Dulu aku memang nakal. Belajar pun main main, langsung tak fikir masa depan. Namun semua berubah apabila aku ditukarkan kelas masa tingkatan 4. Masa itulah aku mula mengenali L.
L ni duduk paling depan. Aku pula duduk paling belakang. Jadi setiap kali L berpusing ke belakang nak borak dengan kawan yang duduk di barisan kedua hadapan, secara automatik muka dia hadap ke arah aku. Masa ni aku auto berdebar-debar.
Kawan-kawan yang memang sekelas dari tingkatan 1 dengan L ni cakap L ni budak pandai. Dia hebat dalam subjek Math dan BI. Aku pun yela yela saja sebab aku kan baru masa tu.
Kawan-kawan selalu cerita pasal L. Bila kami berkumpul, topik L la yang kami akan cerita. Bukan apa, L ni lain dari yang lain.
Kategori L ni, bila dia bersama dengan kawan-kawan perempuan dia, L lebih menyerlah berbanding kawan-kawan dari segi wajah, penampilan dan gaya percakapan.
Maka bermula la episod cinta monyet aku di zaman persekolahan. Yang mana aku saja yang mengejar-ngejar, manakala L buat biasa-biasa saja.
Aku tarik perhatian L. Aku selalu ajak dia berbual walaupun dia acuh tak acuh. Kadang dia senyum saja. Lepas tu diam. Tu yang buat aku cair. Tak macam perempuan lain yang suka menggedik, suara kuat, attention seeker dan sebagainya.
Lama-lama kawan kawan aku dapat tangkap aku menyukai L. Peluang aku sangat nipis memandangkan sepupu aku juga turut menyukai L.
Namun aku perasan, L tidak melayan lelaki sembarang. Dia umpama burung merpati. Jinak tetapi tidak mudah didekati.
Satu hari aku tanya L, kenapa layan aku lain. Kalau lelaki lain, dia buat derk saja kalau kena kacau atau ada yang nak ajak sembang. Tapi dengan aku, kami boleh berbual bual panjang.
L jawab, sebab aku tak pernah ejek nama bapa dia. Memang ya, nama bapa L agak pelik. Dan aku tak pernah jadikan itu modal untuk mendekati L.
Ada satu kali, L tak datang lepas minggu peperiksaan. Dia sakit masa tu. Jadi aku yang wakilkan L untuk ambil kertas subjek M. Markah dia atas 90%. aku mula cuak. Sedangkan markah aku cukup cukup makan saja, asal lulus.
Kemudian, aku tolong ambilkan kertas subjek B. L dapat markah 90% ke atas juga. Masa ni, aku terfikir, kenapa aku tak belajar bersungguh sungguh untuk jadi sekufu dengan L. Umpama aku baru dijentik hidayah untuk berubah bila melihat keputusan kertas peperiksaan L.
Bermula lah saat aku berubah. Aku set goal, atur jadual belajar. Beli buku-buku rujukan dan latihan serta kurangkan masa melepak dengan kawan-kawan. Usaha aku untuk berubah diperasan oleh L.
Dia memberi aku kata-kata semangat. Aku semakin berkobar-kobar. Lebih-lebih lagi tahun ini kami ambil SPM. L banyak membantu dan mengajar. Dia banyak bagi aku tips dan kata-kata semangat. Aku sangat terhutang budi.
Dia selalu ingatkan pasal masa depan. Dia cakap, siapa lagi yang nak ubah masa depan kita melainkan kita sendiri. Memang betul. Abang-abang aku tak ada yang masuk universiti.
Akhirnya keputusan SPM diumumkan. Seperti yang diduga, L cemerlang. Walaupun sekolah kami cuma sekolah kampung, L berjaya harumkan nama sekolah masa tu. Kebanyakan kami cuma anak petani. Pecah rekod juga la masa ni. Keputusan aku? Boleh bolehlah. Namun aku bersyukur.
L kemudian dapat tawaran belajar di UiTM. Manakala aku hanya mampu menyambung ke tingkatan 6. Ketika itu aku menanggung rasa rindu yang menggunung.
Tahun 2005 adalah tahun perpisahan kami. Sejak tahun ini lah, L tidak pernah lagi kembali ke kampung halaman. Aku tidak mendengar berita dari dia lagi.
Kami terputus hubungan. Kerana masing masing ada sesuatu yang hendak dikejar iaitu masa depan. Walaupun sudah 20 tahun berlalu, namun kenangan itu masih subur menghangatkan hati ini.
Pada masa ini aku telah berumah tangga. Aku sayangkan rumah tangga aku. Aku sayangkan anak-anak aku.
Kalau ditanya pasal move on, ya aku suda lama move on. Cuma kadang-kadang bila aku terdengar lagu dulu-dulu seperti May, Handy Black, Crossfire, secara tiba-tiba kenangan mengusik jiwa. Biarlah. Zaman yang penuh dengan keindahan zaman remaja. Biarlah ia terus berlalu.
Cuma satu, aku tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada L kerana menyedarkan aku dari lamunan. Dia bukan hanya sekadar cinta. Dia membawa cahaya bersama untuk menerangi hidupku.
L, terima kasih kerana sering mengingatkan aku tentang pentingnya pendidikan untuk mengubah masa depan.
Aku kini lebih berjaya berbanding kawan-kawan sekelas yang dulu. Aku boleh berbangga kerana aku adalah anak pertama yang dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Terima kasih. Semoga kau bahagia.
– Mr. A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit