Sekilas Di Muzdalifah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca. Setiap kali musim haji pasti aku teringat akan satu peristiwa yang berlaku ketika melaksanakan ibadah haji beberapa tahun yang lepas.

Aku mendaftar haji pada tahun 2007. Aku ‘dipaksa’ oleh emak kerana sebenarnya masa tu tak terfikir lagi pasal haji. Hidup aku serabut yang amat pada ketika itu kerana pergolakan rumah tangga.

Aku dimadukan oleh suami dengan alasan aku tidak punya zuriat. Kecik hati sungguh masa tu sebab baru 2 tahun kami berkahwin.

Dalam tengah serabut-serabut tu, mak ajak daftar haji. Ada duit simpan-simpan nak buat apa katanya.

Aku pun daftar haji. Masa tu entah kenapa aku daftarkan suami sekali. Duit dia dalam akaun tak cukup lagi untuk daftar haji. Maka aku top up sikit dan dapat daftarkan dia.

Bila dia tahu, dia marah. Aku kata tak apalah kalau nak pergi dengan madu. Tak nak pergi dengan aku pun tak apa. Konon nak ambil hati. Akhirnya aku yang terluka.

Masa berlalu dan akhirnya kami bercerai setelah 6 tahun berkahwin (4 tahun bermadu). Aku pindah tempat kerja dan kami lost contact begitu saja sebab tak ada anak bersama. Tak ada kaitan apa-apa, lagi pula aku pun dah kahwin baharu.

Setelah hampir 8 tahun mendaftar, aku dapat panggilan haji. Mak pun dapat sekali. Terus aku teringatkan bekas suami.

Tak lama lepas aku dapat surat, aku terima panggilan dari dia yang mengatakan dia pun dapat pergi. Dia pergi seorang tanpa isterinya tu. Aku pula dapat bawa suami baru sekali.

Sebenarnya sepanjang kami berpisah, ada 2 kali aku ke rumahnya. Sekali aku singgah menjenguk mak dan abah kerana kebetulan pergi berkursus berdekatan dengan rumahnya. Sekali lagi masa kenduri kahwin adik dia.

Tetapi sekali pun tak pernah aku terserempak atau bersua muka dengannya. Untuk pergi haji ini, aku tanya padanya kalau kita terserempak, apa yang harus aku buat? Dia kata buat tak kenal.

Penerbangan haji aku menuju ke Madinah dahulu. Bila check in hotel, aku ternampak namanya dalam list penginapan batch sebelum ketibaan giliran kami. Kiranya masa aku sampai Madinah, dia dah ke Mekah. Semasa di Mekah pula kami berlainan maktab.

Sejujurnya, aku teringat kembali padanya semasa di Arafah. Masa wukuf tu tak ada yang lebih penting dari memohon keampunan dari Allah atas segala dosa yang kita dah lakukan.

Memang, aku dimadukan dan digantung tak bertali agak lama. 4 tahun turun naik mahkamah seorang diri untuk mendapatkan sebuah talak. Tetapi aku juga punya salah dan silap dalam menjalani hidup bermadu.

Aku lebih banyak emosi berbanding redha. Mungkin kerana aku sendiri kurang ilmu pada waktu itu. Apa pun, yang lepas telah pun terjadi. Hidup perlu diteruskan walaupun telah membawa haluan masing-masing.

Selepas habis waktu wukuf, kami semua bergerak ke Muzdalifah untuk mabit. Bas aku paling awal, jadinya kami perlu bergerak melintasi padang Muzdalifah tu sampai ke hujung (pagar). Di situlah aku berehat sebelum mengutip batu untuk dibawa ke Mina.

Akibat kelelahan dan kepanasan dalam ihram, aku berehat sambil perhatikan satu-satu bas yang melintas dari tepi pagar. Tiba-tiba aku ternampak kelibat dia di dalam bas. Dan dia juga seperti terkejut melihat aku di tepi pagar.

Dalam lautan manusia itu, Allah rezekikan untuk aku melihatnya. Bayangkan, aku yang kecil terselit dalam ribuan manusia. Sementara dia dalam bas sedang berihram telah botak kepala. Semua orang nampak serupa.

Tapi, kalau Allah izinkan, kami dapat saling mengenali dan bertukar pandangan. Sesaat dan sekilas saja rasanya sebelum aku berpaling dan macam nak menyorok.

Selepas habis rukun haji, kami sedikit santai dan habiskan masa membuat persiapan untuk balik ke Malaysia. Aku tak terjumpa lagi dengannya, walaupun rupa-rupanya dia masih mencariku semenjak di Mina lagi.

Sebelum berangkat balik, dia meninggalkan pesan bahawa dia mencariku dan emak untuk memohon ampun dan maaf.

Buat kamu.. walaupun kita tidak berjumpa, saya maafkan kamu dan maafkan juga salah silap saya. Semoga kita menjadi hamba yang Allah redhai.

Terima kasih yang sudi baca.

– Hajah Intan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *