Saban hari, kita melihat pemandangan biasa – orang buta menjual tisu di kedai mamak, di warung tepi jalan, di kaki lima bangunan usang.
Ada yang memetik gitar lusuh, menghibur pejalan kaki yang hanya sekadar lalu tanpa sepatah pun kata simpati. Ada yang mengurut di pasar raya dengan bayaran kecil yang tak seberapa.
Tetapi, bila diselak cerita sebenar – ramai antara mereka sebenarnya berpendidikan tinggi. Ada yang punya diploma, ada yang punya ijazah, bahkan ada yang menjejak kaki ke menara gading hingga ke peringkat sarjana.
Namun kenapa mereka tetap merangkak di lorong sempit itu?
Siapa yang sebenarnya membutakan masa depan mereka?
Jawapannya pahit & pedih: NGO, orang buta itu sendiri, dan si buta cerdik pandai yang mementingkan diri.
1. Salah NGO: Menyamar Jadi Penyelamat, Hakikatnya Pengkhianat
NGO yang kononnya memperjuangkan hak orang buta kebanyakannya hanya sibuk berebut jawatan, berpeleseran di seminar, memancing dana, dan membolot sumbangan.
Mereka lebih seronok menunjuk gambar serahan cek besar daripada benar-benar membina peluang kerjaya bermaruah untuk si buta.
Kursus yang ditawarkan berulang-ulang sudah tidak relevan an tiada langsung peluang kerjaya: administration, operator telefon, kemahiran asaas ICT – seolah-olah itu sajalah nilai orang buta di mata mereka.
Ada NGO yang hanya mahu orang buta jadi penerima bantuan, bukan pencipta kejayaan.
Kenapa tidak wujudkan syarikat urut, restoran, koperasi, dikelola 100% orang buta?
Kenapa asyik berharap kepada “training kosong” yang akhirnya membiarkan peserta menganggur semula?
Kenapa tak ada kesinambungan?
Sebabnya mudah:
Mereka lebih selesa orang buta kekal miskin supaya NGO kekal relevan untuk meminta dana.
2. Salah Sifat Negatif Sebahagian Si Buta: Lemah, Mengalah, Manja
Sebahagian orang buta pula, terutama yang IQ sederhana dan rendah, menambah luka yang sedia ada.
Mereka lebih suka merungut daripada berusaha.
Lebih rela bergantung tangan meminta daripada menggenggam peluang.
Tak mahu berkorban susah, tak mahu berdepan cabaran dunia sebenar.
Bila dicadangkan untuk tambah ilmu atau kerja keras, seribu alasan diberi:
“Ala susah…”
“Ala takut tak boleh…”
“Ala malas nak keluar…”
Mahu semua percuma, mahu semua disuap ke mulut.
Kalau sedikit ditegur, cepat melenting, merajuk, mogok.
Sikap seperti inilah yang akhirnya menanam imej hodoh dalam mata masyarakat:
“Orang buta pemalas, kuat meminta, tak boleh pakai.”
Hakikatnya bukan semua, tetapi kerana segelintir inilah yang merosakkan peluang majoriti lain.
3. Salah Si Buta IQ Cerdik Pandai: Sombong, Penting Diri
Lebih menyakitkan hati ialah golongan buta yang cerdik pandai – golongan minoriti yang berjaya menjadi pensyarah, peguam, pegawai tinggi – tetapi selepas berjaya, mereka lupa daratan.
Mereka hidup dalam dunia sendiri, menjauhi komuniti buta lain, merasa lebih hebat daripada yang lain.
Mereka tidak kembali mengangkat tangan membantu saudara seangkatan.
Mereka tak peduli kalau yang lain terus tenggelam dalam kegelapan hidup.
Mereka sangka, “Itu masalah mereka. Bukan masalah aku.”
Kalau yang berjaya pun pentingkan diri, siapa lagi nak tarik yang lemah ke atas?
Kalau bukan sesama si buta yang memahami kesakitan dan cabaran ini, siapa lagi yang patut bertindak?
Sampai bila?
Buta itu bukan sekadar pada mata.
Buta itu bila NGO buta hati kerana tamak.
Buta itu bila si buta memilih jadi hamba simpati.
Buta itu bila si buta cerdik memilih jadi egois, melupakan tanggungjawab sosial.
Jika semua terus begini, generasi orang buta di Malaysia akan terus kekal menjual tisu di kaki lima.
Terus menghibur di jalanan untuk sekeping syiling.
Terus mengurut tulang belakang orang lain, tapi tulang belakang sendiri reput, dikerat oleh sistem yang korup, sifat diri yang lemah, dan pengkhianatan sesama sendiri.
Sampai bila lagi?
Kalau bukan sekarang, bila?
Kalau bukan kita, siapa lagi?
– bungA rayA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit