Salam semua. Aku cuma nak kongsikan sikit kisah hidup aku selepas baca confession mertua vs menantu hantu, (https://iiumc.com/mertua-vs-aku-si-menantu-hantu/). Tak sangka, kisah kami hampir sama.
Sedikit latar belakang perkahwinan kami, Alhamdulillah hari ini cukup 10 tahun usia perkahwinan kami dan sebenarnya aku bukanlah menantu pilihan. Mungkin kerana jarak usia aku yang lebih tua dari suami aku puncanya.
Kami berkawan selama 5 tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin pada usia yang sangat muda.
Aku ingat lagi, sehari sebelum kononnya keluarga belah suami aku datang merisik, ayah suami aku menelefon aku mengatakan bahawa sebenar esok mereka sekadar datang sahaja tanpa apa-apa tujuan lain. Yang datang pon hanya beberapa orang sahaja.
Aku sekadar mengiyakan saja. Tapi dalam hati, Allah.. kat rumah segala persiapan memasak dah buat. Kebetulan panggilan tu terjadi didepan bakal suami aku masa itu.
Selepas panggilan tamat bakal suami aku terus menelefon ayahnya bertanya tentang esok, tapi lain pulak jawapannya.
Nak dijadikan cerita, risikan sekali dengan bertunang berjalan secara spontan tanpa majlis.
Selepas mendapat kata sepakat, ayah dia bawa kami berdua kerumah mereka dan meminta kami bertunang selama 2 tahun. Aku tak terkata, tapi bakal suami aku berkeras tak mahu lama-lama.
Aku masih ingat, ayahnya sempat lagi berkata yang aku perlu tukar imej supaya lebih sesuai dengan anaknya. Ye, aku kurang cantik berbanding bakal suami aku yang memang ada rupa.
Nak dijadikan cerita, alhamdulillah kami selamat bergelar suami isteri. Rezeki kami murah. Aku dan suami sama-sama bekerja.
Kami boleh dikatakan agak berduit cuma kami tak mewah sebab masing-masing bekerja. Tak ada masa untuk berbelanja. Rezeki kami tak pernah putus. Selepas 3 tahun, kami berjaya membeli sebuah rumah bersama.
Selepas beberapa tahun aku berkerja suami aku mencadangkan supaya aku berhenti bekerja kerana dia rasa gaji dia sudah cukup untuk kami berdua. Kami juga sempat membeli lagi sebuah rumah dinegeri lain kerana kami merancang untuk berhijrah.
Nak dijadikan cerita, saat aku sudah berhenti kerja suami aku menghadapi masalah tempat kerjanya pula. Suami aku hampir kehilangan nyawa semasa bertugas. Lebih malangnya pihak syarikat menuduh punca kemalangan dari suami aku sendiri.
Selepas berbulan suami aku direhatkan, semasa itu simpanan kami banyak digunakan untuk menampung kehidupan kami, loan 2 buah rumah, credit card, sebuah motor dan kereta kami.
Semasa suami aku tidak bekerja dia selalu pergi kerumah ayahnya meninggalkan aku sorang diri dirumah. Semua masalah suami aku cerita pada ayahnya kerana ayahnya selalu berkata, apa-apa bagitahu saja ayah, mana boleh bantu ayah bantu katanya.
Kami selalu bergaduh kerana aku dapat rasakan ada niat tak baik ayah terhadap aku. Tapi ini mungkin sekadar perasaan buruk aku sendiri sahaja.
Tapi aku masih ingat lagi, semasa majlis makan-makan di rumah ayah mertua aku. Semua orang duduk sebelah pasangan masing-masing. Tapi ayah mertua aku memanggil suami aku untuk duduk sebelah dia dan menyuruh aku duduk jauh dari mereka.
Rasa nak menitik air mata aku masa tu, tapi aku tahan. Nasib baik suami aku tetap duduk sebelah aku masa tu.
Pernah juga terjadi, kami membawa balik buah tangan untuk diberikan pada keluarga ayah aku, tapi terus dia bertanya pada kami siapa yang beli sebenarnya ni? Aku ke suami aku?
Tak akan aku nak jawab aku saja walaupun memang aku beli dengan duit aku sendiri tanda ingat pada mereka. Akhirnya aku jawab dua-dua saja.
Selepas berbulan tidak dipanggil bekerja suami aku diarahkan berhenti kerja serta merta. Disebabkan suami aku rasa teraniaya, dia melawan dipejabat buruh. Namun pihak syarikat membalas semula dengan tuntutan sivil dengan jumlah yang lebih tinggi.
Masa ini, rumahtangga kami yang diuji. Duit simpanan kami habiskan untuk beli barang modal menukarkan rumah kami kepada bilik sewa.
Pihak syarikat ugut untuk meneruskan saman sivil terhadap suami aku jika tidak menarik semula tuntutan di mahkamah buruh. Tapi suami aku berkeras untuk meneruskan.
Pertama kali suami aku naik dimahkamah, peguam pihak syarikat ugut suami aku bahawa mereka akan menyenarai hitam nama suami aku jika masih ingin meneruskan tuntutan buruh tapi seperti biasa suami aku masih ingin mendapatkan haknya.
Atas pengalaman pertama masuk mahkamah, dan juga nasihat hakim kami patut dapatkan peguam.
Maka mulalah sesi pencarikan kami ingin mendapatkan peguam yang sudi bantu kami. Aku rasa ramai pon tahu, kes tuntuan buruh selalunya orang akan cadangkan guna biro bantuan guaman, tapi semuanya hampa. Macam-macam alasan mereka.
Sehinggalah kami jumpa seorang peguam yang sudi wakilkan suami aku untuk kes buruh dan kes sivil dengan bayaran hanya lebih kurang RM5k bagi aku sangat murah. Benda pertama yang suami aku terfikir untuk minta bantuan dari ayahnya sendiri.
Hampanya suami aku, bila dia minta bantuan dari ayahnya, tapi ayahnya mencadangkan suami aku meminjam duit dari bapa saudara aku sendiri.
Untuk pengetahuan pembaca, bapa saudara aku adalah seorang peniaga yang berjaya dan agak terkenal dikawasan aku membesar. Aku yang dengar terus rasa menyirap.
Aku tak marah kalau di tak mampu bantu. Tapi kenapa mesti suruh minta dari bapa saudara aku yang tak ada kena mengena, cukuplah kami susahkan dia masa kami berkahwin haritu.
Teringat aku dulu, masa beberapa hari sebelum perkahwinan kami berlangsung, kami memang ingin membuat majlis yang biasa tanpa pelamin.
Tetapi ayah suami aku selalu meminta kami membuat majlis yang lebih elok katanya. Pada masa yang yang sama asyik berkata “kalau pakcik awak nak support ok jugak” dengan nada yang bermain.
Tapi lepas ayah suami aku meminta nombor telefon bapa saudara aku konon untuk berkenalan, tiba-tiba dia aku mahu menanggung majlis kami. Allah, malu aku!
Mungkin ada yang tertanya kenapa kami nak buat majlis yang biasa. Walaupun bapa saudara aku berduit, tapi keluarga aku bukan orang senang. Suami aku pulak tinggal bersama saudara sejak kecil kerana ayah suami aku sudah ada keluarga lain.
Jadi kami berdua sepakat nak mudahkan semua pihak, tak nak susahkan sesiapa. Kami hanya mahu buat yang wajid sahaja. Alhamdulillah keluarga aku sangat memahami.
Balik pada cerita tadi, suami aku sangat kecewa. Nampaknya kami tak mampu nak lantik peguam kami lagi. Suami aku tak pernah berhenti cari peguam yang sudi bantu kami siang malam. Akhirnya, kami jumpa seorang peguam yang sudi wakilkan suami aku tanpa bayaran pendahuluan.
Namun, hidup kami perlu teruskan. Kami nekad bawa diri ke tempat baru. Bayaran, rumah dan kereta kami tertunggak beberapa bulan kerana kami masih tiada pendapatan yang tetap.
Motor suami aku hampir ditarik, namum atas pengetahuan undang-undang suami aku motor masih selamat walaupon selepas setahun tidak membuat bayaran.
Pada masa yang sama suami aku masih tidak boleh mendapatkan kerja tetap kerana perlu kerap naik turun mahkamah. Dari 2 kes sahaja sehingga menjadi 6 kes serentak.
Selama 2 tahun pahit jerih kami mencari duit dengan pelbagai perniagaan dan perkhidmatan, Alhamdulillah semua kes2 yang dituntut oleh suami aku dan pihak syarikat menyebelahi suami aku.
Akhirnya, pihak syarikat terpaksa rela menarik semula kes saman sivil terhadap suami aku kerana kekalahan kes-kes lain. Rezeki peguam yang bantu kami jugak, oleh kerana pihak sana kalah banyak kes, kos-kos perlu ditanggung oleh pihak sana juga telah dibayar.
Disamping itu, dalam 2 tahun kami berhempas pulas mencari duit, alhamdulillah tunggakan kami berjaya diselesaikan. Motor dan credit card sudah habis dibayar. Kedua rumah kami berjaya bayar setiap bulan tanpa tunggakan.
Macam mana kami usaha panjang ceritanya. Kehidupan kami semakin baik. Walaupun sekarang suami aku seorang sahaja yang bekerja, tapi hidup kami senang kembali. Bagi aku lebih mewah dari dulu.
Kami ada lebih banyak masa bersama. Keperluan rumah semua suami aku tunaikan tanpa alasan. Katanya selepas apa jadi dalam hidup kami, dia tak takut untuk berbelanja untuk kami.
Andai kata kami jatuh susah semula dia dah tak kisah. Duit bila-bila boleh cari. Rumah lama kami direzekikan dengan penyewa yang baik-baik. Semua tu jadi pengalaman yang sangat berharga buat kami.
Ayah pernah telefon dan mesej aku dan suami aku, tapi aku tak pernah balas atau jawab. Aku rasa aku tiada keperluan untuk berhubung dengan dia.
Bila teringat kata-kata sinis bila dia bersembang dengan aku. Aku tahu aku tak boleh berhubung dengan dia. Kemungkinan untuk aku menjadi biadap terhadap dia amat tinggi lepas apa yang terjadi.
Tapi aku selalu ingatkan suami aku untuk menjawab panggilan ayahnya. Aku tak mahu suami aku jadi anak derhaka. Aku jadi menantu hantu tak apa.
Tapi sehingga sekarang suami aku masih tak berhubung dengan ayahnya. Aku harap satu hari nanti hati dia terbuka untuk berhubung dengan ayah dia semula.
– Cik Hantu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit