Program Explorace Jodoh

Assalamualaikum semua. Terima kasih kepada admin kerana luluskan confession saya. Kebelakangan ini banyak kita dengar cerita kisah penceraian artis dan selebriti. Malah bukan sahaja di kalangan artis dan selebriti, kadar penceraian di kalangan orang awam juga agak membimbangkan.

Banyak juga kita dengar kisah-kisah pahit keluhan seorang isteri dalam rumahtangga seperti suami curang, suami kaki pukul, suami culas dalam tanggungjawab dan sebagainya. Banyak kita dengar orang cakap sebelum bercinta lain perangainya, bila dah kahwin lain perangainya.

Tujuan saya menulis post ini bukanlah untuk mengajar sesiapa kerana saya sendiri pun belum berkahwin lagi. Saya sedar saya tidak layak memberi nasihat dan bimbingan rumah tangga kerana saya sendiri pun belum melalui fasa itu. Saya cuma banyak mendengar dan membaca banyak kisah-kisah berkaitan.

Kita biasa dengar banyak cara seorang wanita sebelum memilih seorang lelaki untuk dijadikan suami. Ada yang berkawan (baca: bercinta) secara langsung,

Ada yang melalui orang tengah, ada yang melalui platform cari jodoh seperti BaitulMuslim, ada yang buat solat istikharah, ada yang pergi selidik latar belakang dengan bertanya orang rapat kepada lelaki, ada juga yang buat sesi interview dan ada juga secara tidak langsung seperti dalam suasana bekerja atau beraktivisme.

Saya tidak katakan semua cara itu salah. Semua cara itu boleh je asalkan menjaga batas pergaulan dan tidak melanggar hukum syarak.

Bagi saya (saya yakin semua setuju), wanita sangat perlu berhati-hati memilih calon suami kerana suami itulah yang akan menjadi imam, ketua keluarga dan ayah kepada anaknya kelak. Malah, suami itulah tempat dia harus taat selepas Allah dan Rasul.

Saya ada cadangan agak unik dan lain daripada lain khusus untuk wanita yang dalam dilemma memilih calon suami. Saya yakin cadangan dan idea saya ini tidak pernah dibuat oleh mana-mana wanita di Malaysia.

Saya yakin lebih 90 peratus wanita Melayu/Malaysia tidak setuju dan tidak sanggup untuk melaksanakan idea dan cadangan saya ini.

Disclaimer: Saya tidak kata idea ini adalah terbaik dan tidak menilai sesiapa yang enggan melakukan. Idea saya ini khusus untuk wanita yang dilemma memilih mana-mana lelaki sebagai calon suami. Wanita yang sudah mengikat tali pertunangan dan berstatus isteri tidak dimasukkan dalam kategori ini.

Idea saya ini saya namakan sebagai program Explorace Jodoh. Program ini sangat sesuai untuk wanita yang dilamar oleh beberapa orang atau seorang lelaki tetapi sukar membuat keputusan. Atau nak memberi keputusan yang adil kepada lelaki yang melamarnya supaya tiada pertikaian andainya lamarannya ditolak.

Melalui program ini, ia memberi ‘win-win situation’ kepada kedua-dua belah pihak. Pihak wanita dapat menilai dan mengenal secara langsung dengan cepat beberapa atau seseorang lelaki. Pihak lelaki juga diberi peluang dan ruang secukupnya untuk dinilai secara adil dan holistik.

Saya letak contoh situasi supaya mudah faham. Ada 4 lelaki yang berminat nak melamar seorang wanita. Si wanita akan menghubungi 4 lelaki secara berasingan untuk menghadiri program Explorace Jodoh. Si wanita perlu beri penerangan dan apa persediaan perlu dilakukan oleh keempat-empat lelaki.

Tarikh dan masa program perlu mencapai kata sepakat semua pihak. Kesediaan pihak lelaki menghadiri program ini juga boleh jadi satu bentuk penilaian tahap keseriusan lelaki itu.

Untuk tujuan keselamatan, wanita digalak bawa sekurang-kurangnya seorang teman dari kalangan kawan atau keluarganya. Sebelum mula program, dicadang supaya wanita meminta softcopy kad pengenalan 4 lelaki jika berlaku apa-apa situasi kecemasan.

Dalam program ini, si wanita akan bertindak seperti kem komando. 4 lelaki wajib mematuhi semua arahan si wanita.

Cadangan format program Explorace Jodoh adalah seperti berikut:

Cadangan tempoh: 4 hari 3 malam

1.) Sukarelawan di rumah/kampung wanita (1 hari 1 malam)

-Sebaik-baiknya bermalam di rumah/kampung wanita. Jika tidak sesuai boleh sahaja bermalam di mana-mana homestay.

-Sesi esok siangnya dipenuhi dengan aktiviti kesukarelawan (Contoh: gotong royong, misi bantuan, tolong apa-apa majlis etc..).

2.) Hiking (1 hari 1 malam)

-Hiking di mana-mana bukit atau gunung yang boleh bermalam pasang khemah.

-Waktu malam boleh diguna untuk makan malam sambil hidupkan unggun api atau bbq. Waktu ini boleh digunakan untuk berborak santai dengan semua pihak supaya tidak kekok dan tidak terlalu formal.

3.) Bacpackers (2 hari 1 malam)

-Cadangan lokasi backpackers: Penang/KL/Melaka (mempunyai akses pengangkutan awam yang cekap dan mudah untuk berjalan ke lokasi tertentu.

-Aktiviti santai berjalan-jalan melawat tempat menarik.

-Waktu malam digunakan khusus untuk sesi interview 4 lelaki oleh wanita. Sesi interview dicadang dibuat secara berasingan. Semasa sesi interview, wanita boleh bertanya apa sahaja kepada lelaki. Pihak lelaki juga diminta bentang perancangan hidup dari segi keluarga, pendidikan, kewangan, kerjaya dan masa depan.

-Esok paginya, sebelum pulang ke tempat masing-masing, wanita akan beri ucapan penutup tanda penghargaan dan terima kasih. 4 lelaki akan bersalaman dan kekal menjaga silaturahim walau apapun keputusan wanita.

Sepanjang tempoh program, wanita boleh menilai secara langsung sikap dan sifat 4 lelaki termasuk interaksi sesama 4 lelaki.

Saya teringkat kata Saidina Umar Al Khattab yang mengatakan jika hendak kenal seseorang antaranya dengan cara bermusafir dan makan bersamanya.

Sepanjang tempoh 4 hari 3 malam program, tiada ruang untuk lakonan dan sikap pura-pura. Pada setiap malam, disaran juga wanita melakukan solat istikharah memohon petunjuk. Wanita disaran memberi keputusan beberapa hari atau minggu (bergantung kepada wanita) kepada 4 lelaki secara personal.

Ada 3 jawapan boleh diberi kepada 4 lelaki mengikut penilaian wanita.

Pertama, terima lamaran sebagai calon isteri.

Kedua, tolak lamaran tetapi boleh kekal sebagai kawan (berhubung jika perlu).

Ketiga, tolak lamaran dan minta jangan berhubung dengannya lagi.

4 lelaki perlu menerima apa-apa keputusan wanita itu dengan lapang dada dan tidak perlu dipertikai kerana penilaian secara adil dan menyeluruh sudah dilakukan.

Ini adalah cadangan dan idea saya kepada mana-mana wanita. Terpulang kepada sesiapa untuk menerima atau tidak.

Bagi saya, idea ini adalah ujian paling komprehensif dan cepat untuk menilai sikap dan sifat seorang lelaki tanpa memalukan pihak lelaki malah menghargai pihak lelaki.

– Syahmi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. Dah macam program mencari cinta tv3. Tetiba teringat sbb pernah tengok program tu waktu kecik

  2. saya wanita, tapi “kau ingat kau siapa” nak bercontest contest bagai, tuan puteri?. silap silap haribulan taksempat nak umum tarikh masa semua empat2 orang lelaki tu lari dah hahahahaa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *