Aku masih di sini. Walau pun diberi seribu satu sebab untuk terus melupakan, aku masih percaya pada kita.
Pada segala dan semua janji untuk hari hari esok yang lebih terang dan bermakna, yang mana kita sepatutnya lebih bahagia.
Ukur tentu seseorang pencinta adalah pada kesanggupan untuk terus melawan, menentang apapun sebab untuk berhenti bertarung ke arah perhubungan yang lebih memaknakan. Oleh ini aku berani.
Aku masih sanggup, walau apapun terus menentang, bertahan, bahkan berkorban, agar aku masih berkesempatan menunaikan apa yang pernah aku janjikan.
Aku percaya walau apapun, masih ada sebahagian dari kita yang masih tetap terikat, meski mungkin kini sedikit terlerai walau bukan sepenuhnya. Namun masih bernadi. Aku rasakannya saban hari bahkan sekarang pun, saat menulis ini.
Aku pernah mengatakan bahwa hidup ini adalah tentang membuat pilihan. Pilihan dan keputusan. Yang kebiasaannya dicorakkan penghayatan dan penerimaan si pembuat keputusan.
Saat sesuatu dihantar ke dalam hidup kita, kita lah tuan kepada segala yang akan kita percaya, terima dan olahkan dari sesuatu itu, dan semoga sebarang keputusan dari itu diharapkan untuk yang terbaik. Begitulah selalunya.
Bahkan sekarang pun, ternyata kamu masih lagi pilihanku. Hari ini, sebelumnya bahkan selepas ini, akan terus jadi saksi bahwa aku masih tetap memilih kamu.
Tujuan hidupku adalah masih untuk aku buktikan meskipun di samping gelak tawa, segala dan semua pengharapan itu adalah seiikhlasnya untuk kita. Kerana itu sahaja yang aku ada.
Setidaknya aku masih setia pada janji dan harapan kita.
Apabila dan ketika kamu teringat akan kita, percayalah itu adalah mungkin doa atau rindu yang tidak pernah tersisa sejak mula episod ini.
Aku percaya dengan keikhlasanku menghargai kau selama ini – untuk aku yakin bahwa kau juga akan mengingatiku sebagaimana aku mengingatimu.
Aku percaya bahawa walau apapun, semua ini adalah ketentuan dari Tuhan. Siapalah aku untuk mencabar takdir dariNya. Jauh sekali menidakkan apa yang telah jelas terbentang.
Namun aku percaya dan akan tetap terus percaya bahawa apa yang sedang kita lalui ini adalah suatu bentuk pengajaran yang sepatutnya membetulkan hala tujuan dan arah hidup kita, dan peringatan bahawa ini adalah perlu bagi kita berdua untuk terus bersama.
We both realise now, more than ever, how our moral compass needed its recalibration if we are going to make it from here on out. I am glad this one has passed.
“Rahsia Allah itu luas”.
Cukuplah. Aku tahu kau juga terseksa dgn keadaan ini. Tak perlu kita nafikan lagi. Cukup terseksa dengan ketidakpastian hari esok dan seterusnya.
Dengan kegagalanku memberikan kehidupan yang kau impikan. Dengan risiko dan kerisauan yang membelenggu, bahwa aku akan meninggalkanmu untuk kehidupan yang berbeza – dan apabila itu berlaku, ternyata kau akan ditinggalkan berdiri dan keseorangan.
“Aku yang selama ini telah bersamamu akan sekarang melupakanmu mungkin sekali takkan mengingatimu kerana telah terhangut oleh ‘keindahan’ kehidupan baru.”
Ternyata kini kau tahu semua itu palsu dan tidak lebih dari buah fikiranmu yang sentiasa sebelumnya membelenggu. Dan sekarang aku percaya fikiran itu sudah tiada dan telah digantikan dengan bentuk buah fikiran yang lebih tenang tentang penerimaan.
Aku cuma mahu kau paham yang aku kini mengerti. Mengerti akan jiwa dan pengharapan kau terhadapku. Mengerti bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan.
Hanya dengan keikhlasan terhadap diri sendiri lah, seseorang boleh mengubah segala macam keadaan kepada lebih baik.
Ampunkanlah dan lupakanlah. Kita berdua masih tetap saling menyayangi, aku percaya itu pun sudah cukup untuk aku memulakan hidup baru tanpa unsur unsur yang kita rasakan tidak perlu until menjamin kelangsungan rumah tangga kita paling tidakpun dalam barkahNya.
Aku percaya. Pengajaran ini adalah perlu bagi kau untuk lihat betapa aku juga memilih kau. Selepas bertahun tahun kita bersama. Ya. Aku kini sedar siapalah aku tanpa kehadiran kau yang mengertikan warna dan makna pada setiap dan segalanya.
Pulanglah, berikan aku kesempatan terakhir untuk membuktikan bahawa aku kini lebih ikhlas dengan diri sendiri dan dengan kita.
Aku turut mengerti kalaupun keadaan tidak akan sama seperti sebelumnya, dan aku bersedia untuk terus mencurah usaha dalam perhubungan kita – lebih dari sebelumnya.
Ingatkah, aku pernah jadi lelaki yang cuba memenangi hatimu dulu? Aku terima itu kini bertukar menjadi tugasku untuk seluruh hidupku selepas ini.
Aku percaya dgn pengajaran dan kesedaran ini, kita akan boleh melihat lebih jelas kehadapan dan tujuan keberadaan yang bersifat sementara.
Berikanlah ruang dan peluang untuk aku terus berbakti dan memelukmu sambil aku usahakan kehidupan kita yang lebih bermakna. Kerana aku juga tahu kau masih begitu. Aku juga masih begini.
Masih akan terus mengangkatmu, kalaupun bukan lebih tinggi, kali ini tentunya lebih ikhlas. Aku percaya dengan episod ini, tentunya akan merubah kehidupan kita ke arah yang lebih diberkati.
Aku memohon agar tidak kita terus mengakhiri sesuatu yang sedang membesar ke arah lebih matang dengan menamatkan terus nadi hidupnya. Terkadang, keadaan sebegini adalah perlu bagi kita berkembang dan keluar dari kepompong lama.
Aku percaya kau masih percaya.
Bahawa apabila bersama, kita menjadi versi terbaik diri kita. Kalaupun tidak, itulah tujuan kita bersama sebelumnya, dan insyaAllah onwards.
You are always in my prayers.
Yang ikhlas,
– Tengku Tun (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Kalau coretan macam ni bagus hantar direct kepada individu terlibat. Tidak perlu hantar ke page iiumc ke. Apa point penulisan ni pun saya tidak dapat tangkap….