SBP dan Kempompong Kemiskinan

Terima kasih admin kerana menyiarkan confession ini.

Saya Joe, menulis sekadar ingin berkongsi tentang kesan besar dalam hidup saya yang berpunca daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Saya merupakan anak sulung lelaki dalam keluarga.

Adik-adik saya perempuan dan oleh kerana rumah kami hanya ada 2 bilik, maka kami berkongsi bilik & segala apa kelengkapan di dalamnya – almari baju, almari solek, lampu, kipas dll. Cuma tempat tidur sahaja yang berasingan.

Ibu dan ayah pernah cakap, apabila saya sudah akil baligh nanti, saya tidak lagi boleh tidur di dalam bilik, sebaliknya saya akan tidur di atas toto di ruang tamu.

Saya kira, itu aturan yang biasa untuk keluarga berpendapatan rendah yang menduduki rumah begitu. Anak perempuan tidur di bilik, anak lelaki di ruang tamu.

Ibu dan ayah saya sentiasa mengutamakan pelajaran anak-anak.

Biarpun makan minum kami tak seberapa, baju yang lusuh dipakai berulang kali sehingga reput, bergerak ke sana-sini dengan hanya motor ataupun bas, tapi ibu & ayah tanpa gagal memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.

Alhamdulillah, berkat usaha & doa mereka, saya berjaya masuk ke SBP. Saya dan kawan-kawan lain yang sama-sama datang dari keluarga berpendapatan rendah menerima Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

Zaman tu, rasanya RM300 sepenggal (RM50 sebulan). Dengan duit BKP itulah buku-buku rujukan & keperluan lain di sekolah dapat saya beli.

Di asrama, saya ada katil sendiri, almari sendiri, meja belajar di kelas sendiri dan semua itu sama sekali tidak mungkin saya miliki sekiranya saya tidak diterima masuk ke SBP.

Kalau di rumah dulu, saya akan membantu ibu membuat kuih dan menjualnya di waktu petang.

Makan tengah hari kami tidak menentu menunya, tapi paling kerap ialah telur dan ikan kembung goreng kerana itu menu yang murah & ringkas disediakan kerana ibu perlu siapkan kuih cepat untuk saya jual di waktu petang.

Tetapi semasa di asrama, selepas pulang dari sekolah, saya akan makan & solat, seterusnya ke kelas prep menyiapkan tugasan yang cikgu beri dan terus bersukan di padang selepas solat asar.

Di sinilah bakat saya dikembangkan apabila terpilih mewakili sekolah dan bermain sehingga peringkat kebangsaan.

Sudah menjadi kelaziman, pelajar di SBP bermain lebih daripada 1 sukan dan mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan lain seperti bahas, pidato serta bermacam kuiz kerana bilangan murid yang tidak ramai.

Pada waktu malam pula, selepas makan & solat, saya akan ke kelas prep malam pula untuk mengulangkaji pelajaran.

Pelajar yang lebih pandai akan membimbing rakan-rakan yang lain dan bagi pelajar-pelajar tahun peperiksaan PMR & SPM, cikgu-cikgu juga kerap membuat kelas tambahan.

Saya berpeluang melihat negeri lain apabila tiba musim sambutan Hari Kecemerlangan SBP atau ketika mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan.

Sekolah juga kerap membuat program lawatan ke luar untuk pendedahan kepada pelajar-pelajar.

Alumni juga kerap hadir ke sekolah berkongsi pengalaman tentang kerjaya dan juga memberi panduan pemilihan kursus pengajian kepada pelajar-pelajar.

Hasil daripada bermacam-macam pendedahan di SBP, walaupun berada dalam kelompok pelajar yang tidak berapa cemerlang, syukur alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi & ijazah sarjana muda serta mendapat pekerjaan yang baik.

Kini, saya sudah berkeluarga dan anak-anak saya lahir dalam keluarga berpendapatan tinggi.

Sejak kecil, mereka mempunyai bilik sendiri, almari sendiri, meja sendiri serta ruang peribadi masing-masing. Tidak seperti saya di zaman kanak-kanak, pakaian mereka jauh lebih baik.

Begitu juga dengan pendidikan mereka. Tidak cukup dengan kelas mengaji, kelas tuisyen akademik, kelas mempertahankan diri, malah mereka juga berpeluang menghadiri kelas hobi yang diingini.

Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah bagaimana mobiliti sosial telah berlaku dalam hidup saya dan keluarga saya, kesan daripada diterima masuk ke SBP.

Daripada keluarga berpendapatan rendah, alhamdulillah syukur, Tuhan berikan nikmat apabila menempatkan keluarga saya dalam kelompok berpendapatan tinggi.

Pendidikan dan pendedahan di SBP telah mengubah taraf hidup kelompok terbawah seperti saya hanya dalam tempoh 1 generasi sahaja.

Saya sangat bersyukur dengan apa yang saya nikmati hari ini dan semestinya anak-anak saya tidak akan saya hantar ke SBP meskipun saya dan isteri membayar cukai yang tinggi saban tahun..

Kerana kami percaya, satu tempat yang orang kaya rebut di SBP akan mengurangkan satu tempat untuk anak orang miskin mengubah nasibnya untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

– Alumni SBP (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *