Assalamualaikum semua, kenalkan diri aku nama Alie berumur awal 30an. Aku sudah berkahwin dan di awal perkahwinan pelbagai ujian telah aku tempuhi.
Aku dan suami beza 10 tahun, sebelum berkahwin dengan suami, aku mempunyai seorang sahabat lelaki aku namakan C yang boleh dikatakan rapat. Kami sebaya dan kehidupan kami jauh berbeza.
Aku pernah menyatakan perasaan suka kepadanya namun dia menolak aku dengan cara baik memandangkan perbezaan dari segi latar belakang pendidikan dan keluarga. Maka aku berundur dan menghilangkan diri darinya selama 7 tahun lamanya.
Pada ketika itulah aku berkenalan dengan suamiku kini dan kami mendirikan rumahtangga.
Namun pantai yang mana tidak dilanda badai, begitu juga rumah tangga kami. Kami diuji dengan suami ku kerap kantoi berjudi online, melayan pelbagai perempuan bahkan pernah mengaku duda.
Bahkan yang menyakitkan hati aku, ada ketikanya perbualan bersama perempuan-perempuan itu berlaku ketika aku berada di sebelahnya, naif kan?
Namun aku masih memaafkan dan meneruskan hidup bersama, sehinggalah aku sendiri diuji dengan suami kemalangan dan kehilangan kerja.
Aku seorang menjadi tulang belakang keluarga, tekanan terlalu banyak apabila suami ku sendiri suka bersangka buruk dengan aku jika lambat menjawab whatsapp atau call. Bahkan dalam ruang whatsapp kami kerap bergaduh.
Aku akan tenang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sahaja, aku akan rendahkan ego dan minta maaf setelah sampai ke rumah.
Tidak lama kemudian aku diuji lagi dengan kehadiran C dalam hidup aku, mencari dan mengajak aku meneruskan hubungan ke arah yang lebih serius, jujur aku goyah. Perasaan sayang muncul kembali dan aku menyalahkan C kerana lambat approach aku.
Aku menjelaskan status perkahwinan ku, dan C faham. Namun dia meminta untuk stay sebagai orang ketiga dalam kehidupan aku, katanya cukup aku ada walaupun tidak dimiliki.
Lama kelamaan perubahanku dapat dihidu oleh suami ku dan kami bergaduh besar, aku jujur kepadanya mengenai C dan aku merayu untuk kekalkan perkahwinan demi anak. Aku mengambil keputusan untuk lupakan dan padam segalanya tentang C.
Pada awalnya C agak marah tetapi dia terima dengan hati terbuka dan melepaskan aku. Berbulan tidak berhubung dia kembali mencari aku untuk mendapatkan kepastian terakhir mengenai status dia di hati aku.
Aku memilih untuk membahagiakan keluarga dan perbaiki diri aku. C memahami dan terus hilang dari hidup aku. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaan C, semoga dia berjaya dalam kerjaya yang dia impikan dan bahagia selalu.
Nukilan,
– Alie (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit