Sang Pencari

Pada hari itu, aku lihat mereka mengeluarkan beberapa buah bag plastik berwarna hitam dari rumah, kemudian bag itu ditanam ke dalam lubang yang sudah digali di tepi rumah. Kandungan dalam bag itu ialah buku-buku dan risalah-risalah.

Aku masih kecil ketika itu, setahun jagung, masih dalam peringkat usia belajar bertutur dan memahami. Namun, peristiwa itu menjadi antara memori terawal yang masih melekat kuat dalam hayat aku sehingga kini.

Apa yang berlaku seterusnya, telah terpadam dari ingatan. Tetapi, apa yang aku tahu, selepas hari itu, kami tidak lagi tinggal di sana. Kami berpindah jauh dari perkampungan Al-Arq*m itu, segala perhubungan dengan orang-orang Al-Arq*m di Kg. S* P* terputus sama sekali.

Beberapa belas tahun kemudian, barulah aku dapat tangkap apa maksud kejadian hari itu.

Buku dan pelbagai risalah ditanam sebagai jalan untuk menghapuskan bukti, tentunya ia penerbitan Shoutul Arq*m. Berpindah serta-merta pula ialah sebagai sebahagian langkah untuk menyelamatkan kami sekeluarga dari ditahan.

Kerana hari itu, Al-Arq*m telah diharamkan, dan para pemimpin utama telah ditangkap melalui Akta ISA, pihak polis melalui SB dan FRU telah mula memasuki perkampungan Al-Arq*m yang bertebaran di seluruh negara.

Hari itu Darul Arq*m betul-betul diruntuhkan, ramai ahli jemaah ditahan untuk dipulihkan aqidahnya. Tetapi, aku pula secara peribadi telah melalui perjalanan panjang yang penuh liku dan duri sebelum dapat merungkai apa sebenarnya yang terjadi. Dan ini cerita aku.

Beberapa tahun selepas berpindah dari perkampungan Al-Arq*m, aku seperti kanak-kanak lain, murni seperti sehelai kain putih, bebas dari sebarang pandangan isu semasa, politik, termasuk ajaran-ajaran di dalam jemaah Al-Arq*m.

Pelajaran agama dan fardhu ain semata-mata ditimba dari guru di sekolah harian.

Dalam pada itu, jauh di dalam hati aku, telah tersemat suatu perkara, tertanam dan ditambat mati, “Kami dulu orang Arq*m”. Namun, jika ditanya apa itu Al-Arq*m, aku tidak mampu menjawabnya.

Seingat aku juga, waktu itu umi aku masih memakai purdah bersama tudung labuh. Aku tidak pasti jika ada yang memandang serong terhadap kami atau tidak.

Sepanjang tempoh aku membesar, adakalanya umi bercerita tentang pengalamannya ketika era Darul Arq*m dahulu.

Ada suatu hari tu, kami keluar malam, kebetulan bulan mengambang penuh. Umi sebut, dia nampak wajah Ab*** di bulan.

Aku melihat, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk buat bayangan, tetapi yang aku nampak tetaplah sekadar bulan penuh. Tiada wajah manusia. Sedikit sebanyak, begitulah aku mengenal Al-Arq*m, melalui cerita dan pengalaman umi, dan diceritakan secara bersahaja.

Umi juga tak pernah ajar apa-apa amalan khusus pengikut Al-Arq*m kepada kami. Pelajaran agama, banyak aku ambil secara formal semenjak tadika dan silibus sekolah.

Cuma, kadangkala aku dengar mereka membaca wirid selepas solat, ia agak panjang dan dilagukan, aku fikir itulah Aurad Muhammadiyah.

Selain itu, kami hanyalah seperti keluarga Muslim yang lain. Abi aku pun, sering solat berjemaah di masjid, tiada apa yang pelik.

Ketika di sekolah rendah, aku gemar membaca, ia menjadi hobi masa lapang.

Ada kalanya, aku meminjam buku cerita daripada perpustakaan sekolah, sebulan sekali, abi akan beli majalah A*, tetapi aku fikir bahan bacaan yang paling banyak aku baca ialah surat khabar.

(*Aku dapat tahu ketika dewasa, majalah A* ini sebenarnya diterbitkan oleh bekas pengikut Al Arq*m).

Kemudian, di suatu hari, takdir membawa aku kepada sepotong perkataan dalam sebuah artikel dalam akhbar, ia menarik perhatian aku.

Serta merta, aku yang naif ini bertanya kepada umi dan abi, “Umi, kenapa Al-Arq*m sesat? “.

Namun, mereka tidak menjawab, hanya berpandangan sesama sendiri dan mendiamkan diri. Aku terpinga-pinga sambil menanti jawapan, dan selepas beberapa ketika, aku pun senyap juga, tidak bertanya dengan lebih lanjut, aku sedar soalan itu tidak menyelesakan.

Tetapi, persoalan itu terpahat didalam sanubari aku, menjadi sebuah teka-teki yang tidak terungkai. “Kenapa Al Arq*m sesat?”.

Iyalah, aku tengok amalan keluarga kami, tiada yang pelik. Solat 5 waktu dijaga sebaiknya, tak solat kena rotan. Begitu cara aku berfikir sewaktu masih kanak-kanak.

Semenjak hari itu, aku cuba mencari jawapan sendiri. Enjin carian Yahoo di internet menjadi alat utama. Namun, tidak banyak maklumat yang aku dapat untuk merungkai persoalan. Masih samar-samar. Tetapi sekurang-kurangnya aku sudah mula mengenal apa itu Darul Arq*m.

Dari carian itu aku dapat tahu, Darul Arq*m dahulu membangunkan sistem ekonominya sendiri. Mereka ada sistem pendidikan rendah dan menengah. Menubuhkan klinik sendiri.

Rumah terbitan mereka juga kaya dengan pelbagai buku, majalah dan bahan bacaan termasuk untuk wanita, kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Pada era 80an, Malaysia ketika itu popular dengan rock kapak, kemudian Darul Arq*m menyediakan musik alternatif sendiri.

Musik alternatif ni sangat menarik dan memberi kesan besar dalam arena nasyid, sehingga ke hari ini. Lirik yang dikatakan dikarang sendiri oleh Ust. A* Muhammad itu sangat mendalam.

Selain itu, aku juga baru dapat tahu yang A* Muhammad ini didakwa sebagai Pemuda Bani Tamim. Pemuda yang akan menyerahkan panji-panji kepada Imam Mahdi ketika berlakunya Daulah Islamiyyah.

Kata Abi, dalam hadith ada dinyatakan ciri-ciri Pemuda Bani Tamim ini, tetapi disorokkan oleh para ustaz wahabi di luar sana, kerena mereka cemburu dengan Ab***. Ya, wahabi. Seawal usia itu aku mengenal perkataan wahabi, sebelum wujudnya media sosial.

Kata Abi lagi, antara tanda Pemuda Bani Tamim yang ada pada Ab*** ialah gigi kapaknya, tetapi gigi kapak ini telah dicabut ketika Ab*** di tangkap. Khabar angin gigi kapak ini sememangnya menjadi buah mulut ahli jemaah lain yang masih setia.

*Lihatlah bagaimana cara mereka dikawal, sumber agama dari luar ditutup dengan tuduhan bukan-bukan, akhirnya orang bawahan ini hanya menerima maklumat dari pemimpin atau orang atasan mereka sahaja.

*Pada pandangan peribadi aku, masyarakat Muslim di Malaysia sehingga awal 80an secara umumnya dalam keadaan yang agak liberal, jauh dari syariah.

Iklan minuman keras bebas dilakukan oleh orang Melayu, tudung bagi perempuan akan dipandang serong, uniform sekolah juga dengan seluar pendek atau pinafor.

Pendek kata, wujudnya vakum syariah Islam, maka apabila Darul Arq*m tiba dengan mesej menubuhkan Daulah Islamiyah, ramailah terpengaruh, termasuk umi dan abi aku.

Ketika aku di bangku sekolah menengah, ajaran Al Arq*m telah cuba dihidupkan kembali. Aku fikir, ia bermula sebaik sahaja A* Muhammad dibebaskan dari tahanan rumah pada tahun 2004. Tetapi kali ini bukan melalui pertubuhan, tetapi melalui syarikat R* Corporation.

Licik mereka mengatur langkah, menteri atau jabatan agama boleh mengharamkan pertubuhan, tetapi syarikat tidak boleh diharamkan sesuka hati, sesiapa sahaja boleh membuka syarikat dan menjalan aktiviti perniagaan bukan?

Lalu, berhubunglah semula saki-baki ahli jemaah Darul Arq*m di serata negeri. Anak-anak mereka, termasuklah aku, dibawa sekali ketika program. Aku fikir, mereka ada sistem pendoktrinan yang sistematik.

Sebulan sekali, umi dan abi akan bawa kami ke program, biasanya pada waktu malam, lokasinya di luar daerah.

Program ini seperti ceramah/usrah, ia menceritakan kembali apa sahaja berita yang diterima dari peringkat atasan. Ahlinya ialah mereka yang tinggal di dalam daerah atau daerah berhampiran, kurang lebih tidak sampai 10 orang.

Di daerah / zon lain, aku fikir begitulah jugalah mereka berkumpul. Aku tidak tahu ada berapa banyak zon di seluruh Malaysia ini. Tetapi, sewaktu hari raya, kami akan berkumpul di peringkat negeri pula. Jumlahnya ramai.

Tetapi, mungkin kerana waktu itu aku masih di peringkat remaja, lebih gemar meluang masa bermain bersama kawan-kawan, maka aku mengelak untuk pergi ke program walau diajak oleh umi dan abi.

Jadi, sedikit sebanyak aku terpelihara daripada jatuh ke dalam doktrin jemaah.

Beberapa tahun kemudian, keluar pula dokumentari di siaran televisyen RTM. Dokumentari tentang Al Arq*m, bagaimana Ust. Asyaari Muhammad ditangkap, mengapa Al Arq*m difatwakan sesat, dan sebagainya.

Ia jadi tamparan besar kepada aku, sedikit sebanyak persoalan aku terjawab. Mengapa mereka difatwa sesat?

Menurut dokumentari itu, antaranya kerana mengamalkan zikir Aurad Muhammadiyah, pengasas Al Arq*m iaitu Ust. A* juga mendakwa mampu yaqazah, iaitu berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara jaga, malah mereka buat rakaman suara ketika perjumpaan itu, diaturkan oleh Azura. Semua ini disiarkan dalam dokumentari tersebut.

Aku waktu itu hanyalah seorang remaja biasa, sekolah agama di sebelah petang pun kadang kala tidak hadir, tetapi aku sudah faham apa itu ciri-ciri ajaran sesat. Mendakwa mampu bertemu Nabi SAW secara yaqazah ini sangatlah terang dan nyata. Tidak boleh nak kata apa lagi, itulah yang aku faham hasil pembacaan aku ketika itu.

Namun begitu, anak yang manakah mahu menerima ibu bapanya sesat? Anak manakah yang rela menerima kenyataan sedemikian rupa. Jiwa aku memberontak, hati aku remuk.

Semenjak itu, aku menjadi ragu-ragu. Jika mereka itu salah, jika Al Arq*m itu salah, jadi apakah yang betul? Siapakah yang benar? Persoalan ini pula menjadi teka-teki aku yang baru.

Kata orang, jika kita menangis, masalah itu akan berlalu pergi bersama air mata. Tetapi, mungkin kerana masalah itu kerap menghantui kita setiap hari, setiap malam, setiap kali kita berseorangan, air mata tidak lagi dapat menyelesaikan masalah, aku selalu merasa sedih.

Setiap hari selepas solat, aku bermunajat memohon petunjuk dari Ilahi, supaya ditunjukkan jalan yang benar, diberikan hidayah, dan kami dilindungi daripada ajaran sesat.

Selama bertahun-tahun, itulah yang aku doakan. Tiada tempat lain untuk aku meluah dan bergantung harap, tidak adik beradik lain, tidak guru-guru, tidak rakan-rakan, hanyalah kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Beberapa tahun selepas itu, aku masuk ke pengajian tinggi pula. Di zaman ini, semua orang komputer sendiri, tak perlu pergi cyber cafe macam dahulu, masing-masing ada akaun media sosial, internet juga tersedia di mana-mana, pendek kata, maklumat hanya di hujung jari.

Sewaktu ini, aku masih terus mencari-cari berita baharu berkaitan jemaah Arq*m sekiranya ada. Jauh di sudut hati, aku masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibu ayah aku sesat. Aku cuba mencari-cari alasan.

Contohnya, ada juga tarekat lain yang mendakwa mampu atau pernah yaqazah dengan Nabi SAW, tetapi mengapa mereka tidak difatwa sesat? Jangan-jangan, yang kata sesat itu hanya wahabi? Cara mereka lain. Begitu cara aku buat penghujahan, cuba bersangka baik dan memberi alasan seboleh mungkin.

Waktu ini juga, aku jumpa akaun FB Zabidi Mohamed. Beliau ini dahulu bekas penasihat undang-undang Al Arq*m, telah bertaubat setelah peristiwa Al Arq*m diharamkan pada tahun 1994 tersebut. Beliau ini juga ada menulis buku mengenai al Arq*m, “Tersungkur Di Pintu Syurga”.

Aku tahu sebab sebelum itu banyak blog yang tulis mengenai Al Arq*m akan sebut mengenai buku ini. Ia mengenai sejarah awal Al Arq*m sehinggalah ke hari pengharamannya, termasuk detik A* Muhammad ditangkap.

Sayangnya waktu itu buku tersebut telah habis di pasaran, belum lagi dicetak semula, tetapi kebetulan waktu itu beliau menjual buku baharu, “Panglipura Sang Majistret”.

Apa yang aku cuba sampaikan ialah, selepas beli buku tersebut dan bawa balik ke rumah. Sekilas pandang umi aku tengok muka hadapan, yang terpampang muka penulis dengan nama Zabidi Mohamed, umi aku terus sebut, “dia ni dulu jahat”.

(*aku fikir kerana penerbitan buku “Tersungkur Di Pintu Syurga”, mungkin pada jemaah yang masih setia, Zabidi ini buat cerita palsu atau sudah belot).

Sehingga tahap itulah saki-baki jemaah kena “brainwashed”. Siapa sahaja yang bercanggah dengan jemaah, karakternya akan dibunuh.

Jadi, apa sahaja yang mereka sebut, ahli jemaah tidak akan percaya. Mungkin begitulah mengapa ramai ahli biasa masih terperangkap dalam kegelapan ini.

*Buku “Tersungkur Di Pintu Syurga ini aku telah beli setahun dua kemudian dari FB penulisnya sendiri, stok bukunya masih ada sampai sekarang.

Ketika dalam fasa aku di IPT jugalah Tuhan membawa aku ke takdir yang baru, apabila seorang rakan sekuliah ajak aku pergi usrah, menadah kitab pengajian aqidah.

Tetapi ia bukan sebarangan kitab aqidah, tetapi kitab aqidah terjemaah dari kitab berbahasa Arab. Itulah kali pertama aku jumpa kitab aqidah sedemikian, sebelum itu pelajaran aqidah yang aku belajar hanyalah dari buku-buku teks Pendidikan Islam ketika di sekolah. Silibusnya tidak terperinci.

Namun, kitab aqidah itu pula isinya berbeza metodologinya dengan apa yang aku pegang sebelum ini. Lebih-lebih lagi berkaitan ayat sifat. Contohnya keberadaan Allah di atas ArasyNya. Ia bercanggah dengan pemahaman aku,

Allah wujud tidak bertempat atau Allah berada di mana-mana. Menurut kitab tersebut, harus beriman dengan zahir ayat Qur’an. Takwilan hanya apabila ada contoh daripada Hadis.

Aku jadi keliru, antara mahu menerima atau tidak. Berhari-hari aku fikir. Aku cuba berhujah dengan kawan, kemudian dari situ jugalah baru aku ketahui, aqidah juga sebenarnya ada khilaf, bukan fikah sahaja.

Satu cara salaf, satu cara khalaf. Pihak yang cuba mendamaikan dua golongan ini biasanya akan sebut, jalan salaf jalan lebih selamat, jalan khalaf jalan lebih alim dan bijaksana.

Berhari-hari aku termenung memikirkan perkara itu, sambil memohon Tuhan menunjukkan jalan. Pada aku, ini berkaitan aqidah, bukan perkara main-main, bisik aku di dalam hati.

Sehinggalah akhirnya aku buat keputusan memilih cara salaf. Aku punya logik waktu itu, aku akan ikut kalam Al Qur’an dan Hadis, mustahil ikut zahir ayat Quran boleh tersesat, dan jika ini sesat sekalipun, di akhirat kelak, di hadapan Allah Azza Wajalla, hujah aku ialah Al Qur’an dan Hadith itu sendiri. Bukan ustaz, bukan tuan guru, bukan ulama.

Mereka hanyalah semata-mata guru untuk membawa kita memahami Kalamullah dan As Sunnah, bukan sebaliknya. Mereka juga boleh tersilap, mereka boleh tergelincir, mereka boleh terpedaya dengan belitan halus sang Iblis, seperti apa yang telah berlaku kepada Ust. A* Muhammad.

Semenjak itulah, cara aku memahami agama bertukar. Aku seperti dilahirkan semula, lahir dengan cara berfikir yang baru.

Memahami agama, mesti dengan Quran dan Sunnah. Semua yang bercanggah dengannya, walaupun keluar dari mulut sang guru, ia adalah batil.

Oleh kerana cara berfikir aku sedemikian, ia juga membuatkan aku memahami apa makna bida’ah yang sebenarnya. Ada yang kata ajaran sesat ini sebab taksub pemimpin.

Tetapi, pada pendapat peribadi aku, itu perkara kedua, perkara pertama kerana bida’ah. Tiada ajaran sesat tanpa bida’ah atau amalan baru di dalamnya, semua ada.

Pengalaman peribadi yang aku lalui, ibu ayat yang tersesat, ia membuatkan aku jadi lebih tegas dalam hal itu. Aku faham, ada amalan yang dilihat baik, tetapi jika semata-mata berdasarkan hujah amalan baik, dimanakah garisan sempadannya? Siapakah pula yang menentukan ia baik?

Jawapannya tiada had sempadan dan sesiapa sahaja boleh. Begitu aku punya pemikiran.

Dari detik itu juga, aku mula menerima kenyataan, umi dan abi telah jauh terpesong dari cahaya agama yang sebenar. Mereka telah dibawa jauh ke lembah kesesatan yang gelap dan sangat dalam.

Aku berdoa kepada Allah Yang Maha Pengasih supaya kesalahan mereka diampunkan dan ditunjukkan jalan yang benar. Moga-moga doa aku ini diperkenankan oleh Allah Yang Maha Penyayang. Asbab mereka tersesat jugalah, aku menjadi manusia yang cuba mencari kebenaran. Ampunkan dan selamatkanlah mereka Ya Allah Ya Tuhanku.

Semenjak itu juga, aku mengelak jika mereka mahu bawa aku ke program-program jemaah. Jika dulu aku berasa berat hati nak pergi, kini aku enggan pergi.

Sewaktu cuti semesta, pernah aku dipaksa ikut, program khas untuk para remaja katanya, tetapi aku enggan, umi meradang sampai rotan dengan batang penyapu. Aku tak rasa sakit pun, mungkin sebab rotan tak kuat, tetapi hati aku sakit seperti ditikam-tikam dengan belati.

Selepas mereka pergi, meninggalkan aku seorang di rumah, lama aku mencurah air mata di dalam bilik, menahan rasa pilu dan pedih.

Nak salahkan umi aku pun tak boleh. Dia telah ditipu. Diperdaya oleh orang-orang atasan yang tamakkan dunia. Pada umi aku, mungkin aku ini telah terkena sihir Yahudi. Retorik biasa yang sering diungkapkan oleh mereka.

Semenjak itu juga, rasa luka di dalam hati tak pernah hilang. Ku fikir, makin hari makin parah. Aku menjadi orang yang sedih bercampur marah.

Tambahan pula, selepas A* Muhammad meninggal dunia, keadaan jemaah di bawah Ummu J* lebih melarat. Banyak ritual pelik-pelik mula muncul. Ab*** kononnya ghaib, tidak mati.

Amalan power kaabah, sambil tangan seperti dikepak-kepak, ini dibuat selepas solat. Kelab Taat Suami, konon isteri kena layan suami seperti pelacur kelas atasan, kemanakah perginya pergi nilai-nilai murni sebagai orang Islam dan budaya timur orang Melayu?

Paling membarah, disebarkan berita kepada ahli jemaah, Ab*** kononnya telah diangkat menjadi pemerintah alam, sehinggakan daun nak jatuh ke bumi pun akan minta izin Ab*** terlebih dahulu. Mereka sudah lemas dalam lautan syirik yang amat besar, tetapi mereka tidak menyedarinya.

Perkara ni buat aku tertekan. Aku jadi seorang yang sedih bercampur marah. Ku fikir jika Ab*** meninggal, keadaan akan pulih. Tetapi tidak.

Ku fikir jika Ummu J* pula meninggal, keadaan akan pulih. Tetapi tidak. Akan sentiasa ada pengganti yang diangkat. Kalau boleh aku mahu lupakan segalanya, tetapi mustahil, kadangkala kemarahan aku meruap-ruap keluar.

Pernah aku berdoa supaya Tuhan azab juga para pihak autoriti agama yang culas dalam tanggungjawab, aku mahu dakwa mereka di hadapan Allah kelak, bertahun-tahun mereka bebas menyesatkan umat, tetapi mengapakah masih tiada tindakan yang ampuh?

Hari ini, takdir Allah kegiatan mereka mula dibongkar semula. Cuma sayangnya, ia viral hanya semata-mata kerana “air berkat”. Kerana masing-masing pernah makan minum dan membeli barang-barangan mereka. Sementara isu pokoknya, iaitu aqidah tidak terlalu diperkatakan oleh orang awam.

Aku secara peribadi, berasa lega, disamping rasa gembira bercampur-campur dengan sedih. Aku sedar ini bukan kali pertama kegiatan mereka dibongkar. Tahun 1994 dahulu mereka pernah lalui sekali, tahun 2013 dahulu Ummu J* ditahan, kemudian R* ditukar kepada G*SB seperti yang berlaku hari ini.

Aku fikir, jika G*SB diharamkan sekalipun, akan tumbuh semula syarikat baru dengan jenama baru. Apa kesudahannya?

Aku mohon, kali ini, jika boleh, biarlah ahli G*SB dipulihkan aqidahnya oleh Majlis Agama pula. Buatlah suatu penempatan sementara untuk mereka memurnikan semula pemahaman mereka terhadap agama, aku fikir jumlah mereka sekurang-kurangnya berbelas ribu orang.

Tahun 1994 dahulu, Pusat Islam tidak berjaya. 2013 dahulu, MAIS juga tidak berjaya. Kali ini, biarlah MAIP pula. Mudah-mudahan, Tuhan kurniakan mereka pemahaman yang lurus dan diberikan hidayah.

Kepada ahli-ahli G*SB, aku faham kalian sebahagian besarnya ialah ahli yang ikhlas kerana Allah, berjuang demi agama, rela berkorban apa sahaja, tidak mengharapkan balasan dunia sedikit pun. Tetapi, niat sahaja tidak mencukupi, caranya mesti betul, di jalan benarkah kalian selama ini?

Bolehkah sekali ini kalian bertanya diri kalian sedalam-dalamnya. Bolehkah sekali ini kalian beri peluang kepada diri kalian sendiri, timbulkan keraguan dalam diri kalian samada kalian yang benar atau kami yang salah, dan bandingkanlah sendiri pegangan kalian selama ini dengan Al Qur’an dan As Sunnah,

Bandingkan sendiri, buka dan beleklah sendiri Al Quran dan Hadith, bacalah terjemahan dan syarahannya sendiri, jangan semata-mata mendengar dan menerima bulat-bulat apa yang terbit keluar dari orang-orang atasan kalian atau sesiapa sahaja.

Lagi pun kelak, setelah nyawa ditarik Malaikat Maut, kita sendirlah yang perlu menjawab di alam barzakh, kita sendirilah yang perlu menjawab di Padang Mahsyar, sekali ini, cubalah mencari jawapan dalam beragama secara sendiri, bukan semata-mata mengharapkan orang lain sahaja.

Semoga Allah menunjukkan apa yang benar itu sebagai kebenaran, yang salah itu sebagai kesalahan.

Sekian…

– Sang Pencari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *