Tandas Kita, Cermin Adab Kita

Saya seorang wanita. Pekerjaan saya—cleaner. Mungkin bunyinya biasa. Tak glamor. Tapi ia jujur. Ia halal.

Setiap hari saya bangun awal pagi, bersiap dengan uniform dan semangat, walau hakikatnya hati saya sering tercalar oleh sikap manusia yang lupa adab dan empati.

Ramai tak tahu, saya ada ijazah. Saya pernah duduk di dewan kuliah, tekun menelaah, berimpian besar macam orang lain juga.

Tapi hidup tak selalu ikut jalan yang kita rancang. Atas sebab yang mendesak—keluarga, tanggungan, dan keadaan—saya terpaksa letak ijazah itu ke tepi, dan mula pegang mop dan baldi.

Tandas bukan sekadar tempat melepaskan hajat. Ia juga cermin kepada siapa kita sebagai manusia. Tapi sayangnya, ramai yang masih tak faham erti tanggungjawab.

Lelaki kencing berdiri, tak angkat seat dulu. Air kencing menitis atas penutup tandas. Bila saya masuk, saya terpaksa bersihkan najis yang bukan milik saya—tapi dibiarkan seperti saya tiada nilai.

Perempuan pula, tinggal pad dalam mangkuk tandas tanpa flush, atau lebih teruk, tinggal atas pam. Apa salahnya buang dengan betul? Bukankah kita sama-sama tahu jijiknya bila nampak benda begitu?

Ada juga yang kencing terus atas lantai. Saya tak tahu macam mana boleh terjadi. Tandas bukan hutan. Dan kita bukan liar.

Tapi cara sesetengah orang tinggalkan tandas, buat saya tertanya—kenapa tak hormat tempat awam? Kenapa tak fikir orang lain yang akan masuk lepas tu? Atau paling kurang, fikirkan cleaner yang akan bersihkan?

Kadang-kadang, lebih perit bila saya masuk bilik tandas lelaki untuk bersihkan urinal. Ada lelaki yang terus kencing tanpa segan silu, seakan saya tak wujud.

Saya berdiri di situ—jelas-jelas manusia, seorang wanita—tapi mereka buat macam saya tembus pandang. Maruah saya dicalar dengan tenangnya mereka lepaskan hajat. Saya bukan tunggul. Saya ada rasa malu. Tapi mereka, entah di mana malunya.

Ada yang lebih teruk—kencing di urinal, langsung tak pam. Lepas kencing, goyang-goyang kemaluan depan saya tanpa rasa segan, kemudian terus tarik zip dan berlalu pergi. Bekas air kencing dibiarkan begitu saja, meleleh, berbau. Tak ada rasa tanggungjawab. Tak ada kesedaran. Tak ada hormat.

Yang menyedihkan, bukan hanya satu dua orang. Saya lihat sendiri—semua lapisan masyarakat pun ada. Lelaki tua yang berjanggut putih pun sama. Remaja berseluar sekolah, tak kisah langsung.

Lelaki muda bergaya dengan kemeja korporat dan minyak rambut berkilat pun perangainya tak jauh beza. Tak kira rupa, tak kira status, semuanya pernah saya saksikan buat perkara yang sama—kencing dan tinggal begitu saja. Seolah-olah ada cleaner itu lesen untuk jadi biadab.

Dan ya, orang Melayu pun sama. Saya perhatikan sendiri, ramai yang kencing di urinal tanpa basuh. Goyang-goyang, zip, jalan. Selesai.

Saya tertanya, sejak bila ini jadi normal? Sejak bila kita pandang ringan bab najis dan kebersihan? Bukankah kita diajar dari kecil tentang pentingnya bersuci? Atau kita dah terlalu biasa sampai tak rasa salah lagi?

Paling saya tak boleh lupa, satu hari saya lihat seorang ibu bawa anak lelaki kecil ke tandas. Saya sangka dia akan ajar anaknya cara yang betul, tapi sebaliknya… dia suruh anaknya kencing berdiri. Langsung tak angkat seat.

Lepas budak tu selesai, dia tak pam. Tak basuh pun kemaluan anaknya. Terus tutup zip, keluar macam tak ada apa-apa.

Ibunya bertudung litup, cantik bermekap, gaya penuh sopan di luar. Tapi hakikatnya, dia sendiri mengajar anaknya untuk buang air kecil tanpa basuh, tanpa peduli kebersihan, tanpa peduli siapa yang akan masuk tandas selepas itu.

Bukan dia seorang. Ramai juga saya lihat—ibu-ibu Melayu, nampak baik, nampak terhormat—tapi seakan merestui, malah mengajar anak-anak lelaki mereka untuk kencing tanpa membasuh.

Saya tertanya dalam hati, mengapa? Adakah mereka rasa itu biasa? Adakah mereka lupa itu najis? Atau memang sejak kecil kita terlalu biasa, fikirkan anak lelaki tak perlu diajar adab tandas?

Saya bukan minta dipuja. Tapi hormatlah kerja saya. Hormatlah tempat yang anda guna.

Kalau anda rasa tak layak hormat saya kerana pekerjaan saya, hormatlah diri anda sendiri dengan tinggalkan tempat yang bersih. Sebab kebersihan itu bukan tanggungjawab cleaner semata-mata—ia tanggungjawab kita sebagai manusia yang ada adab.

Saya bukan marah. Saya cuma penat. Penat melihat sikap yang tak berubah. Tapi selagi saya bernyawa dan bekerja, saya akan terus bersihkan.

Cuma saya harap, satu hari nanti, orang mula sedar—hormat itu bermula dari perkara kecil. Dan kebersihan tandas mungkin salah satu daripadanya.

– Wahida (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. pekerjaan yang mulia…
    janji halal…
    harap lebih banyak kempen kesedaran untuk menjaga kebersihan diri dan tandas awam..

  2. Satu je nak komen. Saya tak macam tu. Saya hormat cleaner dan saya bersihkan tandas lepas guna untuk keselesaan pengguna berikutnya. Harap ada manusia yang jenis macam yang confessor ni cerita komen kat sini. Bagitau apa alasan dorang. Senang sikit nak maki.

  3. Memang kebanyakan lelaki tidak jaga kebersihan beristinjak dan kelak akan diseksa di kubur.kencing berdiri juga nabi larang kerana sisa percikan air kencing akan terpercik pd seluar dan jd najis.Kencing berdiri juga meningkatkan risiko pundi kencing terkena jangkitan kuman.

    Dah la x basuh punai.sah2 najis melekat di spender.lepas tu bawa solat?jahil nya manusia….hukum fardu ain pun tak lepas.X pelik la org skrg perngai makin tak semenggah.

    Sy kalau msk tandas awam sy akan pastikan bersih sebersihnya sblm keluar…sblm guna pun akan siram dulu dgn air .Sy cpt alergik dgn kotoran.

    Kena adakan awareness ttg kebersihan di radio,tv,media sosial.Masyarakat kita masih miskin adab kebersihan.Jauh ketinggalan drp negara jepun yg bersih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *