Salam buat semua pembaca.
Kisah yang aku coretkan ini merupakan kisah hidup aku dan dia. Perkenalan kami dari zaman persekolahan. Zaman itu kami hanya berkenalan sebagai rakan setingkatan.
Selepas tamat persekolahan, dia menegurku di fesbuk. Awalnya aku melayan sekadarnya sahaja. Yalah, aku anggap dia sama seperti rakan sekolahku yang lain.
Disamping kesibukan menuntut ilmu di menara gading, aku anggap dia mungkin hanya singgah sebentar sebagai rakan.
Tahun demi tahun tanpa sedar kami semakin rapat. Dari fesbuk, kami berwasap. Dari berwasap, kami bergayut di telefon.
Entah bila dan detik bila kami rasmi bercinta, tidak dapat aku pastikan. Yang aku tahu, setiap hari rutin kami pasti bersembang.
Selama hampir 7 tahun berhubungan, aku rasakan dialah satu-satunya yang memahami aku. Rela mendengar keluh kesahku, sentiasa setuju dengan setiap pandanganku, sentiasa menyokong dan mendorong diriku. Aku rasakan, aku punya masa depan bersama dia.
Namun, makin lama aku mula rasakan sangsi tentang hala tuju hubungan kami. Sampai bila mahu bercinta begini?
Setiap majlis perkahwinan adik-beradikku dia pasti datang. Sesibuk mana pun dia pasti luangkan masanya untukku. Aku mula bertanya tentang hala tuju kami.
Bila reaksinya seakan tidak berminat, aku mohon undur diri kerana memikirkan tentang masa depanku. Aku ingin berkeluarga setelah membina kerjaya. Sementara dia masih bekerja dengan keluarganya (bisnes keluarga).
Aku berfikir, jika kami berkahwin nanti, dia perlu ada kerjaya sendiri untuk membina keluarga. Memandangkan dari ceritanya, dia hanya membantu bisnes ayahnya saja. Dia berat hati untuk mencari kerja pada awalnya. Maka, aku putuskan untuk undur diri.
Semasa kami putus, aku cuba menjalani hidup seperti biasa. Kecewa itu ada tapi hidup perlu diteruskan. Namun, dia hadir dengan tangisan dan pujuk rayu. Diburunya aku hingga di tempat kerja. Katanya, sedia mencari kerja lain asalkan kami bersama.
Memikirkan kesungguhannya, aku lembutkan hati menerima dia dan aku bantu dia memohon kerja di seberang. Resume dan borang² berkaitan aku bantu siapkan. Dengan harapan dapatlah dia kerja itu untuk kami bina keluarga bersama nanti.
Akhirnya, dia dapat kerja di seberang dan kami pun bertunang. Sepanjang bertunang ada dugaannya. Tapi aku anggap itu adat resam dan ujian nak berumah tangga. Aku cuba positif hingga saat kami diijabkabulkan.
Setelah diijabkabulkan, aku rasakan akulah wanita paling bahagia. Bersuamikan dia aku rasa diri aku disamping lelaki yang memahami dan boleh dibawa berbincang.
Red Flag 1
Namun, setelah 3 bulan pertama pernikahan, aku masih dibiarkan duduk di rumah bujangku. Sedangkan dia duduk dirumah bujangnya. Setiap kali berhajat, pasti dia meminta aku datang ke rumah bujangnya.
Aku masih bersangka baik memikirkan mungkin dia masih mengumpul duit deposit untuk mencari rumah memandangkan dia baru bekerja dan kami baru berkahwin.
Tapi, bila dibandingkan dengan situasi adik-beradikku, aku rasa perkara ini tidak normal. Aku dan dia tinggal satu daerah, namun kami masih duduk di rumah bujang masing². Bukannya kami ni pjj rentas daerah atau negeri pun.
Aku ajak dia berbincang untuk mencari rumah. Banyak kali dia beralasan dan mengelak. Setiap kali aku memandu waktu malam ke rumah bujangnya, aku akan video call dengan mak untuk temankan aku memandu.
Emak mana yang tidak risau lihat aku yang berulang-alik memandu untuk berjumpa suami. Emak bertanya perihal rumah pada dia. Barulah dia bersungguh mencari rumah untuk kami.
Dia sewakan aku rumah flat. Aku ok asalkan ada rumah untuk kami berteduh. Aku ketepikan segala syak wasangka dan aku anggap mungkin inilah kemampuan dia untuk adakan rumah buat kami.
Benarlah kata orang, kita tidak akan kenal seseorang selagi mana kita belum tidur sebantal dengannya.
Red Flag 2
Bila duduk serumah, aku baru nampak belangnya. Dia acap kali mempersoalkan mengapa aku tidak mahu membantunya. Membantu apa? Rupanya dia nak aku bantu beli barang2 rumah. Tv rumah sewa kami rosak. Setiap kali gaji dia akan persoalkan aku tak mahu bantu dia ke?
Pelik aku jadinya. Dia pejuang dolar di seberang, sedang aku pejuang ringgit yang jika dibanding jumlah gajinya dengan aku, besar lagi gajinya hampir 3 kali ganda.
Kenderaan kami hanyalah kereta aku yang memang aku beli sejak aku bujang dan mula bekerja. Mengapa perlu minta bantuan aku?
Dia pernah usulkan buat tabung bersama. Aku musykil. Perlu ke? Kami belum punya anak. Apa tujuan buat tabung bersama? Aku perlu ke labur separuh gaji aku ke dalam tabung untuk keperluan keluarga?
Aku pernah ajaknya berbincang tentang belanjawan kami. Pada aku, sebelum aku memutuskan perlu atau tidak untuk membantu, aku perlu tahu keadaan kewangan kami. Terutamanya dia. Sebab dia suamiku.
Namun, dia sering mengelak. Katanya aku tidak perlu campur soal kewangannya. Tahulah dia. Jadi, apa perlunya dia persoalkan mengapa aku tidak membantunya?
Red Flag 3
Setiap kali aku mula usulkan perbincangan, dia akan mengelak dan melabelku sebagai isteri yang tidak taat dan isteri yang tidak tahu bersyukur.
Dikatanya aku tidak bersyukur sebab dia dah adakan rumah untukku, berikan ku makan 2 kali sehari, serta berikanku nafkah. Bukankah itu sememangnya tanggungjawab seorang suami?
Aku selalu makan hati dengan sikapnya. Tiap kali kami bergaduh, dia akan menangis meminta maaf. Kami berbaik namun tiada perbincangan lanjut. Dibiarkan tergantung begitu saja.
Aku mula merajuk hati. Mencari ketenangan dengan cara sendiri. Sibukkan diri dengan kerja. Yalah, balik ke rumah ada suami yang tidak mahu berbincang buat apa kan?
Lama kelamaan, aku rasakan sesuatu yang tidak enak dalam cuaca rumahtanggaku. Normalkah setahun perkahwinan tapi suami dan isteri bawa haluan sendiri?
Jika dia berhajat, dia mencariku. Jika aku enggan sebab penat, dikatanya aku isteri tidak taat. Tidak taat dan tidak bersyukur sudah jadi zikir hariannya jika tidak mahu berbincang denganku. Sehinggalah suatu hari aku diberi ilham oleh Allah untuk cek telefonnya.
Red Flag 4
Remuknya hati hanya Allah yang tahu bila aku dapati dia menyimpan gambar perempuan lain di dalam wasapnya. Gambar selfie perempuan yang melentok mesra. Bukan seorang ya. Menggigil tanganku. Aku betul² rasa tertipu.
Padanlah selama ini setiap kali aku ajak berbincang dia tidak berminat. Rupanya ada yang lain mengisi ruang hatinya.
Aku bertambah kecewa bila melihat lebih lanjut. Butiran kewangan yang disimpan dari pengetahuanku. Lebih separuh gajinya dilabur untuk keluarganya. Terutama untuk abangnya yang sudah berkeluarga. Jadi, siapa aku di matanya?
Walaupun aku isteri, namun jumlah nafkah yang diberi hanya 2% daripada gajinya. Lebih 70% untuk ibu, abang, dan adiknya.
Patutlah selama ini aku selalu diseru untuk membantunya. Atau lebih tepat, membantu keluarganya. Allahuakbar. Aku berkahwin dengan siapa sebenarnya ni? Mana dia yang aku kenal dahulu?
Aku masih sabar bila dia ungkitkan wang gajiku.
Aku masih sabar bila dia sidai aku 3 bulan tanpa rumah kelamin di awal perkahwinan.
Aku masih sabar bila dia selalu guna keretaku tanpa memberi duit minyak atau duit tol.
Aku masih sabar bila selalu dilabel isteri yang tak taat dan tidak tahu bersyukur.
Tapi, bermesra dengan wanita lain dibelakangku buat aku sedar akan kebodohan diri. Bodohnya aku tertipu dengan lakonan dia selama ini. Inikah orang yang aku dambakan sebagai suami?
Pengajarannya, perkenalan bertahun-tahun, tidak menjamin kejujuran seseorang. Jadi, janganlah tertipu seperti aku. Doakan aku agar dipermudahkan urusan seterusnya.
– Tipah Tertipu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit