Motivasiku Makin Menipis Jaga Anak Orang

Hi and salam,

Namaku Tomyam, aku ada anak angkat, yang diangkat sejak dari dalam perut ibu biologinya kerana kasih, simpati dan sudah tak punya option lain (very long story), selain menjaga airmuka orangtua dari terconteng.

Aku memang berniat hendak menyerahkan semula anak ini pada ibunya apabila keadaan sesuai dan perekonomian ibunya sudah stabil. Si ibu maklum akan hal ini.

Selang beberapa tahun, kulihat hidupnya semakin mencukupi.

Disebabkan itu, aku menyanggupi berpindah berdekatan tempat tinggal ibu itu, berkorban harta dan masa. Agar anak ini dekat dan rapat dengan sang ibu.

Kusangka panas sampai ke petang, belum pun tengahari dah ribut. Si ibu menjadi sehelai sepinggang semula.

Aku berpindah semula membawa si anak membesarkannya, menyekolahkan dia jauh darinya sementara si ibu bertatih menata hidupnya semula.

Tahun berganti tahun, si anak semakin besar, harapannya untuk hidup bersama si ibu semakin menebal, ingin merasa kasih aslinya insan yang melahirkannya. Sementara aku, sudah punya banyak komitmen lain.

Si ibu semakin berkerjaya, mengutip pengalaman di firma-firma yang besar, pangkatnya juga menaik. Sedang diriku masih di takuk lama, tidak berkerjaya, tidak mewah. Dia juga menyedari komitmenku semakin besar.

Kujelaskan sekali lagi niatku, agar ambil si anak yang sudah semakin gadis untuk dijaga. Umurku sudah melanjut, emosiku kian tak terjaga dek pelbagai hal.

Tetapi hairan, semakin berduit semakin bergaya, hidupnya tidak pernah lari dari masalah, sentiasa dirundung tekanan. Walhal cuma menanggung makan minum diri sendiri sahaja.

Naluri seorang ibu itu, pasti akan meronta untuk menjaga anak yang dikandungnya kerana cinta.

Seolah menolak untuk menjaga, pelbagai alasan diberikan agar anak itu tidak diserahkan kepadanya. Yang mana alasan alasan itu sebenarnya sangat remeh, tidak wajar dijadikan alasan.

Kusangka bila semakin berjaya, si ibu semakin bersemangat dan gembira untuk menjaga puterinya.

Malang sekali, dia masih mengejar impian dan cita citanya yang tak bersempadan. Mengenepikan si anak terkontang kanting.

Aku sudah sedaya upaya mencurahkan sisa sisa kasih dan simpati pada si anak. Jika hendak dikira, apa yang aku tak korbankan untuk si anak, pernah juga nyawaku juga hampir melayang ketika hendak menjemput si anak pulang dari sekolah.

Mungkin ikhlasku sudah pudar. Harapan untuk mengembalikan anak pada ibunya semakin tiada. Aku bukan orang yang baik, mungkin sudah takdir aku akan menjaganya sehingga masa yang ditetapkan.

Tapi aku sudah lelah, sangat lelah. Terlalu banyak impian dan hal yang ingin aku lakukan sudah ku ranapkan dari jiwaku demi menjaga si anak.

Aku cuma perlu kata kata motivasi dari kalian orang orang baik. Terima kasih.

Yang lelah,

– Tomyam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *