Aku Seorang Beban

Assalamualaikum. Nama saya Farid. Saya berasal dari Johor. Saya seorang yatim piatu sejak berumur 7 tahun. Saya telah dijaga oleh keluarga angkat saya sehingga saya berumur 17 tahun kerana saya tiada ahli keluarga lain.

Ibu dan ayah angkat saya telah meninggal ketika saya berumur 23 tahun. Saya telah berkahwin pada April 2010 dan dikurniakan 3 orang cahaya mata.

Isteri saya merupakan seorang usahawan kosmetik yang agak berjaya. Saya pula cuma bekerja sendiri dengan menjual apa-apa sahaja melalui online.

Sebelum ini saya juga mempunyai perniagaan sendiri. Tetapi perniagaan saya jatuh merudum dan terpaksa dihentikan setelah saya terlibat dalam kemalangan pada 2013 yang menyebabkan saya lumpuh dari paras pinggang.

Segala keperluan saya disediakan oleh isteri saya yang tercinta dengan penuh keikhlasan. Kehidupan kami alhamdulillah masih lagi serba-serbi cukup atas bantuan isteri saya dari segi kewangan dan sebagainya.

Saya hanya mampu membantu sedikit sahaja memandangkan jualan drop ship secara online tidak begitu memberangsangkan. Boleh dikatakan purata pendapatan saya sebulan antara 700-800 sahaja.

Dan saya berikan semua pendapatan saya kepada isteri saya untuk nafkah keluarga dan anak-anak walaupun saya tahu jumlah tersebut jauh dari mencukupi.

Pada permulaan, kami jalani hidup normal dan gembira, sama seperti sebelum saya hilang upaya. Namun setelah beberapa tahun, isteri saya mula lelah. Saya mula nampak wajah isteri yang tak ceria bila pulang ke rumah.

Saya ada bertanya mengapa, tapi isteri saya cuma menjawab yang dia tertekan dengan masalah perniagaan. Waktu itu saya masih lagi tidak jangkakan apa-apa.

Sesekali terlihat isteri saya menangis kerana ‘masalah perniagaan’. Namun, sebagai seorang suami saya dapat rasakan ada sesuatu yang isteri saya pendam.

Tahun demi tahun berlalu dan saya dapat melihat perubahan pada sikap isteri saya. Dulu setiap hari saya akan dimandikan sebelum isteri saya berangkat ke pejabat. Makanan dan minuman saya lengkap tersedia.

Tapi tidak sejak kebelakangan ini. Saya terpaksa mandi sendiri dan pakai lampin dewasa sendiri. Namun ada juga hari-hari yang isteri saya akan buat walaupun jelas wajah dia nampak seakan terpaksa. Saya faham isteri saya letih, penat dan tertekan.

Setiap saat saya terfikir yang saya merupakan beban dalam keluarga. Tidak banyak yang saya dapat bantu untuk keluarga saya. Saya bukan lagi ketua dalam keluarga saya. Saya seorang suami yang tidak dapat jalankan tanggungjawab saya dengan sempurna.

Segala apa yang saya fikirkan selama ini sudah terjawab baru-baru ini. Isteri saya meluahkan isi hati dia pada saya. Segala apa yang terpendam dia luahkan. Walaupun sedih, saya amat faham keadaan isteri saya.

Siapa yang sanggup bertahan menjaga orang seperti saya. Siapa yang sanggup bertahan jika terpaksa mencuci najis dipunggung orang lain setiap hari.

Siapa yang sanggup bertahan bila terpaksa kemas rumah dalam kepenatan. Siapa yang sanggup bertahan jika tidak dapat nafkah secukupnya. Siapa yang sanggup bertahan mengangkat beban setiap hari.

Isteri dan anak-anak saya kini berada di kampung halamannya di Kedah. Dia minta izin pada saya untuk tinggal disitu selama seminggu. Saya izinkan dalam keberatan. Saya mandi sendiri dan cuci najis saya sendiri walaupun tak sempurna.

Saya amat sedih kerana jadi manusia yang tak berguna. Dalam tak sedar, saya dah kecewakan hati seorang isteri yang dah banyak berkorban untuk saya. Saya seorang ketua keluarga yang tak berguna.

Saya ada terfikir untuk lepaskan isteri saya. Tapi ke mana saya harus pergi sekiranya saya lepaskan dia? Saya sebatang kara dalam dunia ni tanpa ahli keluarga yang lain. Saya cuma ada isteri dan anak-anak saya sahaja.

Saya menangis setiap kali selepas solat. Saya mohon Allah tunjukkan pada saya jalan yang terbaik. Jalan yang terbaik untuk anak-anak dan isteri saya.

Sekiranya melepaskan isteri saya merupakan jalan terbaik, saya terpaksa lepaskan. Apa yang akan berlaku pada masa depan saya selepas itu, biarlah Allah yang tentukan.

“Abang sangat sayangkan Ayu. Maafkan abang sebab tak dapat menjadi seorang suami dan ayah yang sempurna.

Kalau Ayu ada terbaca coretan abang ini, abang nak Ayu tahu yang abang bersyukur kerana abang dikurniakan seorang isteri yang mulia dan seorang ibu yang cekal membesarkan anak-anak kita.

Terima kasih jaga abang dan anak-anak selama ini. Abang tak mahu kehilangan Ayu dan anak-anak disamping abang. Namun abang tidak memaksa Ayu kerana itu adalah hak Ayu. Cuma abang berharap Ayu tak pernah kesal atas perkahwinan kita..”

– Farid (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *