Nama aku Kotak. Aku belum berkahwin dan kini sedang melanjutkan pelajaran di luar negara, dalam usia 30-an.
Hari ini, aku ingin bercerita tentang seorang insan yang menjadi nadi hidup aku — ayah.
Ayah bukan orang yang berpelajaran tinggi. Tamat darjah enam sahaja. Namun dia berjaya sekolahkan kami adik beradik ke peringkat tinggi.
Pada aku, dia adalah guru kehidupan sebenar. Dialah pelindung dunia aku, dan juga perancang akhiratku.
Dulu, aku selalu tak faham kenapa ayah sangat berkira soal duit. Waktu aku belajar Ijazah Sarjana Muda di universiti aku dapat biasiswa JPA, jadi ayah jarang beri duit saku.
Kalau ada pun, cuma RM30 untuk satu semester — itu pun selepas aku minta. Kata ayah, “Duit biasiswa kan dah ada, belanja elok-elok.”
Masa tu, aku sedikit memberontak dalam diam. Kawan-kawan lain walaupun dapat biasiswa, tetap dapat kiriman dari ibu bapa mereka.
Tapi aku tak nampak, bahawa itulah cara ayah menunjukkan kasih — bukan dengan kemewahan, tapi dengan pengajaran hidup yang mahal nilainya.
Ayah sangat tegas tentang hutang. “Belanja ikut kemampuan. Jangan hidup atas beban orang,” pesan dia.
Aku pernah pinjam duit kawan untuk beli buku masa sekolah menengah. Pagi tu aku telefon ayah dari telefon awam, petangnya terus ayah bank in duit suruh aku bayar balik. Dia tak pernah benarkan aku berhutang lama-lama.
Kini aku sedar, itu bukan soal duit semata, tapi maruah dan disiplin hidup.
Musim haji ni, aku terkenang momen yang sangat besar dalam hidup aku. Sejak aku kecil, ayah sudah daftarkan akaun Tabung Haji atas nama aku. Katanya, “Kalau ayah tak sempat tengok kau masuk universiti, guna duit ni.”
Alhamdulillah, ayah sempat lihat aku menggenggam skrol ijazah. Harapnya Ayah juga sempat melihat aku mengemgam skroll buat kali keempat ini. Aamin
Bukan itu saja. Ayah juga daftarkan nama aku untuk menunaikan haji sejak aku masih kecil. Waktu tu aku tak faham apa-apa.
Tahun 2022, aku dapat tawaran haji — satu anugerah besar. Tapi masa tu aku masih belajar di luar negara. Kalau aku pergi, simpanan aku akan habis. Aku telefon ayah dan beritahu yang aku mungkin perlu tolak tawaran itu.
Ayah tak tunggu lama untuk membuat keputusan. “Ayah bayar semua. Kau pergi,” katanya tenang.
Ayah pernah menunaikan haji semasa muda, dan sejak itu dia selalu pesan — “Pergi haji masa muda, badan kuat, semangat masih membara.”
Dengan restu ayah, aku balik ke Malaysia dalam masa tujuh hari, urus semua keperluan, dan akhirnya… aku jejakkan kaki ke Tanah Suci.
Alhamdulillah, aku dapat sempurnakan ibadah itu dengan tenang. Doakan hajiku mabrur. Banyak pengajaran dan prinsip hidup aku berubah setelah aku menunaikan haji. Sungguh benar kata2 ayah aku.
Ramai kagum bila tahu aku dapat tunaikan haji di usia muda. Tapi aku tahu — semua itu berkat perancangan dan kasih seorang ayah. Dia bukan saja rancang masa depan dunia aku, tapi juga jalan aku menuju akhirat.
Ayah ajar aku banyak perkara — berjimat, jangan berhutang, rancang kewangan, jangan terlalu selesa dengan bantuan orang lain.
Makin aku dewasa, makin aku faham: cinta seorang ayah bukan selalu dalam bentuk pelukan atau kata manis. Kadang-kadang cinta itu datang dalam bentuk RM30 dan teguran yang tegas — tapi cukup untuk membentuk siapa aku hari ini.
Semoga Allah pelihara setiap ayah yang berjuang mencari rezeki halal, yang diam-diam merancang masa depan anak-anaknya, bukan saja di dunia… tapi juga di akhirat.
– Kotak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit