Saya Suriya, berusia 42 tahun, bekerja sendiri. Telah bercerai dengan bekas suami hampir 5 tahun dan anak-anak (4 orang) di bawah jagaan bekas suami.
Tapi malangnya, selepas bekas suami berkahwin lain, dia telah mengabaikan anak-anak termasuk nafkah anak.
Untuk makluman, bekas suami saya berjawatan tinggi di salah sebuah IPTA. Untuk makluman juga, dari zaman anak-anak kecil lagi, bekas suami seorang yang sangat berkira bab duit dengan isteri dan anak-anak.
Saya terpaksa memikirkan perbelanjaan anak-anak — buku sekolah, pakaian sekolah, van sekolah, baju raya, barang dapur — dan mencari pendapatan sendiri.
Pada mulanya, saya niat untuk membantu meringankan beban suami, tapi tak sangka memang itulah yang dia nak dari saya.
Dari susu anak, pampers, insurans anak-anak, saya yang terpaksa tanggung kebanyakannya sebab dia sentiasa bagi alasan duit tak cukup.
Dan sekarang dia sudah mendapat hak hadanah, tapi yang peritnya segala masalah anak atau kepayahan anak-anak masih diletak di bahu saya.
Jika anak meminta dari dia, dia hanya mendiamkan diri dan anak-anak akan cari saya. Sebagai ibu, saya tak sanggup nak tengok anak saya susah, tak makan… saya akan bantu, dan dia telah mengambil kesempatan atas keprihatinan saya pada anak-anak.
Dan sekarang, anak saya yang sulung sudah 21 tahun dan yang kedua 17 tahun (SPM 2025), ketiga berumur 11 tahun dan yang terakhir berumur 9 tahun.
Pada bulan lepas, dia telah menghantar WhatsApp kepada anak sulung saya untuk keluar rumah dan mencari bilik sewa dengan alasan sudah umur 21 tahun dan bukan bawah tanggungjawab dia lagi. Saya agak terkejut bila anak menghantar *screenshot* tu… saya masih bersabar.
Baru-baru ni, sehari sebelum sesi baru persekolahan bermula, anak kedua saya telah membuat video call sambil menangis-nangis katanya bergaduh dengan bapa dan bapa telah menghalau dia keluar dari rumah itu.
Punca pergaduhan adalah anak saya minta bapanya belikan kasut sekolah sebab kasut sekolah lama sudah rosak. Tapi si bapa enggan membeli dan berlaku pertengkaran sehingga dia sanggup menghalau anak perempuannya dari rumah dengan panggilan kesat pada si anak.
Saya telah ke sana dan mengambil anak dan pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis berkenaan anak dihalau dan saya mengambil anak dari penjagaan bapanya
Ketika saya mengajak anak untuk ke rumah bapanya untuk mengambil baju-bajunya, alangkah terkejutnya bila semua baju anak-anak perempuan saya itu sudah diletak dalam kotak di luar rumah.
Saya ada ke sekolah anak-anak saya berjumpa guru kelas. Saya dimaklumkan sebiji buku pun bapanya tidak beli untuk naik Tingkatan 5 dan tidak membayar yuran PIBG anak.
Allahuakbar… bukan setakat tidak mahu membeli kasut sekolah, baju sekolah, buku-buku dan peralatan sekolah juga tidak dibeli. Sedih rasa hati.
Dan sekarang, anak perempuan saya sudah berpindah sekolah dan selama sebulan dia tidak tinggal bersama bapanya. Sepuluh sen duit makan pun bapanya tidak kirim untuk dia.
Dan sekarang, rumah yang dia diami bersama anak-anak yang lain telah dijual dan dia akan berpindah ke daerah lain.
Seperti yang diarahkan sebelum ini, tiba masanya anak sulung saya keluar menyewa bilik kerana katanya anak sulung saya sudah tidak di bawah tanggungjawab dia.
Manakala anak-anak saya yang kecil dua orang yang masih bersama bapa mereka merengek-rengek minta supaya saya mengambil mereka kerana katanya bapanya selalu marah-marah dan mengeluarkan perkataan tidak enak pada mereka berdua.
Tambahan kakak dan abang sudah tiada bersama mereka, mereka mendesak supaya saya mengambil mereka dan tidak mahu lagi tinggal bersama si bapa.
Buat pengetahuan semua, *access* yang boleh menghubungkan saya dengan anak-anak kecil saya itu semua disekat.
Saya memohon untuk meminta pandangan dan nasihat apa yang patut saya buat / tindakan yang boleh saya buat terhadap si bapa.
Semoga tuan-tuan, puan-puan dapat membantu saya dari segi nasihat dan pandangan. Sekian, terima kasih.
– Suriya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
sedihnya hati ni baca kisah sis ni, sy doakan smoga sis dan anak anak dipermudahkan segala urusan, kuat dan sabar dalam liku kehidupan.
Sy nasihatkan sis cuba tanya orang yang arif macam peguam/ustaz dll yg arif untuk selesaikan kes ni. Harapnya secepatnya. Semoga sis juga dimewahkan rezeki untuk berjuang demi anak-anak. Sy bimbang makin lama makin teruk mental anak2 yg masih bersama bapanya.
Semoga kuat selalu anak2 yg mengalami nasib seperti anak sis.