Lately viral satu drama yang ditayangkan di Astro Ria tajuk ‘Dia Bukan Syurga’ lakonan Ezzanie Jasny sebagai Nuha dan Niezam Zaidi sebagai Tajul.
Drama ni mengisahkan seorang isteri bernama Nuha, yang terperangkap dalam perkahwinan toksik. Setiap hari tapi hidupnya tertekan dengan sikap panas baran dan cemburu buta suaminya, Tajul. Tajul bukan saja mengongkong, tapi juga melakukan kekasaran fizikal dan emosi terhadap Nuha.
Sejujurnya aku tak tengok penuh pon drama ni, cuma tengok scene pendek-pendek je. Dan aku tak sarankan orang yang ada darah tinggi untuk tengok. Tapi kalau korang nak tengok juga, at your own risk.
Tapi hari ni, aku bukanlah nak cerita pasal drama tu. Aku nak kongsi kisah adik perempuan aku yang hampir senasib dengan Nuha.
Persamaan adik aku dan Nuha ialah dua-dua anak bongsu. Cuma Nuha ada 3 orang abang yang boleh belasah Tajul, adik aku pulak ada 2 kakak yang mulut petir, iaitu aku sebagai kaklong dan angah.
Aku namakan adik aku Lina (bukan nama sebenar) dan bekas tunang dia Adam (bukan nama sebenar).
Cerita ni mula waktu adik aku Lina tiba-tiba decide nak putus tunang padahal majlis lagi 2 minggu. Lina bagitahu dalam video call. Aku dan angah terkejut beruk masa tu. Dah kenapa tiba-tiba nak putus tunang?
Rupa-rupanya Lina dan Adam bergaduh. Punca pergaduhan ialah Adam nak pinjam duit Lina. Lina tak nak bagi.
Lina tak nak bagi sebab dia sendiri pun berjimat-jimat untuk persiapan majlis kahwin. Sedangkan si Adam pula baru je lepas modified kereta. Lepastu tak cukup duit, nak pinjam duit Lina pulak. Di situlah tercetusnya pertengkaran antara mereka dan Adam pun menunjukkan perangai sebenar dia.
Lagi 2 minggu nak kahwin, baru Lina tahu yang Adam ni baran and kasar. Adam belum sampai tahap pukul lagi, tapi dia hina, dia carut, dia caci maki adik aku, siap hina ibu kami.
Ada ayat dia, “takkan nak kaki dengan tangan aku naik dulu baru nak faham kot?”. Ayat ni bahaya ya. So dia ada potensi nak naik tangan.
Adam siap ugut Lina, “Lepas kahwin, tahu la aku nak didik kau macam mana”. Sebijik macam ayat si Tajul, gunakan perkataan ‘didik’ sebagai lesen untuk berkasar dengan isteri.
Cuma adik aku Lina tak bebal macam Nuha. Nuha dah nampak segala red flag Tajul sebelum kahwin, tapi masih nak teruskan perkahwinan sebab cinta. Lina pulak, kumpulkan segala bukti, screenshot, voice note, dan tunjukkan pada Ibu dan ayah kami.
Waktu ibu ayah tahu, hancur hati diorang. Ayah aku sampai shaking. Waktu Lina decide nak putus tunang, si Adam tu dengan muka tak tahu malu, nak minta ganti rugi double. Ibu ayah aku cakap diorang lagi sanggup bayar double dari biarkan Lina kahwin dengan Adam.
Aku dan angah tahu pasal ni dalam video call je mula-mula. Time ni segala carutan dan binatang keluar dari mulut angah.
Kalau korang tengok dalam drama tu si angah abang Nuha tu marah gila ke Tajul, macam tu la jugak angah kami. Agaknya memang betul la orang cakap anak no. 2 ni garang lain macam.
Aku cakap ke Lina, buat report polis. Bukti ugutan semua dah ada. Sebab tak da jaminan Lina akan selamat lepas putus tunang ni. Kalau tiba-tiba si Adam tu serang dia macam mana?
Lina cakap, tak nak report dulu, nak tunggu dulu. Sebab Ibu ayah aku nak jumpa keluarga Adam. Nak berbincang soal putus tunang. Waktu pertemuan ni, ibu aku tak bagitahu pun aku dan angah. Agaknya ibu takut kalau aku dan angah ada, memang jadi gempa bumi lah rumah kitorang.
One thing yang bagus tentang keluarga Adam, mak dia sangat baik. Diorang datang ke rumah kami dengan cara baik untuk berbincang. Ayah aku dah tak boleh tengok muka Adam. So dia wakilkan bilal surau untuk pertemuan tu. Perbincangan tu terjadi dengan baik.
Mak si Adam minta maaf atas kesilapan yang Adam buat. The best part, mak dia setuju putus tunang, tanpa minta sebarang ganti rugi. Dan disebabkan itu, ibu aku decide untuk cancel buat report polis. Tak sampai hati sebab mak dia memang baik. Akhirnya adik aku rasmi putus tunang.
Lama juga Lina ambil masa nak move on. Iyelah dah sayang kan. Dah nak kahwin dah pon. Kesian aku tengok adik aku. Bersedih je.
And kalau korang nak tahu, lepas putus tunang, si Adam tu kadang-kadang masih kacau Lina. Kadang tu macam nak pujuk. Kadang tu macam nak letakkan salah pada Lina.
Ada satu ayat Adam, “Memang la aku punca, tapi kau pon salah sebab minta putus tunang”. Dah tu? Nak redha je ke dengan baran kau?
Angah dah warning, jangan sesekali terfikir nak berbaik semula dengan Adam. Kami sekeluarga memang dah tak boleh terima dia.
Lina kata, dia dan Adam memang dah tak da harapan untuk berbaik semula pun. Sebab ini dah melibatkan betrayal. Adam dah betray kepercayaan Ibu dan Ayah kami. Tak mungkin Lina akan kahwin dengan orang yang dah betray Ibu ayah.
Now perkara tu dah berlalu 4 tahun. Lina sekarang pon dah kawin dengan orang lain. Yang lagi baik, soft-spoken, dan lagi hensem dari tunang dia dulu. Memang betul lah, Allah hilangkan sesuatu, mungkin sebab Dia nak ganti yang lebih baik.
Kalaulah adik aku dulu diam je, tak bagitahu kami tentang Adam dan teruskan perkahwinan, agaknya adik aku pun akan senasib dengan Nuha. Alhamdulillah Lina buat keputusan tepat sebelum semuanya terlambat.
So please adik-adik diluar sana, sayang diri sendiri dulu. Aku faham korang sayang pasangan korang. Tapi kalau pasangan tu sampai boleh bahayakan nyawa, mohon lari jauh-jauh. Jangan teruskan. Jangan takut kehilangan. Ada satu doa yang nabi kita ajar,
“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya”
Percayalah… kehilangan sesuatu kadang-kadang adalah cara Allah menyelamatkan kita. Semoga adik-adik yang membaca confession diberi kekuatan untuk lepaskan apa yang tak lagi membawa tenang. Sayangi diri dulu okey :)
– Kak Long (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit