Ketagihan 18 Tahun

Assalamualaikum. Aku Spongy (bukan nama sebenar). Berumur 32 tahun. Aku ada ketagihan on*n* dan p*rn selama 18 tahun. Namun masuk tahun ni, dah hampir 2 tahun aku dapat hentikan ketagihan tu.

Aku harap penulisan aku dapat bantu yang mengalami masalah yang sama, tiada budget dan susah nak dapatkan bantuan dari orang luar.

Aku antara pembaca yang selalu tertarik dengan topik2 untuk hentikan ketagihan ni tapi sentiasa gagal. Namun ada beberapa tips yang aku ambil dan cuba lakukan secara konsisten sampai aku dapat berhenti dengan sendiri.

Aku terpaksa berjihad dengan diri aku sendiri, tanpa bantuan orang sekeliling aku dan tanpa pergi jumpa pakar sebab tak mampu. Aku hanya yakin Allah cinta orang yang sentiasa bertaubat.

Selama 18 tahun ni, macam2 cara aku cuba untuk hentikan tapi tak pernah berhasil. Sampai ada tahap aku cederakan diri aku sendiri sebagai bentuk hukuman untuk diri aku, setiap kali aku buat dosa tu.

Tahap teruk aku, selama 18 tahun, hampir setiap hari aku akan luangkan paling kurang 1,2 jam menonton dan buat.

Untuk korang yang betul2 nak bertaubat, cara yang aku lakukan ni bukan ambil masa sebulan dua ya, tapi hampir 5 tahun aku sentiasa amalkan sedikit2 sampai aku henti sepenuhnya.

1. Setiap kali aku buat, aku akan terus mandi wajib dan solat taubat. Biarlah ada terlintas difikiran, aku ni munafik, aku solat taubat jugak. Kadang-kadang rasa aku mainkan taubat aku, tapi aku wajibkan aku akan solat taubat lepas buat dosa tu.

Kalau waktu tu aku sedang haid, aku wajibkan, lepas buat, ambil wudu dan istighfar 70, 100, 300, 1000… nilai ni sentiasa bertambah selama 3 tahun ni.

2. Aku slowly kurangkan drama atau movie cinta.. then up ke movie barat (sebab mostly mesti ada adegan yang trigger aku).. then up ke anime (ni lambat sikit aku stop, aku hanya skip part yg ada scene tu).. then even cartoon disney aku stop.

Sekarang, cerita yang aku tengok hanya, upin ipin, boboyboi, spongebob, cartoon yang aku yakin tiada scene ke arah benda tu. Akhirnya, sampai sekarang aku hanya ulang kartun yang sama je.

3. Stop dengar musik. Aku slowly stop dengar lagu cinta, depress, even lagu cinta ke arah islamik pun aku tak boleh. Tiap kali aku nak dengar lagu je, aku akan terus on surah.

Tapi kadang tu tak boleh elak bila naik kereta dengan kawan dan keluarga, or video2 di media sosial. So yang ni yang paling lambat aku dapat stop. Aku akan selalu cuba paksa diri aku baca Quran atau dengar surah sama dengan berapa lagu atau berapa jam aku dengar musik.

And malam, waktu tidur aku akan wajib pasang surah sampai aku tertidur. Sekarang aku dah stop terus dengar semua musik. Bila scroll media sosial, aku akan mute sebab sekarang banyak dah ada sarikata.

4. Tiap hari aku set alarm bangun awal paling kurang 30 minit sebelum subuh. Aku paksa dapatkan solat tahajjud, taubat, hajat, fajar. Kalau aku terlepas, aku akan hukum diri aku dengan 12 rakaat solat sunat rawatib tiap waktu fardhu sebagai ganti.

Awal2 aku buat, memang rasa susah sangat. Aku hampir give up sebab aku rasa aku dah tak layak untuk mohon ampun sebab aku mempermainkan taubat aku.

Waktu ni, aku diuji dengan orang memuji aku, sampai aku dipanggil ustazah, solat sunat tak tinggal, kawan office, sedara mara semua jadikan aku contoh..

Siap ada yang minta tips macam mana nak dapatkan minat untuk beribadah sedangkan mereka tak tahu aku sedang jihad dengan nafsu aku sendiri.

5. Puasa. Aku tahu ini antara perkara yang ramai orang sebutkan jika nak berhenti buat dosa ni tambahan pula aku ni belum berkahwin, tak pernah bercinta dengan sesiapa..

Tapi kerja aku selalu visit site, bawah panas terik, memang tak mampu nak puasa selalu. Aku pula tinggal dengan keluarga, mak selalu masak sedap, haha, aku tak tahan nak tengok orang makan setiap hari.

Tapi lepas aku amalkan solat sunat, bangun malam, aku rasa macam tak mudah rasa lapar dan dahaga.

Dia macam badan automatik kurang makan, minum, dan akhirnya aku mudah puasa sunat Isnin, Khamis, ditambah dengan hari putih 3 hari tiap bulan. Jadi puasa ni baru dalam tahun ni aku dapat amalkan secara konsisten.

Ini 5 cara yang aku amalkan. Sampailah 3 tahun lepas aku sedar aku mula berkurang tonton dan buat dosa terkutuk tu yang akhirnya aku dapat berhenti sepenuhnya. Aku tak mulakan semua sekaligus ya. Aku ambil satu satu tips dan tambah sedikit demi sedikit ibadahnya.

Aku betul2 harap korang dapat berhenti juga. Bila korang dah ada niat nak berhenti, cari tips nak berhenti, percayalah yang Allah sebenarnya yang beri rasa tu dan nak beri kita peluang untuk berubah, kembali padanya semula. Sebab Allah cintakan hambanya yang sentiasa bertaubat.

Banyak ujian aku waktu nak berhenti ni, sampai ada anak imam nak masuk meminang. Haha, tapi aku tolak. Banyak kali aku kembali buat dosa tu. Ada masa aku terus stop semua ibadah sebab rasa sangat munafik. Nak cerita sini panjang sangat.

Just aku harap tulisan aku ni beri manfaat untuk yang sedang berjihad seorang diri. Jangan risau, kita tak sendiri, Allah sentiasa ada dengan kita. Doakan aku istiqamah ya dan mati dalam keadaan taubatku diterima. Aamiin.

– Spongy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *