Part I, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-1-rumah-pusaka/)
Part II, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-2-rumah-sewa-angker/)
Aku dilahirkan dalam keluarga yang taat beribadah. Di rumah, ibu dan ayah menjadi contoh kepada kami anak-anak. Tak boleh dengar lagu lagho. Kena rajin membaca Al-Qur’an dan membaca buku. Ada ta’lim oleh ayah selepas Maghrib.
Sejak berumur 13 tahun, aku hidup dengan menjaga wudhu’ dan membaca buku tafsir Al-Qur’an yang bersusun di atas rak. Dari tingkatan 1 hingga 4, aku berulang-alik ke sekolah. Masa ini gangguan teruk langsung tak ada, setakat nampak kelibat itu aku sudah lali. Jadual harian aku, aku akan terjaga pada pukul 3 pagi.
Seingat aku, kalau aku terlajak tidur akan ada suara seorang lelaki mengejutkan aku, “AS, bangun!”. Dan ketika itu aku tidak tahu suara siapakah gerangannya dia, aku hanya cakap “Alhamdulillah”. Kalau ‘uzur syar’ie’ pula, aku masih bangun macam biasa, cuma solat sunat aku gantikan dengan zikir.
Seawal pagi aku bangun beribadah dan mengulangkaji pelajaran. Dari darjah 1 hingga Tingkatan 5, aku berada dalam kalangan pelajar ‘Top 3’ dan turut memegang tampuk kepimpinan pelajar.
Aku jadi semakin berani. Kalau ada kerasukan di sekolah, nama aku akan dipanggil untuk bantu Ustaz/Ustazah merawat pelajar yang dirasuk. Aku turut ada pengalaman pulihkan orang lelaki dewasa dan wanita dewasa yang dirasuk.
Ada suatu ketika, aku menemani Ustazah untuk membawa seorang pelajar ke rumah Perawat Alternatif. Sebelum balik, perawat berkata perlahan kepada aku;
“Anak, dengan kamu ada yang menemani, orang dari alam sana. Lama dah dia dengan kamu sejak kamu kecil. Bukan saka. Dia suka kamu kuat amalan, sebab dia juga seorang yang soleh. Kamu sedar ke tak selama ini? Benar dia tidak membahayakan kamu tapi jangan lama-lama ya nak, lambat-laun kena juga datang berubat”.
Jantung aku tiba-tiba berdebar kuat seakan mahu meletup, antara percaya atau tidak. Sebaik pulang, aku termenung. “Apa betul perawat kata? Kenapa aku rasa biasa je? Aku tutup aurat, solat sunat tak tinggal, sentiasa berwudhuk, TAKKANLAH jin boleh duduk dengan aku? Dari mana dia datang? Atuk nenek aku orang agama, ibu ayah aku orang warak. Takkanlah…”.
Itulah persoalan bertubi-tubi yang timbul dalam fikiran aku. Aku lupa, kalau Allah nak uji kita ni bila-bila masa saja. Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun diuji, padahal Baginda adalah sebaik-baik manusia.
Pesanan perawat aku buat tidak endah kerana aku fokus kepada SPM yang makin menghampiri. Semasa di tingkatan 5, aku masuk ke asrama untuk tumpukan perhatian pada pelajaran.
Sekolah aku pada masa itu berada di kawasan yang agak pedalaman, bersebelahan dengan ladang kelapa sawit. Tempat mandi dan tandas jauh di belakang asrama. Surau? Laaaagi jauh nun di hujung pagar belakang asrama. “Macamana lah aku pagi nanti? Tandas pun jauh. Ada ke kawan-kawan dorm yang nak bangun teman aku ke surau?”, aku terfikir ketika itu.
Jam 3 pagi pun tiba. Aku cuba kejutkan kawan-kawan di dorm, tapi tiada seorang pun yang terjaga. Aku pun buat-buat berani, pergi ke belakang seorang diri. Mandi, berwudhu, pakai baju kurung sekolah dan ke surau.
Hari pertama tahajjud di surau, Aku dah dapat salam perkenalan. Masa aku angkat takbir, suasana terasa sangat sunyi kerana aku memang berseorangan. Tapi bila aku sujud, aku terdengar bunyi banyak lutut berlaga dengan lantai kayu di belakang aku, terasa bergegar surau.
Semasa rakaat kedua, aku segera tukar niat kepada niat imamah. Kedengaran suara-suara halus membaca Al-Fatihah. Berdebar dan takut memang ada, tetapi aku rasa bertanggungjawab untuk tetap kekal mengimamkan ‘mereka’.
Selesai memberi salam, aku pandang belakang. Kosong. Suasana sunyi seperti sebelumnya. Itulah pengalaman pertama aku berjemaah dengan selain manusia dalam hayat aku selama ini.
Beberapa minggu selepas itu, aku perasan ada seekor pontianak akan muncul di sebelah apabila mengambil wudhu’ di awal pagi. Ia hanya berdiri, memerhati satu-satu, macam tertarik sangat apa yang aku tengah lakukan. Ia tak kacau, bau pun wangi. Muka akak-akak.
Kadang-kadang ada juga aku tegur dia, “Kau janganla kacau aku. Jangan buat aku terkejut. Paling penting, jangan buat muka buruk. Tengok saja takpe. Kau Islam tak? Kau tengok aku wudhu’, mudah-mudahan nanti kau masuk Islam. Sebab kau aku mandi dengan baju kurung tau”. Berminggu juga aku hadap jembalang yang satu ni.
Satu hari, aku dipanggil oleh Warden Aspuri. “AS, mulai hari ni saya arahkan kamu dilarang ke belakang asrama seorang diri. Saya perhati je dari tingkap bilik saya, ada makhluk rambut panjang di sebelah kamu masa kamu mandi. Kamu tahu tak, makhluk tu memang selalu berkeliaran selongkar tong sampah di kawasan tandas.
Pelajar lain lari lintang-pukang kalau jumpa. Yang kamu ni, berkawan dengan dia pulak! Saya pegang amanah ayah kamu, untuk jaga kamu sebaiknya di asrama ni.” Tanpa aku tahu, rupa-rupanya ayah ada bercerita serba-sedikit pasal aku kepada beliau. Sudah, warden dah bagi amaran.
Aku akur dengan arahan dan mula solat malam di bilik. Ambil wudhu pun di paip yang ada di depan asrama saja. Hari pertama solat tahajjud di bilik, aku kena kacau. Ada seekor makhluk yang kerap muncul semasa solat. Tanda kehadirannya, sekitar tempat solat aku berbau wangi macam kau tabur bedak Enchanteur kat atas lantai.
Kalau anda nak Google rupa makhluk tu, boleh search ‘patung khas Bali’, mukanya berwarna hijau dengan kulit yang menggelupas, lidahnya terjelir. Kadangkala ia intai dari bawah katil, adakala ia muncul secara tiba-tiba di tepi aku yang sedang sujud.
Jadi kadang tu sujud aku sangat lama, sebab takut nak angkat kepala. Susah betul nak khusyuk kalau ia ada. Dekat 2 minggu aku hadap benda ni, takut memang takut tapi kerana rutin Tahajjud yang aku amal sejak sekian lama, aku rasa rugi kalau aku tinggal.
Siang hari semasa belajar, aku mula nampak makhluk-makhluk yang berkeliaran. Yang tak bestnya, ‘mereka’ suka kelirukan aku dengan menyamar jadi kawan-kawan. Orang nampak aku cakap sorang-sorang, padahal aku sedang bercakap dengan jelmaan ‘junior’ form 3. Ada yang duduk tepi aku yang tengah belajar, main kepala dan cuit kaki. Ada yang ‘teman’ jemur kain.
Jelas di mata aku, ada budak aspuri sedang jemur kain bersama-sama aku pada jam 10 malam, tapi lama-lama aku lihat dia hilang dengan sendirinya. Aku lari tak cukup tanah tau.
Esoknya demam, aku dimasukkan pula ke bilik sakit. Sepanjang aku berehat di atas katil, ada kepala-kepala hitam jenguk aku dari tingkap nako. Rasa takut dan panik makin lama makin membiak di dalam hati, ditambah dengan risaukan peperiksaan yang bakal menjelma. Aku mula rasa tidak stabil dan tertekan. Rasa nak asingkan diri, tak nak dah jadi imamah pelajar di surau.
Malam-malam tak dapat tidur sebab kena tindih. Selalu demam. Tasbih kayu kokka dari Mekkah hadiah ayah yang aku sayang sangat, hilang tiba-tiba. Tadi elok aje ada atas sejadah. Itu tasbih yang aku guna dari umur 13 tahun. Berbulan aku bertahan kena ganggu. Mengaji sekejap je terus tertidur. Ini tak boleh jadi.
Pada suatu malam, aku rasa marah yang membuak-buak. Aku bangun jam 3 pagi, pergi belakang asrama untuk berwudhu. Aku melangkah ke surau. APA NAK JADI, JADILAH.
Selesai solat, aku menangis, “Kenapa aku jadi takut macam ni?? Ya Allah, hamba sedih. Dada hamba pedih sebab sentiasa terkejut dan ketakutan. Hamba rasa lemah. Badan hamba sakit-sakit. Biasanya hamba dapat lawan tapi kali ini bertubi-tubi mereka kacau hamba. Hamba redha diuji. Tapi hamba merayu kekuatan dan bantuan Mu untuk terus kuat jadi hamba yang selalu solehah..”.
Aku menangis semahu-mahunya di surau. Sebak, semua rasa berat aku lepaskan semuanya waktu itu. Teresak-esak sampai tertidur. Dan aku bermimpi dia. Dia seorang pemuda berwajah bersih, memujuk aku untuk terus kuat;
“Saya sentiasa bersama AS, AS saja yang tidak tahu. Lepas ni kalau kena kacau, AS baca Al-Baqarah ayat 1-5 hembus pada mereka. Kalau tak jadi juga, saya akan cuba bantu apa yang boleh”.
Selepas itu aku terjaga. Aku menggigil kesejukan. Rasa sejuk hingga ke tulang, sejuk yang aneh. Aku balik ke dorm dengan perasaan yang tenang.
Apa yang aku perasan, selepas itu gangguan yang aku alami semasa di sekolah makin berkurangan. Aku juga dah tak takut solat seorang diri di surau sebab setiap kali aku solat malam, aku dapat lihat ada samar-samar sosok seorang lelaki berserban hijau berdiri di hujung surau seolah-olah menemani aku. Semuanya berjalan lancar sehinggalah aku berjaya menamatkan persekolahan dengan cemerlang, Alhamdulillah.
Semasa berumur 18 tahun, aku menghafal Al-Qur’an di sebuah pusat tahfiz. Seingat aku, makhluk yang berkeliaran di kawasan Tahfiz pada masa itu rata-ratanya jin Islam.
Aku tak kena kacau teruk sangat masa belajar di sana, setakat sorok barang tu adalah. Sekejap handphone ada atas meja, sekejap ada di bawah bantal. Ada ketika kunci bilik di atas bantal, bila nak ambil tengok elok je ada atas almari. Kadang-kadang aku marah, “Bagi balik barang aku!” Tak lama lepas tu akan jumpa balik.
Tapi kawan-kawan aku yang ada masalah saka dan gangguan, biasanya sangat susah menghafal. Mereka rasa berat, kerap tertidur atau meracau. Ada yang terpaksa dihantar balik ke rumah supaya mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum kembali semula ke pusat Tahfiz.
Semoga Allah beri kekuatan dan kemudahan kepada anak-anak Tahfiz yang sedang berusaha menhafal Al-Qur’an, aamiin.
Ingatlah sifir ini, semakin kita dekat dengan Allah, semakin kuat ujian yang akan tiba. Hamba yang Allah sayang, tandanya dia banyak terima ujian. Wallahua’lam.
– AS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit