Namaku Humayrah. Hari ini aku berdiri di satu persimpangan yang tidak pernah aku bayangkan akan aku tempuhi. 29 tahun aku hidup, dan dalam 29 tahun itu, aku tidak pernah benar-benar merasa hidup.
Ayah aku sudah pergi, meninggalkan aku berdua dengan seorang ibu yang tidak pernah nampak aku, tidak pernah dengar suara hati aku, tidak pernah kisah akan luka yang aku simpan dalam diam.
Aku ada seorang adik lelaki, Farez. Dia sudah berkahwin dan tinggal jauh, membina hidupnya sendiri, meninggalkan aku sendirian untuk menanggung semuanya.
Bila aku jatuh, bila aku lelah, bila aku rasa dunia ini terlalu berat, tidak ada siapa yang memandang aku. Aku sendiri, hanya aku, berdepan dengan renungan ibu yang penuh tuntutan dan jelingan yang membunuh perlahan-lahan.
Aku belum pernah berkahwin. Bukan kerana aku tidak mahu, tapi kerana aku memilih untuk menjaga hati seorang ibu yang sentiasa meletakkan syarat yang tidak mampu aku penuhi.
Pernah aku mencintai, bertahun-tahun aku membina harapan bersama seorang lelaki yang aku percaya. Tapi kerana dia miskin, kerana fitnah orang luar yang ibu lebih percaya daripada aku, cinta itu dipaksa mati di tangan aku sendiri.
Aku lepaskan walau seluruh jiwa aku menangis. Aku tunduk demi ibu. Demi dia.
Aku sangka, pengorbanan itu akan membawa aku kepada kasih sayangnya. Tapi setiap kali aku menyerahkan bahagianku, ibu cuma menuntut lebih. Tidak ada noktah. Tidak ada penghargaan. Aku bukan anak di matanya, aku hanya alat yang harus patuh tanpa suara.
Tawaran kerja di Singapura datang, membawa cahaya kecil di tengah gelap hidupku. Aku ingin pergi, ingin ubah nasib. Tapi ibu meranapkan harapan itu dalam sekelip mata.
Katanya, perempuan jauh dari rumah hanya membawa malu. Katanya aku akan jadi perempuan murahan. Katanya aku akan lupa daratan.
Dia menuduh aku, sedangkan aku tidak pernah mengerti apa salahku. Hidup aku hanya kerja dan rumah. Dunia aku kecil. Dunia aku kosong.
Aku belajar berdiam diri. Aku belajar menahan air mata sampai sesak dada. Aku belajar pura-pura kuat bila sebenarnya aku retak dalam.
Satu hari, aku pulang dari kerja, tubuhku menggigil menahan sakit hendak ke tandas. Aku berlari tanpa sempat memandang ibu. Dan kerana itu, aku dihukum dengan diam yang membunuh, dengan jelingan yang menikam.
Berminggu-minggu aku hidup dalam dinding rumah yang sejuk dan kosong. Setiap langkah aku terasa berdosa. Setiap nafas aku terasa berat.
Setelah ayah pergi, dia tinggalkan rumah-rumah sewa untuk kami. Tapi yang menguruskan semuanya hanyalah aku. Farez jauh. Dan beban itu terhempas di bahu aku seorang.
Aku, dengan gaji kecil, dengan masa yang sempit, cuba memperbaiki sedikit demi sedikit. Tapi di mata ibu, usaha aku tidak bermakna. Kata-katanya mengguris tanpa belas, “Kalau bukan sebab kau lambat, rumah tu dah penuh penyewa! Aku rugi sebab kau!”
Tidak ada sesiapa yang tahu berapa banyak malam aku menangis diam-diam dalam bilik. Tidak ada sesiapa yang tahu bagaimana aku menahan perasaan ingin lari jauh tapi tetap bertahan kerana satu perkataan ibu.
Hari ini, aku bertanya dengan suara paling perlahan, “Ibu, nak makan sekali dengan saya?” Tapi yang aku terima hanyalah satu jelingan tajam, cukup untuk merobek seluruh sisa kekuatan yang masih tinggal dalam diri aku.
Aku tak tahu lagi apa salah aku. Aku tak tahu apa lagi yang perlu aku betulkan. Aku cuma tahu aku penat. Bukan sekadar letih badan. Tapi jiwa aku punah. Semangat aku reput. Aku hidup tapi aku tidak merasa hidup.
Ibu bukan sekadar keras. Dia seorang narsisistik. Dia hanya peduli tentang dirinya. Aku dipersalahkan atas perkara yang bukan salah aku. Aku dikorbankan untuk menjaga maruah yang aku sendiri tidak faham. Aku dihukum atas dosa yang aku tidak lakukan.
29 tahun aku cuba bertahan. 29 tahun aku membunuh impian demi impian, hanya untuk mendengar dia berkata, aku tetap tidak cukup. Tidak akan pernah cukup.
Hari ini aku tahu, aku sudah sampai ke penghujung daya. Mental aku sudah reput. Hati aku sudah hancur berderai. Aku tidak lagi kuat. Aku tidak lagi mahu pura-pura kuat.
– Humayrah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit