masih berbisik di telinga. Hati aku masih terluka, tak boleh sembuh. Aku sampai depan abah dengan muka macam robot takda perasaan. Dua-dua diam 10-15 minit. Abah tanya hidup aku macam mana dekat universiti, aku jawab “ok” sahaja. Semua soalan dia aku jawab “ok”.

Even bila dia tanya study engineering aku macam mana, aku still jawab “ok”. Satu benda aku belajar sejak hari kena tengking ialah aku tak boleh cerita masalah aku dekat orang lain especially parents aku, dan semua perkara dalam hidup aku tak boleh ada masalah, semuanya kena “ok”.

Jadi aku berikan jawapan yang paling abah aku suka iaitu “ok”. Janggalnya Ya Allah, rasa macam aku tak pernah bercakap dengan abah aku sebelum ni.

To be honest, aku tak suka dia datang jenguk aku haritu. Kenapa dia nak datang tengok aku kalau dia tak nak ambil tahu hal kesihatan mental aku. Mungkin dia takut aku b**** diri dan lebih jauh merosakkan imej keluarga.

Pendek cerita, aku graduate degree, ijazah kejuruteraan electronics (Hons) dengan result keseluruhan dekan. Lepas dapat result, aku cuma screen shot dan hantar pada Abah. Akhirnya dia dapat anak yang graduate bidang engineering macam yang dia inginkan.

Aku tak bagitahu parents aku tarikh graduation day, sebab aku tak nak pergi graduation day. Bagi aku hari aku tamat pengajian ialah hari aku bebas daripada hutang biasiswa yang tak perlu aku bayar semula. Tapi still, aku perlu jalani practical dengan syarikat selama 8 bulan seperti yang termaktub dalam perjanjian biasiswa.

Sepanjang aku jalani practical, aku benci kerja aku hari hari. Kerjanya tak susah (kerja aku melibatkan penggunaan software dan analisis data), tapi aku tak suka kerja aku. Tiap hari aku tunggu bila la nak habis practical ni. Aku nak lari. Nak duduk sorang-sorang, walaupun aku kerja lain yang gajinya sedikit.

Dua minggu sebelum habis practical, aku dapat panggilan daripada ibu syarikat. Diorang tawar aku jawatan permanent, tapi aku kena pergi interview dulu.

Memang la aku tak pergi interview tu. Dah 5 tahun lebih aku kena torture dengan engineering (matrikulasi + degree). Tak campur lagi dengan practical lapan bulan ni. Aku tak sabar nak bebaskan diri aku dari semua perkara.

Habis practical, aku tak jadi engineer pun. Aku dapat kerja kerani kilang, jauh sikit dari family aku. Gaji sikit tak sampai 2k sebulan, tapi aku puas hati. Kerja tak tension. Yang paling penting aku dapat buang engineering dari hidup aku.

Aku tak kesal aku tak jadi engineer, cuma kadang-kadang aku sedih fikir masa depan aku yang terpesong macam ni. Ada juga terfikir nak sambung diploma perguruan tapi aku dah penat sangat belajar. Penat sangat-sangat. Buat masa sekarang, aku cuba jalani hidup aku macam ni sebaik mungkin.

Hubungan dengan keluarga… Aku still bercakap dengan mak aku. Aku tak resent mak aku, cuma kadang-kadang aku malu dengan masa depan aku yang tak menjadi. Abah pula… hmm… Even sampai sekarang, dia masih tunjuk betapa kecewanya dia dengan hidup dan kerjaya aku.

Kadang-kadang aku rasa dia macam sengaja tunjukkan dengan jelas kekecewaan tu untuk bagi aku tahu dia betul-betul kecewa. Mungkin dia tak faham… mungkin juga aku yang tak faham. Tak tahu lah salah siapa.

Kesan dari perkara ni… Aku malu dengan adik-beradik aku, malu dengan saudara-mara aku. Sebab masa sekolah dulu, abah selalu bagitahu semua orang yang aku ni pandai belajar. Bila kerjaya aku tak menjadi, aku malu sangat-sangat.

Kalau aku balik rumah parents aku pun, aku selalu tunggu masa abah dan abang kakak aku takda dekat rumah. Janggal. Balik kampung pun jarang sebab mak pak sedara semua jenis banyak bunyi. Dah banyak kali aku mengalirkan air mata disebabkan sindiran saudar-mara aku. Aku selalu cuba jauhkan diri semampu mungkin.

Dah dekat tiga tahun sejak aku graduate degree, hubungan dengan keluarga aku rosak. Adik-adik aku saja yang menjadi pengubat dalam hidup aku. Diorang selalu kesian tengok kakak diorang sunyi, sorang-sorang. Mungkin sebab diorang muda lagi, ala-ala innocent gitu.

Perkataan abah aku masih terdengar di telinga aku sampai ke hari ini. Aku masih terasa hati sampai ke hari ini.

Nasihat aku untuk ibu bapa di luar sana, tolong support kerjaya pilihan anak-anak, as long as diorang tak buat benda jahat. Anak tu manusia, ada perasaan, dia bukan robot.

Dan untuk anak-anak pula, tolong perjuangkan kerjaya yang diingini sebolehnya dan lebih berani bersuara. Jangan jadi macam aku okkk!

Bye…

– Atu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Awak dah penuhi tanggungjawab awak sebagai anak dengan baik dalam bahagian² tertentu dalam penceritaan.. xde org yg perfect.. samalah ngan org tua kita.. ada la kelemahannya.. sebagai org Islam, ada batasan yg diajar nak deal ngan org tua… Sy yakin confesor ni baik orangnya.. sebab dah lakukannya dengan baik untuk abah.. saya sokong confesor, kejar kemahuan dan suasana pekerjaan yg confesor nak… Insyaallah satu hari nanti, Allah buka jalannya yg beri bersesuaian dengan kehendak confesor.. moga tempoh² yang confesor terpaksa hadap torture tu akan menyediakan confesor melangkah dengan penuh gaya dengan penuh kekuatan mengharungi cabaran hidup akan datang 🙂.. mungkin Allah dah sediakan confesor siap2 melalui tempoh2 sukar dahulu sebelum beri yg betul2 tepat dengan jiwa confesor. Selamat berjaya anak muda hebat

  2. Allahuakbar 😭😭😭

    Saya lebih kurang awak cuma saya pelajar biasa je cumanya benda yang paling menyesal dalam hidup saya adalah membuat keputusan berpaksikan orang lain tanap memikirkan kehendak sendiri. Kini saya buntu dan alhamdulillah saya rasa saya kerja je apa² yang ada walau apa orang nak kata ❤️

  3. Salam Atu,
    I’ve been there, in the same shoes as yours (Not exactly the same but 98% similar). I endured 5 years of PhD for my dad. And I’m glad I did.
    Percayalah, ada ganjaran besar untuk awak sebab ikut cakap ayah.
    Awak ambil lah masa untuk heal dan cuba untuk belajar maafkan Abah awak, sebab mcm mana salah pun dia, dia tetap Abah awak yang dah banyak berkorban untuk besarkan awak, jasa dia banyak. After all, he is just a human too, dia ada khilaf dia dalam menjadi parents. Mungkin dia fikir, engineering tu lah yang senang untuk dapat kerja, mungkin exposure dia dalam bidang lain kurang. Maafkan dia, dia orang tua yang juga tak tahu semua benda.
    Bila Atu dah tenang, pergi slow talk dgn Abah, bgtau dia yang Atu dah buat apa yang dia nak dan sekarang, Atu nak buat apa yang Atu nak, iaitu nak jadi seorang pengajar. Minta redha dia, buktikan yang menjadi pengajar tu penting, kalau tiada cikgu, tiada lah engineer.
    Sesungguhnya, menjadi seorang pengajar tak semestinya Atu kena jadi cikgu dan masuk IPG. Atu boleh start dengan jadi tutor dekat pusat tuisyen, nanti bila dah confident boleh cuba untuk jadi assistant lecturer dekat universiti swasta atau awam. Dengan your degree, tak semestinya Atu kena venture dalam engineering. Atu boleh opt untuk mengajar fizik atau kimia atau matematik. Nanti, boleh sambung master pulak dalam kursus yang Atu minat, lepastu jadi lecturer pulak kat Universiti.
    Ada banyak peluang untuk awak capai impian awak, dan umur bukan lah penghalang.
    Jangan salahkan sesiapa dah, Atu kena bangkit dan teruskan berjalan ke hadapan.
    Saya doakan awak dapat bangkit dari semua masalah awak.
    Percayalah, Allah ada untuk awak dan awak akan dapat keluar dari semua masalah awak ni.
    This shall pass and it is not permanent, nothing is permanent in this world, not even you, and not even your dad or those people who talks about you.
    So, take this opportunity to bounce back in life.
    Plus, nanti kalau Abah, Mak dah takde lagi sedih tau.
    Selamat berjaya Atu, saya yakin awak boleh!
    Saya tak kenal awak, awak tak kenal saya, tapi saya harap kita sama2 dapat jumpa dekat syurga nanti.

  4. Hi Confessor, awak anak yang baik. Awak kuat sangat. Bertahun tahun awak bertahan untuk penuhi impian ayah awak, dah sampai masanya awak cari kebahagian awak juga. Jangan pernah putus harapan, masih belum terlambat untuk confessor kejar cita-cita yang lama terpendam tu. Hugsss <3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *