Penjaga Tirai Besi

Tertarik dengan confession bekas penghuni tirai besi. Boleh baca di sini, (https://iiumc.com/aku-bekas-penghuni-tirai-besi-ii/).

Aku nak kongsi juga sedikit sebanyak tentang pengalaman kerja aku dari sudut penjaga lokap.

Satu pengenalan yang ringkas, aku kerja sebagai polis dan aku buat kerja GD (general duty / tugas am). Penugasan GD ni berubah-ubah dan skopnya sangat luas.

Dari penugasan biasa yang korang selalu tengok macam perkhidmatan kaunter aduan (taip repot), rondaan MPV (patrol car), ronda bermotosikal, jaga pos pengawal,

Sehingga penugasan luar yang lain seperti jadi pegawai perhubungan sekolah, jaga aman untuk apa-apa majlis, buat road block, buat perjumpaan dengan penduduk dan lain-lain.

Salah satu skop kerja GD adalah menjadi pengawal lokap. Lokap polis ni boleh dikatakan ‘adik’ kepada penjara. Saiznya tidak besar. Macam tempat kerja aku, lokap lelaki cuma boleh memuatkan seramai lebih kurang 40 orang sahaja.

Penghuni lokap tidak dipanggil dengan panggilan banduan tetapi OKT (orang kena tahan / orang kena tuduh). Yang masuk dalam lokap polis belum tentu bersalah. Lokap polis ni macam tempat transit sebelum OKT diputuskan untuk dibebaskan atau dihantar ke penjara.

Tempoh OKT berada dalam lokap berbeza mengikut pertuduhan yang dikenakan. Ada yang direman tak sampai 24 jam dan ada yang direman sehingga berbulan-bulan. Kebiasaannya tempoh reman adalah 3 hari.

Kalau kes tu boleh diselesaikan dalam masa kurang dari 24 jam, maka OKT tersebut cuma akan ditahan dalam lokap untuk tempoh 24 jam atau kurang.

Sekiranya tempoh 24 jam tak cukup untuk menyelesaikan kes, maka pegawai penyiasat akan mohon permohonan reman untuk OKT tersebut di mahkamah dan DPP (timbalan pendakwa raya) akan menentukan berapa hari tempoh reman yang sewajarnya diberikan (kebiasaannya 3 hari).

Sekiranya 3 hari tempoh reman pun tak mencukupi untuk buat penyiasatan dan selesaikan kes, maka pegawai penyiasat sekali lagi akan membuat permohonan untuk sambung reman. Kalau dapat, dapat la. Kalau tak dapat, OKT tersebut akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Di sini lah banyak kekeliruan berlaku. Tidak semestinya OKT yang dibebaskan dengan jaminan polis itu adalah kerana kehendak pihak polis tetapi boleh jadi dibebaskan kerana permohonan untuk sambung reman ditolak oleh mahkamah.

Lagi satu kekeliruan adalah, orang ramai akan mudah triggered dengan istilah ‘dibebaskan dengan jaminan polis’ lebih-lebih lagi bila kes tersebut mendapat liputan meluas dan tular.

Maksud dibebaskan di sini adalah bukannya terus tutup kes. Tetapi dibebaskan sehingga ada bukti dan petunjuk baru berkenaan kes yang disiasat.

Bermakna OKT yang diberi jamin polis perlu hadir ke balai polis sekiranya dipanggil.

Jika gagal berbuat sedemikian, waran tangkap akan dikeluarkan dan OKT tersebut akan tersenarai dalam senarai orang yang dikehendaki (wanted person). Inilah yang dimaksudkan dengan dibebaskan tanpa dilepaskan.

Macam yang aku tuliskan tadi, tempoh reman OKT berbeza mengikut pertuduhan. Kebiasaannya adalah 3 hari. Untuk kes PATI, tempoh reman adalah 14 hari. Untuk kes POCA, tempoh reman adalah 21 hari atau lebih. Untuk kes LLPK, tempoh reman adalah 60 hari.

Bagi sesiapa yang tidak tahu apa itu PATI, POCA dan LLPK, korang boleh google sendiri.

Prosedur biasa bila OKT masuk ke lokap, mereka kena berbogel dan squat macam yang Akira ceritakan dalam confession beliau sebelum diberikan pakaian lokap.

Bukan niat untuk memalukan OKT tetapi untuk memastikan tiada barang terlarang diseludup masuk ke dalam lokap. Pemeriksaan akan dilakukan dengan teliti.

Kalau OKT ada bawa rokok, pod, vape, pemetik api, benda-benda tajam, kesemua benda tu akan dirampas.

Barang-barang berharga macam telefon bimbit, wang tunai, jam tangan dan barang kemas akan disenaraikan di dalam borang untuk didaftarkan dan disimpan di pejabat dan OKT boleh tuntut balik barang berharga mereka selepas keluar dari lokap. Semuanya akan ditulis dengan teliti.

Contoh macam telefon bimbit dan jam tangan, kami akan nyatakan jenama, jenis dan warna di dalam borang.

Untuk wang tunai, kami akan arahkan OKT kira betul-betul di hadapan kami dan kami akan double check termasuk wang tunai matawang asing. Kad-kad bank OKT juga kami akan senaraikan jika ada.

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati, OKT dan anggota pengawal lokap yang bertugas pada waktu tu akan tandatangan pada borang tersebut.

Selepas kedua-dua pihak tandatangan, barang-barang OKT termasuk borang yang mengandungi senarai barangan OKT akan diserahkan kepada anggota yang berada di pejabat untuk semakan.

Setelah selesai semakan, barulah barang-barang tersebut akan disimpan dalam safe box. Hal ini untuk memastikan tiada barangan OKT yang hilang atau dicuri.

Untuk barang-barang yang tidak berharga pula macam baju, seluar, selipar atau kasut, barang-barang tersebut akan disimpan di dalam locker berkunci yang ada di dalam lokap dan setiap OKT akan diberi satu locker untuk setiap orang melainkan jika mereka memilih untuk berkongsi locker.

Dalam lokap ada CCTV. Ya, CCTV ditempatkan di dalam setiap sel dan lorong sel, termasuk di kawasan tandas dan tandas di dalam sel tiada penghadang. Tapi CCTV tersebut telah disetting. Bahagian mangkuk tandas dikaburkan. Jadi jika OKT sedang mencangkung buang air besar atau kecil, kami tak nampak.

CCTV tu adalah untuk keselamatan OKT dan pengawal lokap, takde tujuan lain.

Pernah ada cubaan bunuh diri dalam lokap tempat kerja aku. Nasib baik ada CCTV. Rondaan sel sejam sekali. Kadang-kadang OKT dah boleh agak bila kita akan meronda. Waktu kita tak buat rondaan sel, masa tu la sel-sel otak mereka berhubung dan waktu tu la pentingnya ada CCTV.

Makanan OKT? Sehari empat kali. Sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam dan makan lewat malam. Untuk makan tengah hari dan makan malam, OKT dibekalkan nasi. Setiap kali waktu makan, kami akan order lebih dari tender makanan kalau-kalau OKT minta tambah.

Contoh kalau OKT ada 30 orang, kami akan minta makanan untuk 34 orang. Tapi kalau nak tambah nasi, kena minta masa makan. Contoh kalau waktu makan tengah hari pukul 1, paling lambat OKT boleh minta nasi tambah adalah pukul 1.30 petang. Lepas tu takde dah.

Andai kata pukul 4 petang OKT minta nasi, kami takkan bagi walaupun nasi lebihan makan tengah hari masih ada. Bukan sebab kejam tapi sebab takut-takut makanan tu sudah rosak.

Makanan takde rasa? Kalau ikut pengalaman aku, itu bergantung kepada tender makanan. Sejujurnya, aku pun pernah makan makanan OKT. Kalau dapat tender yang masak lebih kurang, memang hauk.

Ikutkan pengalaman aku juga, kami akan repot kepada bos kalau tender makanan tu masak main campak je. Bos akan tegur tender. Kalau tak jalan jugak, tukar tender baru.

Tak sepatutnya masak lebih kurang je walaupun masak untuk OKT. OKT pun manusia. Lagipun peruntukkan untuk satu OKT boleh tahan lumayan nilai dia.

Kami juga akan tanya OKT kalau-kalau ada yang alergik ataupun vegetarian. Yang mana ada alergik atau vegetarian, kami akan order makanan yang sesuai dengan mereka.

Kalau ada OKT yang sakit ringan, kami perlu beri ubat. Panadol wajib ada dalam simpanan.

Untuk OKT yang ada penyakit kronik macam sakit jantung atau kencing manis, mereka dibenarkan bawa masuk ubat tetapi ubat tersebut perlu disimpan oleh pengawal lokap. Mereka tak boleh simpan ubat di dalam sel. Kalau nak makan ubat, mereka kena minta dengan pengawal lokap.

Ubat tu pula mestilah dari klinik atau hospital kerajaan. Ubat untuk penyakit kronik yang bukan dari klinik atau hospital kerajaan tidak dibenarkan kerana bimbang mempunyai kesan sampingan.

Penggunaan telefon, rokok dan vape di dalam lokap adalah diharamkan sama sekali, bukan sahaja untuk OKT tetapi juga untuk anggota bertugas.

Kalau jadi pengawal lokap, segala barang tidak boleh dibawa masuk kecuali pen dan buku saku. Barang-barang lain macam beg, dompet, duit, rokok, telefon, vape, lighter dan sebagainya perlu ditinggalkan di luar lokap.

Sudah jadi benda biasa bila aku buat rondaan sel, ada OKT minta rokok, minta guna telefon untuk telefon anak bini. Bukan tak nak tolong, tapi aku sendiri pun memang tak bawa masuk benda-benda tu.

Kalau aku didapati bawa barang salah masuk ke dalam lokap, aku boleh kena tindakan tatatertib, sama ada tahan bonus, tahan kenaikan gaji, diturunkan pangkat atau dibuang kerja, bergantung kepada berapa serius kesalahan yang aku buat.

Jadi daripada aku merisikokan periuk nasi aku, lebih baik aku ikut je peraturan.

Cukup setakat ni je kot penulisan aku. Macam panjang sangat dah. Untuk pembaca, aku tinggalkan serangkap pantun.

Timang tinggi-tinggi,

Sampai cucur atap;

Belajar biar tinggi,

Jangan masuk lokap.

– Ben (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *