Saya Suriya, berusia 42 tahun, bekerja sendiri. Telah bercerai dengan bekas suami hampir 5 tahun, dan anak-anak (4 orang) di bawah jagaan bekas suami. Tapi malangnya, selepas bekas suami berkahwin lain, dia telah mengabaikan anak-anak, termasuk nafkah anak.
Untuk makluman, bekas suami saya berjawatan tinggi di salah sebuah IPT*. Dari zaman anak-anak kecil lagi, bekas suami seorang yang sangat berkira bab duit dengan isteri dan anak-anak. Saya terpaksa memikirkan perbelanjaan anak-anak—buku sekolah, pakaian sekolah, van sekolah, baju raya, barang dapur—dan mencari pendapatan sendiri.
Pada mulanya, saya berniat untuk membantu meringankan beban suami, tapi tak sangka memang itulah yang dia mahukan dari saya. Dari susu anak, lampin pakai buang, insurans anak-anak, kebanyakannya saya yang terpaksa tanggung sebab dia sentiasa beri alasan duit tak cukup. Dan sekarang, walaupun dia sudah mendapat hak hadanah, yang peritnya segala masalah atau kepayahan anak-anak masih diletakkan di bahu saya. Jika anak meminta dari dia, dia hanya mendiamkan diri, dan anak-anak akan cari saya.
Sebagai ibu, saya tak sanggup tengok anak saya susah, tak makan… saya akan bantu. Dan dia telah mengambil kesempatan atas keprihatinan saya pada anak-anak. Sekarang, anak sulung saya sudah 21 tahun, yang kedua 17 tahun (SPM 2025), yang ketiga berumur 11 tahun, dan yang bongsu berumur 9 tahun.
Bulan lepas, dia telah menghantar WhatsApp kepada anak sulung saya untuk keluar rumah dan mencari bilik sewa dengan alasan sudah umur 21 tahun dan bukan bawah tanggungjawabnya lagi. Saya agak terkejut bila anak menghantar tangkap layar mesej itu… saya masih bersabar.
Baru-baru ini, sehari sebelum sesi persekolahan bermula, anak kedua saya telah membuat panggilan video sambil menangis teresak-esak. Katanya, dia bergaduh dengan bapanya, dan bapanya telah menghalaunya keluar dari rumah. Punca pergaduhan adalah anak saya meminta bapanya belikan kasut sekolah kerana kasut sekolah lamanya sudah rosak, tapi si bapa enggan membeli. Berlaku pertengkaran sehingga dia sanggup menghalau anak perempuannya sendiri dari rumah dengan panggilan kesat.
Saya segera ke sana mengambil anak dan pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan mengenai anak yang dihalau, dan saya mengambilnya dari penjagaan bapanya. Ketika saya mengajak anak untuk ke rumah bapanya mengambil baju-bajunya, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati semua baju anak-anak perempuan saya sudah diletakkan dalam kotak di luar rumah.
Saya juga ke sekolah anak-anak saya untuk berjumpa guru kelas. Saya dimaklumkan bahawa sebiji buku pun bapanya tidak beli untuk naik ke Tingkatan 5, malah tidak membayar yuran PIBG anak. Allahu Akbar… bukan setakat tidak mahu membeli kasut sekolah, baju sekolah, malah buku-buku dan peralatan sekolah juga tidak dibeli. Sedih rasa hati.
Sekarang, anak perempuan saya sudah berpindah sekolah, dan selama sebulan dia tidak tinggal bersama bapanya. Sepuluh sen duit makan pun bapanya tidak kirim untuknya. Kini, rumah yang dia diami bersama anak-anak yang lain telah dijual, dan dia akan berpindah ke daerah lain. Seperti yang diarahkan sebelum ini, tiba masanya anak sulung saya keluar menyewa bilik kerana katanya anak sulung saya sudah tidak di bawah tanggungjawabnya lagi.
Sementara itu, dua orang anak saya yang kecil yang masih bersama bapanya merengek-rengek meminta supaya saya mengambil mereka. Katanya, bapanya selalu marah-marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka berdua. Tambahan pula, kakak dan abang mereka sudah tiada bersama, mereka mendesak supaya saya mengambil mereka kerana tidak mahu lagi tinggal bersama bapa.
Buat pengetahuan semua, akses yang boleh menghubungkan saya dengan anak-anak kecil saya itu semua telah disekat. Saya memohon pandangan dan nasihat, apakah tindakan yang boleh saya ambil terhadap si bapa? Semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat membantu saya dari segi nasihat dan pandangan.
Sekian, terima kasih.
– Suriya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
kesian nya puan. semoga urusan puan dipermudahkan . saya cadangkan puan pergi ke pejabat peguam untuk nasihat lanjut. simpan semua bukti yang ayah itu telah halau anak perempuan. rekod semua bukti. bukti tak beli buku, semua. saya cadangkan jika puan mampu, ambil anak-anak yang 2 orang lagi tu. risau apa-apa berlaku dengan keadaan bekas suami puan mcm tu.