Kenapa Dia Layak Masuk Situ?

Assalamualaikum pembaca IIUM Confessions. Saya Nia, emak kepada anak-anak yang masih kecil dan masih bersekolah. Saya sebenarnya tidak pandai mengarang ayat. Semoga luahan saya ini dapat difahami oleh pembaca.

Saya cuma hendak meluahkan cerita yang saya dengar semasa Open House tempoh hari. Saya rasa cerita itu menarik untuk diluahkan kerana ia melibatkan isu pendidikan.

Ceritanya lebih kurang seperti ini. Ada seorang kakak ini bercerita, di kampungnya ada seorang pelajar mendapat tawaran belajar di sekolah asrama penuh.

Dengar ceritanya, di sekolah tersebut susah hendak masuk dan pelajar ini merupakan warganegara Malaysia. Ayahnya warganegara Malaysia manakala ibunya warganegara negara jiran sebelah kita.

Isunya di sini, kenapa dia layak masuk situ? Itu persoalan yang menjadi punca kemarahan sesetengah pihak yang mendengar kerana rasa tidak adil disebabkan salah seorang orang tuanya bukan warganegara.

Pada masa itu, saya cuma menjadi pendengar cerita kerana tidak memahami situasi disebabkan anak-anak masih kecil dan masih bersekolah rendah.

Ada beberapa perkara dibangkitkan oleh mereka yang membahas ketika itu membuatkan saya rasa bernas dan ingin diluahkan di sini. Sambil meluah, sambil berkongsi pendapat dengan anda semua.

Sebagai seorang warganegara dan pembayar cukai, saya faham kenapa mereka marah sangat. Sekolah asrama selalunya mendapat bantuan kerajaan. Duit kerajaan daripada mana? Daripada cukai rakyat.

Dan pelajar ini menggunakan bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti pelajar yang lain.

Kenapa pemilihan kemasukan tidak mengutamakan pelajar-pelajar yang ibu bapa memang warganegara Malaysia? Ramai yang layak. Memang dia dan bapanya warganegara Malaysia. Tetapi ibunya? Apa status ibunya? Pemegang kad pengenalan merah atau tidak?

Kenapa dia diterima masuk dan diberi kemudahan belajar sama seperti pelajar lain? Tidakkah perbuatan seperti ini membuka peluang luas untuk ramai pelajar sepertinya mendapat hak-hak yang sepatutnya warganegara sendiri dapat?

Perkara seperti ini sepatutnya dipandang serius oleh masyarakat. Salah satu perkara yang ditekankan oleh pencerita dan pendengar tadi ialah jati diri negara.

Bila dibiarkan, mungkin makin ramai pelajar yang ibu bapa berstatus sebegini sambung belajar menggunakan dana dan biasiswa negara untuk ke peringkat tinggi dan akan bekerja di sektor kerajaan kelak.

Pada masa itu, negara kita ditadbir dan diselia oleh seseorang yang berketurunan bukan berasal dari tanah air sendiri?

Ini bukan isu dengki dengan rezeki pelajar tersebut. Daripada isu sekecil ini mungkin boleh menimbulkan isu besar di kemudian hari. Kita ada hak bumiputera yang hendak kita jaga.

Dalam isu ini, sudah tentu pelajar tersebut dikategorikan sebagai bumiputera kerana mengikut warganegara bapa walhal ibunya belum 15 tahun menetap di sini dan belum tentu ada asas pengetahuan am dan sejarah yang luas mengenai negara ini.

Rasanya perlu diteliti semula hak-hak istimewa bumiputera sebelum sewenangnya diperturunkan kepada generasi seperti ini.

Pada mulanya saya dengar seperti isu remeh-temeh tetapi bila difikirkan semula, berat isu ini demi masa depan anak-anak kita. Bila dicadangkan oleh sesetengah pihak politik mengenai hak pendidikan sama rata, kita mudah melenting.

Tetapi dalam isu ini seolah-olah kita sendiri memberi peluang untuk sama-ratakan hak-hak pendidikan yang sepatutnya keutamaan lebih kepada pelajar yang kedua-dua ibu bapanya warganegara Malaysia.

Jangan disamakan negara kita dengan negara orang. Negara orang lain pendidikan boleh diberi secara percuma dan sama rata kerana cukai yang tinggi dan tiada berbilang kaum.

Kita ada kaum Melayu, kaum Cina, kaum India dan kaum minoriti yang lain. Banyak “hati” hendak dijaga. Ibaratnya seperti inilah, “bagi kat sorang, yang lain pun nak juga”.

Pada masa akan datang jika tidak dipantau dan bertegas, warga di negara seberang pun kita beri hak sama rata atas dasar nusantara dan serumpun. Ini yang saya fikirkan tadi. Semacam mengarut tetapi tidak mustahil andai kata sedikit demi sedikit kita beri peluang kepada anak-anak mereka.

Tidak mustahil kerana bantuan dan biaya yang kita berikan kepada anak-anak mereka membuka peluang kepada keluarga besar mereka berhijrah ke sini dan menuntut hak yang sama seperti anak-anak mereka dapat untuk anak-anak keluarga besar ini pula.

Apa jadi kepada anak-anak yang kedua-dua ibu bapanya warganegara Malaysia? Sikit demi sedikit hak dan peluang ditarik oleh warga asing dan akhirnya pandai-pandailah kau orang hendak hidup.

Kembali seperti zaman dahulu kala. Yang berharta dan bertanah bolehlah bergolok gadai untuk menyambung pelajaran. Yang miskin papa kedana mengemis dalam negara sendiri demi secebis ilmu pendidikan. Inilah yang kita tak mahu berlaku semula di masa akan datang.

Maafkan saya andai kata luahan saya terlalu emosi dan overthinking. Seorang emak apabila terlampau memikirkan masa depan anak-anak, inilah terjadinya. Memang mengerikan untuk dibayangkan. Sepertinya saya sedikit demi sedikit mula memahami kegusaran kakak yang bercerita isu ini.

Mungkin saudara dan saudari pembaca boleh memberikan dan berkongsi pendapat untuk saya lebih memahami isu ini? Mungkin sekarang luahan saya lebih kepada sifat tidak puas hati dan tidak bersifat neutral kerana terpengaruh dengan kata-kata pendengar dan pencerita di open house kelmarin.

Maafkan saya andai kata luahan saya menyakitkan hati sesiapa yang membaca luahan saya ini. Ini cuma sekadar luahan seorang emak yang terfikirkan masa depan anak-anaknya. Janganlah kecam saya andai kata berbeza pendapat dengan saya.

– Nia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *