Tidak Semua Keluarga itu Keluarga, Tidak Semua Titik itu Kukuh

Kita yang lahir dari keluarga yang tidak sempurna mak dan ayah bercerai, kemudian masing-masing berkahwin lain memikul beban emosi yang tidak semua orang faham.

Dari kecil, kita belajar menyesuaikan diri dengan situasi yang kita sendiri tidak minta. Dan apabila membesar, kita mula menyedari satu perkara penting: **kita tidak semestinya perlu berbaik dengan keluarga yang “nombor dua”.**

**Kenapa?**

Kerana yang tiri tetaplah tiri. Yang tidak melahirkan kita, tidak akan pernah benar-benar faham luka yang kita simpan.

Ya, ada yang nampak baik, pada awalnya semuanya kelihatan mesra dan harmoni. Tetapi seiring masa berlalu, sifat-sifat manusia seperti **iri hati, cemburu, dan dendam lama** mula menampakkan wajah sebenar.

Bila ada masalah, akan ada yang mula menyalahkan anak-anak. Mula mengungkit kisah lama.

Ada yang sanggup memburukkan bekas isteri atau suami mereka di depan anak-anak, tanpa peduli perasaan kita yang terpaksa hadap semua ini.

Selalunya, yang paling menonjol dalam hal ini adalah **isteri kedua** yang merasakan kehadirannya harus diterima tanpa syarat, sedangkan dia datang dalam hidup anak-anak saat luka masih berdarah.

Dalam banyak kes, anak-anak yang terpinggir ini terpaksa menelan segala kata nista, hidup dalam bayang-bayang keluarga baru ayah atau ibu mereka.

Ada ayah yang kejam, sanggup tinggalkan isteri tanpa nafkah, tanpa talak. Gantung tak bertali. Dan anak-anak dibiarkan menyusun sendiri cebisan hidup yang berselerak.

**Jadi apa poinnya?**

Poinnya ialah: **kita tidak wajib berbaik hanya kerana mereka “keluarga” di atas kertas.**

Keluarga sebenar bukan pada gelaran, tapi pada keikhlasan, pada kasih yang tidak bersyarat. Kita berhak menjaga jarak demi kesihatan mental dan emosi kita sendiri.

Kerana **tidak semua yang dinamakan titi itu kukuh untuk dilalui.**

Kadang-kadang, lebih baik kita bina jambatan sendiri daripada memaksa diri melangkah di atas titi yang rapuh yang hanya menunggu masa untuk runtuh.

– Murni (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *