Untuk part 1, https://iiumc.com/mengurus-
Saya berterima kasih untuk yang mendoakan kami sekeluarga. Saya kembalikan kebaikan doa yang sama untuk kalian semua. Ini adalah perkongsian/ maklumat tambahan.
Arwah suami mempunyai 8 orang adik beradik. Masih mempunyai ibu. Ayah sudah meninggal dunia sebelum arwah.
Jadi urutan waris untuk tujuan faraid harta pusaka arwah suami adalah ibunya, saya (isteri) dan 6 orang anak saya. Adik beradik arwah suami tidak termasuk dalam waris kerana kami ada anak lelaki.
Saya petik satu komen,
‘Tutup acc di bank macam tu saja? Tanpa perlu surat kuasa? Macam pelik. Biasa bank akan frozen acc lepas tahu pemilik acc meninggal. Tunjuk surat kuasa/ pentadbir baru boleh buat urusan utk acc simati’.
Ya. Kes saya tak perlukan surat kuasa untuk tutup akaun mungkin sebab jumlah baki tidak melebihi jumlah yang ditetapkan.
Yang perlukan surat kuasa adalah untuk dapatkan tunggakan gaji arwah (kerana melebihi jumlah yang ditetapkan) dan untuk urusan tukar hak milik tanah dan kenderaan.
Komen yang kedua,
‘Yang urusan asb tu puan uruskan direct dengan asb kan? Kita boleh memilih untuk menggunakan amanah raya atau direct kan..? adakah bergantung jumlah simpanan atau tidak?’
Ya, saya ke kaunter sendiri. Kadar khairat kematian mengikut jumlah simpanan. Khairat dapat tunai terus di kaunter. Jumlah simpanan arwah bawah RM2500. Tak pasti berapa had yang perlu tunjuk surat kuasa.
Komen yang ketiga,
‘Tapi suka diingatkan, sebaik saja suami meninggal, duit dlm bank pun dah jadi harta pusaka. Memang banyak yang berpesan suruh keluarkan duit dlm bank arwah sebelum mendaftar sijil kematian.
Sebab sekali sijil dah keluar, akaun bank akan dibekukan. Catit berapa duit bank yg kita kelurkan dan belanja, ianya perlu dimaklumkan semasa bicara pusaka. Boleh ditolak dari bahagian faraid kita. Unless waris lain halalkan’.
Betul. Setiap tuntutan/ urusan yang berkaitan arwah suami ni saya rekod/catat. Tarikh mohon, jumlah dan tarikh terima duit claim, adakah ianya harta pusaka atau tidak, jumlah hutang dan sebagainya.
Hutang arwah melebihi harta pusaka (harta dalam bentuk wang tunai). Saya gunakan duit tuntutan lain (ganjaran persaraan, takaful dan lain-lain) untuk selesaikan baki hutang. Dah selesai semua, saya print dan saya tunjukkan dan terangkan kepada keluarga mertua.
Komen keempat,
‘Jangan tak tahu, ibubapa juga ada hak atas harta2 peninggalan anaknya. Bahkan hak.ibubapa lebih banyak dari hak isteri. Itulah adilnya ISLAM’.
Betul. Seperti yang saya maklum di atas tentang urutan waris arwah suami.
Komen kelima,
‘Bertuah sekiranya ada anak lelaki, suami tiada isteri lain dan mertua tidak masuk campur urusan tuntutan harta si mati. Ini privilege yang diperolehi’.
Alhamdulillah, saya dikurniakan privilege ini. Nikmat Allah yang mana lagi yang saya hendak dustakan.
Saya sangat beruntung kerana mempunyai keluarga mertua yang sangat baik dan tahu hukum agama. Walaupun ibu mertua mempunyai hak dari segi faraid, tapi semasa perbicaraan, beliau melepaskan bahagiannya.
Pada pengetahuan saya, tanggungjawab nafkah untuk anak-anak saya jatuh kepada adik beradik arwah suami. Alhamdulillah, adik beradik suami juga tidak pernah miss untuk beri duit kepada saya dan anak-anak setiap kali kami berjumpa.
Komen keenam,
‘Thank you share. Harta tak banyak tapi semua urusan yang memerlukan bayaran bulanan ada di waive. Ada kelebihan bab takaful di situ alhamdulillah’.
Setuju. Sangat membantu meringankan beban saya sekeluarga. Saya berterima kasih kepada kawan-kawan yang menjentik saya (indirectly) untuk mencarum sebelum ini walaupun masa tu tak berapa nampak kepentingannya.
Sedikit perkongsian lain.
1) Duit ziarah.
Keluarga mertua serahkan kepada saya sekeluarga semua duit orang yang datang melawat selepas kematian suami. Melalui pembacaan saya, duit ini bukan harta pusaka.
Tapi saya catat jugalah berapa amaunnya. Saya spend untuk kegunaan kami sekeluarga. Untuk kenduri arwah, keluarga mertua tanggung semuanya.
2) Ganjaran persaraan.
Diasingkan terus portion untuk ahli waris. Bahagian mertua terus dimasukkan dalam akaun mertua. Bahagian saya dan anak-anak masuk akaun saya.
3) Orang lain berhutang dengan suami.
Alhamdulillah, hutang suami pada orang lain yang dalam pengetahuan saya dah selesai. Kalau ada yang diluar pengetahuan saya, akan adalah tu yang mencari, hihihi.
Tapi hutang orang lain pada suami masih belum selesai. Hutang ini dalam pengetahuan saya. Kalau ada rezeki, insyaAllah akan kembali kepada kami.
4) Zakat pendapatan.
Mujur juga saya ada rekod tentang urusan selepas kematian suami ni. Semua duit yang saya dapat tu dikenakan zakat pendapatan.
Sekali lagi nasihat dari saya, ambillah takaful untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Jika pasangan tak mahu, kita lah yang mencarum untuk dia, daftar atas nama dia dan kita yang bayar untuk dia.
Daftarkan juga siapa wasi/ benefisiari. Kalau ada apa-apa yang berlaku pada pasangan, kita yang akan dapat manfaatnya. Kalau kita yang pergi dulu, benefisiari lah yang akan dapat manfaatnya.
Disclaimer: saya tidak mendapat komisen dari mana-mana pihak.
Semoga bermanfaat.
– Anonymous (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit