Ambil Mudah Kesihatan Diri

Saya seorang staf kesihatan yang telah berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta dengan pengalaman kerja di peringkat senior. Saya berasal dari keluarga B40, di mana kehidupan kami sederhana.

Ayah bekerja sebagai nelayan di kampung dan ibu, walaupun hanya berpendidikan SRP dan tinggal di luar bandar, mampu berfikir jauh dan bijak menguruskan keluarga. Ini memberi saya perspektif yang unik dalam melihat sikap masyarakat terhadap kesihatan.

Masyarakat Malaysia dan Kesihatan: Sikap Ambil Mudah

Di Malaysia, ramai yang terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Ramai juga yang menyimpan stok ubat di rumah seperti ubat demam, batuk, dan selsema, tetapi hanya pergi ke klinik apabila keadaan menjadi teruk.

Sedangkan, setakat ubat-ubatan asas seperti ini, berapa sangatlah harganya? Ubat-ubat dalam Kategori C, yang merangkumi rawatan asas seperti demam dan selsema, boleh dibeli terus dari farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor.

Lebih menghairankan, mereka yang sudah menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis tidak mahu mengambil inisiatif untuk memantau sendiri kesihatan mereka di rumah.

Alat seperti mesin tekanan darah dan mesin gula tidaklah semahal itu, malah lebih murah daripada tabiat buruk seperti merokok, mengambil dadah, atau mengubah suai motosikal dan kereta.

Tetapi masyarakat kita lebih rela membelanjakan wang untuk perkara tersebut daripada melabur dalam kesihatan sendiri. Pelik sungguh masyarakat kita.

Peningkatan Gaji, Tetapi Tidak Kesedaran Kesihatan

Apabila gaji meningkat, banyak yang memilih untuk menaik taraf gaya hidup—membeli kenderaan yang lebih mewah, rumah lebih besar, atau melancong ke luar negara. Namun, kesedaran untuk mempertingkatkan perlindungan kesihatan diri masih rendah.

Ramai yang tidak mengambil inisiatif untuk memiliki kad perubatan, hibah takaful, atau pelindung takaful lain. Apabila ditimpa musibah atau penyakit serius, barulah tersedar, tetapi sering kali sudah terlambat.

Sistem Kesihatan Berisiko “Karam”

Sistem kesihatan kerajaan kini di ambang krisis. Ramai yang terlalu bergantung kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan, tanpa mengambil langkah untuk menjaga kesihatan sendiri secara konsisten.

Sementara itu, kakitangan kesihatan berdepan kekurangan tenaga kerja, beban kerja yang berlebihan, dan burnout. Jumlah kakitangan yang berhenti bekerja hampir sama dengan jumlah yang baru masuk, menyebabkan sistem ini terdedah kepada risiko keruntuhan.

Kawalan Kendiri: Tanggungjawab Setiap Individu

Kerajaan tidak dapat mengawal keadaan ini sepenuhnya tanpa sokongan masyarakat. Setiap individu perlu mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri. Bergantung sepenuhnya kepada klinik atau hospital kerajaan bukanlah solusi jangka panjang.

Menjaga kesihatan adalah tanggungjawab kita sendiri, termasuk memantau penyakit kronik, menjalani pemeriksaan berkala, dan mendapatkan perlindungan insurans yang mencukupi.

Kesihatan bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan, dan kita perlu mula melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang.

Sama-ubah cara hidup, dan fikiran untuk kesejahteraan diri sendiri dan keluarga.

– Dopamine (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *