Julai ini genap tahun ke-5 perkahwinan kami.
Allah kurniakan aku dua cahaya mata lelaki yang sangat manja dan menjadi kekuatan terbesar dalam hidupku hari ini.
Si abang baru berusia 3 tahun, dan si adik pula baru mencecah 7 bulan.
Di sebalik senyuman yang aku pakai setiap hari, ada sebuah kisah yang telah lama aku simpan kemas dalam hati.
Awal tahun lalu, ketika aku sedang mengandungkan anak kedua, aku mula menyedari perubahan pada suamiku. Dia makin menjauh, makin diam.
Aku cuba bertahan… tetapi dalam diam, rupa-rupanya hadir orang ketiga.. rakan sekerjanya sendiri.
Perempuan tu tua 5 tahun dari kami.. Matang dan baik kata dia..
Suami cuba menafikan… tetapi percayalah, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Firasat aku tak pernah silap.
Allah sendiri tunjukkan dalam mimpi — perkara yang aku tak pernah cari, tetapi Dia hadirkan juga sebagai petunjuk.
Banyak perkara yang melukakan hati. Ketika aku sakit semasa mengandung, saat aku perlukan sokongan, dan paling perit..
Ketika aku kehilangan mak tersayang saat usia kandungan mencecah 9 bulan. Aku rasa sangat keseorangan. Namun aku dilayan seolah-olah menjadi beban.
Aku pernah hilang diri sendiri. Pernah terfikir untuk mengakhiri segalanya. Tapi Allah peluk aku semula… melalui senyuman dan tangisan anak-anakku. Mereka lah sebab aku terus bangkit dan bertahan.
Alhamdulillah, anakku lahir dengan sihat dan cukup sifat. Aku yakin, itu semua adalah berkat doa arwah mak, yang tak pernah putus untuk anaknya.
Hari demi hari, aku cuba kumpul semangat. Aku buat solat taubat, solat hajat, dan solat istikharah. Memohon petunjuk dari Allah.
Beberapa hari sebelum raya baru-baru ini, dia nyatakan hasrat untuk menceraikan aku. Tapi hingga kini, tiada tindakan lanjut darinya.
Aku penat. Tapi aku redha… jika benar perpisahan itu takdirnya. Aku cuma mahu anak-anakku membesar dalam suasana yang bahagia. Bila mereka lihat ibu mereka kuat, tenang dan tersenyum.
Namun, jauh di sudut hati… aku masih menyayangi suami aku. Aku simpati, kerana aku tahu dia juga sebenarnya sedang ‘hilang’ arah.. tapi ego menguasi dirinya.
Melihatnya tahun ini, dikatanya sudah tiada apa2 dengan perempuan tu. Dia lebih banyak berdiam diri.
Aku tak tahu apa akan berlaku selepas ini. Tapi aku yakin satu perkara — Allah takkan uji aku tanpa sebab.
Doakan aku terus kuat. Sejak kehilangan mak, aku sangat perlukan doa dan kekuatan dari orang sekeliling.
Salah satu impian terbesar aku kini; untuk ke Makkah. Untuk sujud, berdoa, dan menangis sepuasnya di hadapan Kaabah.
Mohon doakan aku… semoga Allah beri yang terbaik buat diriku dan anak-anakku.
– Umairah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Doa saya semoga impian terbesar sis utk ke mekah tercapai Aamiin.. semoga sis terus kuat saat ini dan selamanya Aamiin