Perginya Seorang Abah

Assalamualaikum. Aku cuma nak luahkan kesedihan aku sebenarnya.

Tahun ni sikit ja lagi nak sampai penghujung tahun 2024 tapi abah dah pergi tinggalkan kami. Dah masuk 12 hari abah pergi.

Meninggal dalam tidur di pagi Jumaat yang mulia. Kawan-kawan arwah abah cakap rezeki meninggal hari Jumaat.

Sepatutnya abah dengan mama nak pindah negeri Johor, kampung halaman abah tapi tak kesampaian.

Bulan Mei memang kami dah sedia maklum doktor nak suruh abah pilih dialisis ataupun tidak. Sebab buah pinggang dah tahap kronik.

Tapi mungkin abah pilih pilihan ketiga. Paliatif. Doktor anggar 6-12 bulan ja boleh bertahan hidup.

Agak terkilan bagi kami adik beradik sebab bila buka handphone chat arwah abah dengan kawan-kawan memang dia seronok sangat cerita yang dia nak pindah johor dah.

Rumah dekat Sabah dalam proses akhir dah kena jual tinggal tunggu pembeli masukkan duit tapi ada sedikit masalah dari pihak bank jadi lambat proses.

Rasa macam sekejap ja waktu berlalu. Sejak abah meninggal ni waktu malam ja aku menangis teringat waktu abah masih ada.

Dari kecik zaman sekolah sampai lah ke universiti dan fasa aku dah berkahwin ni. Memang abah la yang selalunya akan masakkan makanan sedap-sedap nak bagi kami semua makan.

Cuma lepas aku kahwin awal tahun ni aku dah duduk dengan suami. Dah tak dapat rasa la masakan abah tahun 2024.

Jumpa abah dengan mama pun masa bulan Jun kenduri kahwin aku dibuat dekat kampung abah di Johor.

Tertunai hasrat arwah abah nak buat kenduri dekat kampung dia. Settle kenduri kahwin aku abah dengan mama balik semula sabah masa bulan Ogos.

Lepas ni dah tak da la lauk-lauk abah masak.

Hari-hari sebelum meninggal pun banyak masakan dia masak bila adik aku balik Sabah.

Bila kakak aku balik beberapa minggu sebelum dia meninggal pun sama. Macam-macam menu dia masakkan.

Itulah khidmat abah untuk kami sekeluarga. Air tangan dari masakan. Cuma aku je la yang tak sempat balik kali yang terakhir tengok dia.

Selalu bila kita tengok kisah orang kehilangan mak atau ayah kita cuma mampu rasa kasihan kan. Kita tak berada di tempat mereka jadi kita tak tau rasa sedih tu macam mana.

Tapi bila kita dah lalui ni betul la. Memang sedih yang teramat. Pergi kerja tak semangat. Balik kerja dah malam mesti menangis.

Kadang aku sengaja buat-buat tak nak fikir supaya aku tak sedih. Lalui hari macam biasa. Tapi confirm menangis semula sebab kenyataannya abah memang dah meninggal.

Bila abah meninggal ni banyak jugak pengajaran aku dapat. Sebab masing-masing kawan-kawan dia datang mencari bertanyakan pasal dia. Dia meninggal pun senang dan mudah urusannya.

Pengurus rumah anak yatim bagitau arwah abah rajin menderma dekat rumah anak yatim tak jauh dari kawasan rumah.

Kawan yang datang ziarah mama masa sakit dekat hospital pun menangis-menangis cerita arwah abah bagus orangnya. Suka bergurau. Disenangi kawan- kawan.

Bila aku mintak halal apa-apa sepanjang arwah hidup ada tergurau atau terkasar bahasa, ada hutang apa-apa kawan arwah abah cakap, “Ko jangan risaulah. Bapak ko ni tak da hutang dengan orang. Dia belanja orang makan lagi adalah”. Alhamdulillah

Mama cakap arwah abah bagus silaturrahim dia. Suka bagi orang makan. Jamu orang makan semua makanan sedap-sedap dia masakkan.

Aku pulak tak reti nak bergaul dengan orang. Tapi memang orang selesa bila jumpa arwah abah. Sembang sekali dah boleh jadi kawan.

Banyak sebenarnya aku nak luahkan tapi nanti aku menangis tak berhenti-henti pulak lagi. Cuma tu la aku terkilan jugaklah. Aku ni tak rapat dengan arwah abah. Sebab arwah abah kan tegas dan garang dengan anak-anak. Bekas tentera.

Mama cerita masa belum kahwin abah bertugas dekat Sabah. Sepatutnya nak kena naik pangkat pindah negeri lain.

Tapi arwah abah sanggup tak nak naik pangkat dia nak stay dekat Sabah dan kahwin dengan mama. Tu la pengorbanan dia. Dia meninggal pun dekat Sabah. Tempat dia cari rezeki.

Apa-apa pun aku harap arwah abah dah maafkan la apa-apa yang dia ada terasa ke dengan aku sepanjang hidup. Aku ni selalu suka melawan jugak dalam diam. Jenis degil. Tu la penyesalan sebagai anak bila seorang abah dah tak da.

Maaf jugak sebab tak perasan tanda-tanda abah dah nak pergi. Sebab aku terlampau sibuk dengan dunia kerja aku. Dah tak dapat nak ulang dan undur kembali semuanya.

Perginya tiada ganti. Terima kasih abah sebab dah berkhidmat untuk kami tiga beradik dan mama.

Segala air peluh abah susah payah bertahun-tahun akan dikenang sampai akhir hayat kami.

Semoga Allah jaga abah sampai akhirat nanti. Aamiin.

Semoga jumpa lagi nanti Abah.

– K155 (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *