Hai semua. Namaku Bunga. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang puteri yang sangat comel. Suamiku seorang yang sedikit baran tapi apabila reda, dia dulu yang akan meminta maaf. Suamiku juga seorang yang memahami.
Aku bersyukur diatas kehadiran kedua-duanya didalam hidupku. Sebenarnya aku sendiri yang menghadapi trauma dan aku sangat takut dan keliru bagaimana mahu membesarkan anakku dengan traumaku ini.
Ceritanya bermula dari aku masih kecil lagi. Aku adalah anak sulung dari tiga beradik. Ibu dan ayahku bekerja siang dan malam. Jadinya, aku memang akan menjadi sandaran pada ibu dan ayahku untuk menjaga adik-adikku.
Ibu dan ayahku memang tegas. Rotan sentiasa di tangan. TV hanya untuk melihat siaran berita. Hanya ketika mereka tiada dirumah kami dapat melihat cerita kartun.
Aku masih ingat lagi, adikku yang kecil tiba-tiba tiada didalam rumah semasa ayahku pulang. Aku sedang tidur ketika itu.
Ayahku terus memaki ku dengan begitu teruk sedangkan aku juga hanya anak kecil. Rupanya adikku cuba untuk pergi ke rumah pengasuhnya selang beberapa rumah dari rumah kami.
Masih segar lagi dalam ingatan ibu dan ayahku direzekikan untuk membeli kereta baru. Satu hari aku mengajak ibuku untuk ke kedai alat tulis untuk membeli beberapa keperluanku.
Tiba-tiba ada bas yang menghentam belakang kereta baru kami. Ayah datang dari tempat kerja dan mengherdik dan memakiku dengan perkataan ‘sial’ dan ‘anak tidak berguna’.
Aku hanya mampu menitikkan air mata. Malunya bukan kepalang. Aku cuma ingin membeli alat tulis sahaja.
Walaupun aku bukan anak kebanggaan ibu dan ayahku, aku adalah salah seorang pelajar cemerlang disekolahku. Setiap kali anugerah cemerlang, mesti aku akan naik ke pentas mengambil anugerah.
Malangnya, hanya aku saja yang hadir tanpa ibu dan ayah. Sedangkan adikku walaupun hanya ke majlis anugerah cemerlang sebagai penari, ibuku sanggup meminta cuti untuk melihatnya menari.
Disebabkan itu, aku tekad untuk hanya menjadi suri rumah untuk menjaga dan membesarkan anakku walaupun aku ada ijazah master. Aku tidak ingin anakku merasa ketiadaanku semasa anakku perlukanku.
Sejak dari itu, aku hanya diam sahaja. Ibu dan ayah tidak pernah meminta maaf kepadaku.
Beberapa tahun aku berperang dengan perasaan sendiri. Terkenang insiden itu. Aku kini berdamai dan memaafkan, tapi tak mungkin ku lupa. Masih ada luka didalam hatiku ini.
Disebabkan kejadian-kejadian itu, aku menjadi seorang yang suka memberontak dengan orang lain, memaksa orang yang aku sayang untuk memenuhi apa yang ku mahu, mudah terasa hati dan membawa diri berhari-hari lamanya.
Aku tahu aku toksik. Kasihan suamiku kerana perlu melayan kesan traumaku yang begini.
Aku cuba nak berubah tapi traumaku makin jelas diingatan. Aku takut jika hal ini akan memberi kesan pada anakku.
Bantu aku. Aku cuma mahu membesarkan anakku dalam persekitaran dan tauladan yang baik dariku.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Cari kaunselor, setiap daerah ada kaunselor di bawah Jab Kemajuan Masyarakat. Reset diri, bukan tanggungjawab Puan untuk menjaga adik2, itu tanggungjawab ibubapa. Layanan double standard itu wujud di mana2, belajar juga hidup dengannya. Jaga keluarga kecil kamu dan bentuk ianya ikut acuan kamu berdua, itulah perkara yg boleh Puan kawal. Semoga mendapat Sakinah, Mawaddah Dan Rahmah