Hanya Dia Untukku

Assalamualaikum buat warga IIUM Confession. Terima kasih admin sekiranya luahan ini diterbitkan kerana ini kali pertama aku menulis di sini.

Maafkan aku jika warkah ini meleret atau sukar difahami kerana aku tidak pandai bermain kata apatah lagi ingin bersastera. Izinkan aku menggunakan nama samaran Fakhrul sebagai nama pena dan Lin sebagai bidadariku.

Lin adalah anugerah terindah daripada Allah terhadapku. Kami berkahwin di usia menjangkau 30 tahun yang mana Lin telah mempunyai kerjaya yang stabil dan beberapa aset sebelum bertemu denganku yang miskin harta.

Perkenalan kami sebentar sahaja sebelum membuat keputusan untuk berumahtangga. Itupun kami dikenalkan oleh orang tua. Lin cakna akan kekuranganku iaitu tidak berharta, entah kenapa Lin sudi mempersuamikan aku.

Berkali-kali aku menyoal Lin akan keputusannya namun setiap kali itu juga Lin memberi jawapan yang meyakinkan iaitu Allah telah menjanjikan rezeki buat pasangan yang bernikah. Maka, bernikahlah kami berdua.

Kasihan Lin, aku hanya mampu memberikan mas kahwin tanpa wang hantaran pada waktu itu sedangkan Lin layak meminta ribuan ringgit kerana rupa parasnya yang sangat jelita, berkulit putih mulus, hidungnya mancung, berkerjaya, pandai masak, bijak dan tubuh yang kecil molek. Kalah artis.

Selepas perkahwinan, aku memulakan kerjaya di tempat baharu iaitu berdekatan tempat kerja Lin. Awal bekerja aku memang tiada wang tunai. Maklumlah sebelum ni kerja kampung dapat wang secara harian. Berhenti kerja jadi tiadalah hasil.

Mujurlah Lin isteri yang memahami dan rajin, dibekalkan aku makanan setiap hari. Lin gigih bangun awal setiap pagi untuk menyediakan makanan aku walhal dia juga bekerja. Sedap betul air tangan bidadari aku. Jimat duit makan di tempat kerja.

Pernah sekali tu wang aku hanya tinggal RM3 itupun duit syiling. Dengan RM3 tu aku ingin mengisi minyak motor. Sesampainya aku di petrol pump aku buka zip beg untuk bayar di cashier, alangkah terkejutnya aku RM3 digantikan dengan not RM50. Tak lain tak bukan ini kerja Lin.

Alhamdulillah, lepas duit minyak untuk sebulan. Tapi Lin tak cakap dia letak duit dalam beg aku. Patutlah dia senyum-senyum waktu bersalaman sebelum kami ke tempat kerja.

Aku sebenarnya banyak dosa dengan Lin. Aku tak mampu menafkahi dia seperti yang isteri orang lain dapat. Lin pun tak pernah meminta apa-apa. Makan di luar dia yang bayar. Barang keperluan dia beli sendiri. Barang keperluan aku pun dia beli senyap-senyap. Beruntungnya aku dapat isteri bidadari.

Tak pernah sekalipun Lin mengungkit atau memarahi aku. Dia tetap hormatkan aku sebagai suami dan ketua keluarga. Berkali-kali aku mohon maaf daripada Lin dan minta halal akan nafkah yang tertunggak. Lama kelamaan, gaji aku mulai naik. Aku mula tanggung semuanya. Aku galas tanggungjawab aku.

Tapi Lin degil, nak juga bantu aku bayar itu ini walaupun aku larang. Hujung bulan, tetap ada wang terselit dalam beg aku walaupun aku tak minta. Lin seolah-olah dapat membaca mindaku. Tak pernah aku minta atau mengadu tidak cukup wang, tetapi Lin faham. Tak mampu balas kebaikan Lin.

Aku hanya boleh meringankan bebannya seperti buat kerja rumah. buang sampah, menggosok baju kerja Lin, mengurut kepalanya setiap kali sakit kepala. Pelik aku. Lin kerap sakit kepala. Katanya stres di tempat kerja. Kadang-kadang aku mengantuk, baru urut kepala Lin 5 minit terus aku terlelap. Kasihan Lin.

Lin seorang yang sangat peka. Dia cepat tangkap. Dah la cantik bijak pula tu. Pernah sekali tu aku teringin nak makan sesuatu tapi tak berani cakap sebab duit tak cukup hujung bulan. Jadi aku pendam sahaja dulu.

Tak lama kemudian Lin beli lauk dan masakkan apa yang aku idamkan. Berkaca-kaca mata aku sambil makan. Rupa-rupanya aku mengidam. Lin mengandung 8 minggu. Patutlah aku asyik mengidam itu ini. Eh bini mengandung aku pula yang mengidam. Pelik tapi benar.

Sepanjang mengandung, Lin mengidam nenas. Ya, buah nenas. Terbeliak mata aku. Bukan aku tak tahu nenas boleh sebabkan keguguran. Jadi aku berkeras halang Lin makan nenas. Sempat aku bergurau akan belikan nenas selori buat Lin selepas berpantang nanti. Lin pun akur.

Aku betul-betul jaga Lin waktu dia mengandung. Aku belikan makanan berkhasiat, susu, dan lain-lain lagi. Lin kerap mengadu sakit pinggang. Aku bantu urut sampai dia tertidur. Syukur Lin tak ada alahan yang teruk.

Tak lama kemudian Lin keguguran di tempat kerja. Bukan rezeki kami. Doktor cakap rahim Lin tak kuat. Lin ditahan ward. Waktu melawat aku masuk melawat Lin. Tersenyum bahagia dia nampak muka aku selepas seharian tak jumpa. Betapa rindunya aku dekat dia. Air hangat mula membasahi pipiku.

Lin tersenyum sambil menyeka air mata aku. Digenggamnya tangan aku sambil bercakap hal-hal positif. Pelik isteri aku ni. Entah hatinya diperbuat daripada apa. Tidak sakitkah dia? Entah. Muka Lin bersih. Nampak tenang.

Selepas Lin sembuh aku bawa Lin pulang ke rumah untuk berpantang. Aku masakkan makanan ibu berpantang. Aku halang Lin buat kerja rumah. Tapi maklumlah, Lin ni degil. Dia buat juga kerja-kerja di rumah termasuk masak. Masih lagi ceria dan tenang.

Ada sekali tu, aku mimpi hantu tengah menangis. Terkejut sampai terbangun aku dibuatnya. Aku dah la kuat mengigau. Dah bangun lagi terkejut aku tengok Lin rupanya yang tengah menangis. Bukan hantu. Lin menangis tersedu sedan. Aku tahu dia sedih. Lama dia tahan. Akhirnya malam tu meletus juga.

Aku peluk sambil pujuk Lin. Lin cakap dia tak kuat tapi dia cuba bertahan sebab aku. Ye la siapa tak sedih kehilangan sesuatu yang sangat kita inginkan. Malam tu aku baru sedar, aku tak betul-betul kenal bidadari aku lagi. Betapa berdosanya aku.

Selepas kejadian tu Lin mula berubah. Masih lagi ceria tetapi mudah jatuh sakit. Mukanya tenang tetapi tidak bercahaya macam dulu. Kerap sakit kepala. Tidur memanjang. Sampai satu tahap, aku bawa Lin ke hospital sebab sakitnya makin teruk. Itu pun kena paksa. Lin. Biasalah. Degil.

Hasil pemeriksaan rupanya Lin ada tumor di tepi otak. Perlu pembedahan. Gugur jantung aku. Ujian apa yang aku hadap sebenarnya ni.

Lin? Macam biasa senyum dan bercakap hal positif. Dia tazkirah aku tentang kisah nabi yang menyedihkan. Dia cakap nabi kekasih Allah pun diuji sedemikian apa lagi kita manusia pendosa. Akhirnya aku bawa Lin pulang dan berehat di rumah. Lin menolak rawatan.

Hari demi hari kesihatan Lin nampak membaik. Pucatnya sudah semakin hilang. Kembali ceria seperti sediakala. Kalau dia marah dia ingat dia tu garang macam harimau agaknya padahal aku tengok dia macam anak kucing sahaja. Comel.

Lin ada banyak keinginan dalam hidup. Banyak yang belum tercapai tapi aku harap keinginan aku yang satu ni tercapai. Aku harap Lin masuk syurga. Lin meninggal seminggu selepas discharge dari hospital. Meninggal dalam tidur dan dalam pelukan aku.

Pagi tu Lin tak bangun masak macam biasa. Aku ingat dia tak larat jadi aku biarkan dia tidur. Pelik sebab dia tak bangun subuh. Biasanya dia akan kejutkan aku subuh, masak, kemudian kami bersiap untuk ke tempat kerja. Lin kaku dan sejuk. Rupanya dia dah kembali ke alam sana.

Lin selalu cakap, dia rindu arwah ibu dia. Aku yakin, Lin dah kembali ke pangkuan ibunya di syurga.

Banyak yang aku belum sempat buat untuk Lin. Banyak aku abaikan dia. Aku terkilan sebab selalu tertidur waktu Lin mengadu sakit kepala. Sepatutnya aku bawa dia ke hospital lebih awal. Aku belum puas jadi suami dia. Belum puas berbakti untuk dia. Sungguh aku terkilan.

Tapi, setiap kali sedih aku akan ingat kata-kata Lin. Aku ingat bait-bait kata positif daripada Lin. Aku banyak belajar tentang kehidupan daripada Lin.

Bidadari aku. Tunggu abang di sana sayang. Al-Fatihah.

– Fakhrul (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *