Assalamualaikum. Terima kasih admin sebab sudi siarkan penulisan saya.
Sekarang dekat sekolah tengah musim sukan. Seronok. Sesekali terimbas kenangan zaman kecemerlangan sukan masa dekat sekolah dulu-dulu.
Ya, saya budak sukan. Sangat minat dalam bidang sukan. Ada cerita di sebalik semangat saya dalam bidang sukan ini. Dan saya tujukan penulisan ini khas buat guru pengiring sukan atau guru sukan sekolah.
Masih saya ingat, ketika itu di sekolah rendah. Guru sukan saya sedang sibuk membuat pemilihan untuk wakil sekolah ke acara sukan padang dan balapan.
Saya sendiri ketika itu berentap untuk acara lari pecut 100 meter yang merupakan acara yang paling popular dan berprestij.
Ketika itu, saya mendapat tempat pertama dalam acara tersebut dan berasa sangat gembira kerana johan acara akan mewakili sekolah ke peringkat seterusnya.
Tetapi, sedih dan malangnya. Saya tidak terpilih. Yang terpilih untuk mewakili sekolah adalah murid yang mendapat tempat kedua.
Saya bertanya kepada cikgu saya ketika itu, kenapa saya tidak terpilih? Cikgu saya hanya beritahu bahawa saya tidak cukup keyakinan diri.
Saya terlalu sedih. Saya tahu saya hanya berlari berkaki ayam. Saya tahu seluar saya koyak-koyak (hanya ada satu sahaja seluar sukan yang elok, dibasuh setiap hari)
Dan kawan saya yang terpilih itu penampilannya memang kemas dan beretika sukan. Mungkin itu yang dimaksudkan dengan keyakinan diri.
Jauh di dalam hati, saya merajuk dengan cikgu itu. Saya tekad yang saya akan buktikan suatu hari nanti. Bila tiba hari sukan sekolah, saya bolot semua pingat dan dianugerahkan ‘Olahragawati Sekolah’.
Berbeza di peringkat menengah. Seawal tingkatan 1 bakat saya telah dilihat dan diasah oleh cikgu sukan sekolah.
Terima kasih saya ucapkan kepada cikgu tersebut. Tanpa dia siapalah saya pada hari ini. 3 tahun saya mendapat pingat ‘Olahragawati Sekolah’ semasa di peringkat menengah. (Bukan sekolah sukan)
Semasa di tingkatan 4, saya telah mendapat tawaran untuk menyertai SUKMA. Gembira bukan kepalang. Boleh dikatakan pencapaian tertinggi buat saya pada masa itu. Satu sekolah kenal saya, budak sukan hot dan popular dan kaya (sebab elaun sukan).
Alhamdulillah. Rezeki saya dalam bidang sukan. Habis SUKMA, saya melanjutkan pelajaran (bukan dalam bidang sukan).
Namun begitu, saya dan sukan tidak dapat dipisahkan. Sebaik sahaja habis belajar, asbab sijil-sijil sukan saya yang berkepuk dalam fail, saya ditawarkan pekerjaan di dalam bidang sukan juga.
Bila diimbas kembali, dalam jugak ‘merajuk’ saya dengan cikgu sukan sekolah rendah saya dahulu. Dan saya telah ‘membalas dendam’ dengan kejayaan saya dalam bidang sukan.
Walaubagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada cikgu tersebut.
Kepada cikgu/guru sukan, tahniah diucapkan kepada kalian semua. Kerja sukan bukannya mudah. Perlukan semangat dan pengetahuan.
Pastikan murid-murid yang berbakat ditonjolkan. Bakatnya diasah dan diketengahkan. Peluangnya bermula di padang sekolah. Terima kasih cikgu sukan semua!
– Rose (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit