Kisah Bertemu Jodoh

Sekadar cerita santai sahaja. Dulu aku single mom anak dua. Usia aku awal 40an waktu tu. Bercerai hidup. 5 tahun juga aku melalui fasa move on.

Dan 5 tahun lagi fasa aku memilih untuk hidup menyendiri dengan anak-anak. Kiranya 10 tahun jugak lah aku pegang gelaran single mom.

Sebelum ni memang ada yang bertanya termasuk ahli keluarga aku sendiri. Kata mereka tak mahu kah aku mencari pengganti memandangkan bekas suami pun dah bahagia dengan keluarga baharu. Kata mereka anak-anak dah makin membesar.

Dua orang sahaja anak aku. Sorang dah duduk asrama. Tinggal aku dengan yang bongsu darjah 5 sahaja lah. Kata mereka kalau kahwin nanti, ada jugak peneman waktu sunyi.

Aku trauma sebenarnya. Sebab tu aku malas fikir soal kahwin. Takut bila yang kedua ni lagi teruk perangainya, naya aku.

Tapi tak disangka pulak ada satu hari tu, sorang staf baharu lapor diri dekat department aku. Aku panggilkan mamat je lah ye.

Selama sebulan dua tu tak ada apa-apa yang pelik pun berlaku. Aku bekerja macam biasa. Sama ada si mamat ni ada atau tak, tak menarik perhatian aku pun.

Ye la, ikutkan dia bukan selevel bawah aku. Tapi dua level bawah aku. Jadi tak mungkin aku berurusan dengan dia secara langsung. Aku hanya memberi arahan pada leader dia dan leader dia lah yang akan menyusun segala tugas, jadual mamat ni.

Cuma, aku perasan jugak lah 2, 3 bulan lepas dia kerja sini, dia ni macam cari peluang ja nak borak dengan aku. Aku sekadar cakap apa yang perlu sahaja. Kalau selisih tu aku senyum sahajalah.

Tapi aku perasan la yang dia ni asyik tertoleh-toleh ja bila aku melepasi dia. Beberapa kali jugaklah situasi ni berlaku. Aku macam… “Kau ni kenapa?”…

Aku sebenarnya malas nak melayan. Sebab tak menarik minat aku pun. Dengan kurus keding dia macam tak cukup zat ja. Dah la kerja bawah aku. Dari segi rupa pun jauh sangat nak banding dengan rupa bekas suami aku dulu.

Aku? Walaupun chubby sikit tapi comel ja. Awet muda gitu. Haha. Mamat ni lagi satu muda 11 tahun dari aku. Memang tak lah aku nak layan. Macam adik-adik ja aku rasa.

Hinggalah satu hari aku turun tangga, kebetulan berselisih dengan mamat ni sebab dia naik atas nak hantar dokumen dekat leader dia. Aku tak tahulah kalau dia laju-laju turun semula nak menyapa aku ke apa sebab aku dengar dia macam kalut-kalut turun tangga.

Tapi nasib mamat ni tak baik lah pulak. Terus terjunam jatuh tangga. Tergolek-golek ha… Aku masa tu terkejut dengan tergelak besarlah kat situ sampai bertakbir. Muka dia tak yah cakap lah. Agaknya sakit dengan malu sama banyak kot.

Tapi nak dijadikan cerita aku tak tahu lah kenapa mulut aku lancang sangat waktu tu. Aku boleh cakap kat dia macam ni tau.. “Awak ni yang laju-laju turun tangga ni dah kenapa? Nak kejar cinta saya ke?”

Tetiba aku terdiam. Gelak aku terus terhenti. Aku macam.. Eh, apa aku cakap ni. Mamat ni dari muka menahan sakit, terus muka blushing teruk sampai merah telinga dia.

Tapi dalam aku pergi dekat tengok keadaan dia, boleh pulak dia perlahankan suara dia, kemudian dia soal aku balik, “Kalau memang betul saya kejar cinta puan, tak salah kan?”

Masa tu aku pulak yang blushing teruk. Terus aku tinggalkan dia yang tengah sakit tu, lari masuk toilet. Tersengih aku sorang-soranglah pulak. Jantung pulak dandan rasa berdebar-debar. Serius aku rasa macam eh, aku tiba-tiba dah jatuh cinta ke apa. Haha..

Tapi lepas dari kejadian tu, bukan kata dia, dengan aku sekali tersipu-sipu malu bila berdepan dengan dia. Jadi serba tak kena ja bila berselisih. Asyik terngiang-ngiang ja ayat dia bagi kat aku masa dia jatuh tangga tu.

Ini kisah dua tahun yang lalulah. Kini, mamat tu dah sah jadi suami aku. Berkat pertolongan kawan-kawan sekerja juga tolong tunjukkan jalan untuk kami.

Alhamdulillah, keluarga mertua restui hubungan kami walaupun aku lebih tua 11 tahun dari dia. Mungkin sebab aku tak nampak macam 40an kot asbab dah kurus. Kini dia pulak membesar dengan jayanya.

Dan kalau korang nak tahu suami aku ni orang pantai timur. Dulu aku tak nak sangat dengan orang pantai timur. Tapi yang kita tak nak tu yang Allah nak bagi. Suami, famili mertua semua baik-baik. Rezeki lepas kegagalan rumahtangga yang lalu.

Syukur Alhamdulillah, kami bahagia dan moga Allah berikan kebahagiaan ini berkekalan hingga ke jannah. Walaupun dari segi jawatan, gaji aku lebih dari dia tapi dia sangat matang dan bertanggungjawab.

Dan aku sebaik sahaja bergelar suami isteri, terus aku mohon pertukaran ke cawangan lain supaya tiada isu yang timbul kemudian hari.

Aku jadikan kisah kegagalan rumahtangga aku yang dulu sebagai iktibar. Ye lah dulu rumahtangga aku yang dahulu pun, walaupun berpunca dari bekas suami tapi aku pun ada silapnya jugak. Jadi untuk perkahwinan yang kedua ni, aku tak nak ia berulang kembali.

Korang doakan kami ya!

– Nana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *