Sebuah cerita yang ada dua kisah di dalamnya…
“We were both young when I first saw you…”
Petang tu hujan lebat. Aku ke rumah sahabatku — sahabat satu sekolah, satu kelas, satu asrama, satu dorm… katil pun sebelah menyebelah. Kampungnya lain, jauh sikit, tapi aku datang juga. Beralasan mahu “study group”, kononnya.
Hakikatnya, kami menyembang. Dari satu topik ke satu topik, tak habis-habis. Buku hanya dibuka untuk cukup syarat. Yang sebenarnya kami kongsi — cerita, gelak tak henti…
Setelah hujan berhenti, aku meminta diri untuk pulang — hari pun dah lewat petang. Aku melangkah ke motor, cuba menghidupkan enjin yang sedikit degil dek basah hujan.
Tiba-tiba, satu sosok tubuh melintas di hadapan. Langkahku terhenti. Mataku terus tertancap padanya. Entah kenapa, dada mula bergetar — rasa aneh, tapi indah.
Dan saat itu… dia pun berpaling. Pandangan kami bertaut. Sekejap saja, tapi cukup untuk buat dunia terasa diam.
Ya… itulah pandangan pertama. Yang menyelinap masuk ke hati, dan sampai hari ini, rasa itu tak pernah padam.
Waktu itu aku baru 16 tahun. Tak pandai bercinta, malah tak tahu beza antara suka, sayang atau cinta sebenar. Tapi mungkin itu fitrah remaja — ada rasa ingin tahu, ingin mencuba.
Perasaan yang hadir waktu mata kami bertaut tu… aku simpan diam-diam. Tak berani luah, cuma belajar merasa. Dan entah macam mana, walau masa terus berjalan… rasa itu tetap tinggal. Tak pernah benar-benar hilang.
Aku mula mengorek cerita dari sahabatku. Kononnya santai, tapi sebenarnya penuh rasa ingin tahu.
“Siapa budak tu? Nama apa? Umur berapa?” tanyaku, sambil buat-buat selak buku.
Sahabatku tersenyum, seolah faham sesuatu. “Ohh, dia tu budak kampung sini. Sekolah lain… tapi baya kita je.”
Setelah puas berbasa-basi dengan sahabatku, akhirnya aku berjaya juga dapatkan nombor telefonnya. Zaman tu belum ada internet macam sekarang — yang ada cuma telefon bimbit biasa, itupun perlu topup dulu baru boleh call atau SMS.
Aku nekad. Entah datang dari mana keberanian tu, aku yang mulakan langkah. Aku yang hantar mesej dulu.
Memori tu dah samar-samar sekarang. Tapi satu yang aku ingat jelas — akulah yang mula hubungkan dua dunia kami. Dengan satu mesej ringkas… yang perlahan-lahan menumbuhkan rasa, hari demi hari.
Kami mula berkawan. Tapi tak pernah ada kata cinta yang terluah antara kami. Semuanya aku simpan — dan hanya sahabatku itu tempat aku meluah.
Hari-hari aku cerita pada teman sebelah katilku, “Aku suka dia… aku sayang dia…” Tapi dia? Dia terlalu “beku”. Susah nak cair, susah nak baca. Balasan mesej pun ringkas, macam tak berperasaan… tapi aku tetap tunggu. Tetap usaha.
Aku duduk di asrama, jadi hanya hujung minggu aku berpeluang hubungi dia. Setiap kali hujung minggu datang, hati aku berdebar — berharap dia akan balas dengan lebih daripada sekadar “ok” atau “hmm”.
Tapi tak mengapa. Walau dia diam, aku tetap rasa… ada sesuatu. Walau sedikit.
Dia tak pernah beri apa-apa rasa. Tak pernah tunjuk tanda. Usaha aku seolah tak berbalas.
Atau mungkin… dia nampak. Tapi sengaja diam. Mungkin dia nak aku terus memulakan, terus mengejar… seolah-olah rasa tu hanya layak datang dari aku.
Aku jadi penat sendiri. Tapi masa tu, aku tak peduli. Asalkan dia tahu aku ada. Asalkan aku masih boleh rasa dekat, walau dari jauh.
Satu hari, aku cuba tukar strategi. Aku letih jadi satu-satunya yang melangkah. Jadi aku cuba buat dia cemburu — aku mula rapat dengan sepupu dia, yang juga BFF dia.
Dalam hati, aku berharap… kalau betul dia ada rasa, mungkin masa tu dia akan bersuara. Mungkin dia akan tunjuk sedikit cemburu. Tapi sebaliknya yang jadi…
Itulah titik mula, aku hilang dari hidup dia. Bukan dia yang tarik aku lebih dekat, tapi aku yang makin dijauh. Dari hari ke hari, dia makin dingin. Makin senyap. Dan aku mula sedar…
Rasa yang aku jaga kemas selama ini, mungkin cuma milik aku seorang.
Pada dia, mungkin aku betul-betul sukakan sepupu dia. Itu yang dia nampak.
Tapi pada aku… aku cuma nak menguji. Nak tengok kalau dia kisah. Kalau dia rasa apa-apa.
Tapi aku silap. Ujian itu bukan buat dia mendekat, tapi menjauh. Aku sendiri yang buka pintu untuk dia pergi… dan dia pergi tanpa toleh.
Dan sejak itu, aku hanya mampu pandang dari jauh — sambil simpan rasa yang tak sempat jadi apa-apa.
Aku kawan dengan sepupu dia cuma sekejap — sebulan, tak ada rasa, tak ada kenangan pun. Hati aku tetap pada dia.
Tapi lepas SPM, datang satu berita yang runtuhkan seluruh dunia aku. Dia couple dengan sahabat aku sendiri. Sahabat yang selama ni jadi tempat aku meluah. Yang tahu setiap inci rasa aku pada dia. Tempat aku curah segala cinta — tanpa selindung.
Waktu tu, aku rasa dikhianati. Bukan saja oleh dia… tapi lebih perit, oleh sahabat yang aku percaya sepenuh hati.
Aku bawa diri jauh. Terima tawaran belajar di negeri lain. Dan dengan berat hati… aku putuskan ikatan persahabatan yang pernah aku anggap kekal abadi.
Sebab kadang-kadang, kehilangan lebih mudah ditanggung… daripada pengkhianatan yang terus menghantui.
Tapi rasa aku pada dia… tak pernah mati.
Biarpun bertahun dah berlalu, biarpun banyak hati lain cuba singgah, tetap dia yang tinggal paling lama — dalam diam, dalam sunyi, dalam ruang hati yang aku tak pernah benar-benar tutup.
Rasa itu masih ada. Kekal di sini. Dalam hati yang dulu pernah berbunga hanya kerana satu pandangan.
Masa terus berlalu. Kami makin dewasa, masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Aku pun dah lama berhenti berharap… sehinggalah aku dengar berita — mereka dah putus.
Entah dari mana datang kekuatan, aku ambil peluang tu. Aku contact dia semula. Dan macam dulu, dia masih begitu… tenang, dingin, susah ditebak.
Kami keluar sama, sembang macam kawan lama, mesej pun berbalas. Tapi tetap… cuma kawan. Sebab masih aku yang beria, aku yang usaha. Dia? Seolah tak pernah berubah.
Tapi dengan dia aku rasa tenang, aku rasa senang, aku bebas bercerita itu ini, aku jadi aku, aku suka pandangan mata dia sebab aku rasa pandangan itu ada cinta.. tapi dia masih dia.. berat mahu meluah, berat mahu memula..
Dan sekali lagi, aku mula tanya diri… sampai bila aku perlu kejar rasa yang cuma aku yang pelihara?
Sakit… memang sakit bila kita terlalu sayang pada orang yang tak reti membalas. Rasa macam bercakap dengan dinding. Semua usaha, semua perhatian, semua perasaan — hanya datang dari aku.
Jadi aku berhenti. Aku letih. Letih mengejar sesuatu yang tak pernah bergerak ke arah aku. Letih berharap dari hati yang tak pernah betul-betul terbuka untuk aku.
~Telah aku terima takdir dari yang Esa~
Dan waktu aku dah pasrah… Tuhan hadirkan seseorang yang lain. Seorang yang memudahkan semua benda. Yang tak tunggu aku buat langkah pertama, tapi dia sendiri datang hulur rasa.
Dia buat aku rasa dihargai. Dengan dia, aku tak perlu pura-pura, tak perlu main teka-teka. Dia tunjuk dengan jelas — dia mahu aku. Dia mahu masa depan dengan aku.
Tanpa aku sedar, dari hanya berbual biasa, kami makin rapat. Dia cakap pasal kahwin, pasal masa depan. Dan berbeza dengan yang dulu, kali ni aku tak perlu susun strategi untuk ‘uji’. Sebab yang ini… dia sendiri yang datang, tanpa perlu aku minta.
Dia mudahkan segalanya — dan dari situlah aku mula yakin… mungkin inilah masa untuk aku pilih bahagia yang nyata.
Aku terima dia dalam hati. Aku izinkan dia masuk dalam hidup aku — seorang lelaki yang datang tepat ketika aku hampir menyerah dengan rasa. Kami bina rumahtangga bersama.
Dari luar, semuanya nampak baik. Dia lelaki yang bertanggungjawab. Bekerja keras, ada niat untuk menjaga. Tapi… 7 tahun perkahwinan, banyak yang aku pendam sendiri, banyak sakit yang aku simpan di hati.. lama-lama menjadi barah dan nanah..
Dia bukan orang yang mudah menunjukkan emosi. Bila aku penat, dia diam. Bila aku menangis, dia tidur. Bila aku minta tolong, kadang aku rasa macam menyusahkan.
Aku cuba sabar, cuba faham. Katanya penat kerja. Tapi aku juga penat — dengan anak-anak, dengan rumahtangga, dengan rasa yang aku tak boleh kongsi dengan dia(sbb dia tak faham)
Setiap pagi, aku kejutkan dia berkali-kali. Kadang sampai anak pun ikut stress tengok ayah susah bangun. Aku kejut untuk solat tp tersangat lah susah untuk di buat..
Dia bukan jahat. Cuma mungkin kami terlalu berbeza. Aku perlukan pasangan, dia mungkin cuma perlukan isteri. Dan itu tak selalu bermaksud benda yang sama.
Ada masa, aku terpaksa pendam banyak benda. Sebab bila aku bersuara, dia rasa aku menyalahkan. Bila aku lambat sikit, dia marah.
Aku pernah pulang lewat sikit dari kerja — bukan kerana suka-suka — tapi dia tetap anggap aku salah. Lama-lama, aku jadi takut. Takut nak bercakap. Takut nak minta ruang. Takut nak jadi diri sendiri.
Bila dia outstation, anak-anak rindu. Tapi dalam diam, aku rasa lebih lega. Tak perlu berjaga-jaga. Tak perlu berpura-pura tenang. Aku boleh tarik nafas tanpa rasa bersalah.
Dan ya… anak-anak kami, dua permata yang aku cintai sepenuh hati. Tapi aku tahu, aku tak mampu berikan mereka bayangan rumahtangga yang sepenuhnya tenang.
Dia tetap ada, tapi aku mula rasa aku sendiri dah tak ada dalam perkahwinan ni. Aku hidup, tapi tak benar-benar ‘hidup’. Aku jalankan tanggungjawab… tapi bukan kerana cinta yang mekar, cuma kerana amanah yang aku pikul.
Dalam rumahtangga kami, aku cuba jadi isteri yang sabar. Yang memahami. Tapi makin lama, makin banyak yang aku telan sendiri.
Dia selalu marah. Kadang perkara kecil pun jadi besar. Nada suara dia tinggi, pandangannya tajam… cukup buat aku dan anak-anak diam tanpa suara. Rumah sepatutnya jadi tempat berlindung, tapi kadang aku rasa macam berjalan atas kaca— sentiasa perlu berhati-hati.
Tentang nafkah — aku tak minta lebih. Tapi dari awal, kami kongsi. Rumah pon perlu kongsi bayar, katanya sebab aku duduk di situ — dah macam housemate.. Bukan sebab aku mahu, tapi sebab aku perlu.
Bila aku masih bekerja, aku faham. Tapi bila aku dah berhenti dan tak ada gaji tetap… aku tetap perlu beri. Aku tetap perlu hulur.
Kadang aku tanya dalam hati, “Sampai bila aku kena tanggung sama, sedangkan aku pun sedang sesak?”
Aku jaga anak, jaga rumah, jaga makan pakai — dan dalam masa yang sama, tetap kena fikir pasal duit. Dia tak pernah nampak letih aku. Tak pernah tanya kalau aku cukup atau tidak. Asalkan rumah jalan, dia anggap semuanya baik.
Aku senyum. Aku diam. Tapi dalam diam tu, aku haus. Aku kosong.
Rumahtangga ini masih berdiri. Tapi dalamnya… retak yang aku cuba tampal, makin hari makin dalam.
“Luka, luka, luka yang ‘ku rasakan
Bertubi-tubi-tubi engkau berikan
Cintaku bertepuk sebelah tangan
Tapi aku balas senyum keindahan”
Satu hari, aku terima friend request dari seseorang di Facebook. Nama yang buat hati aku tiba-tiba bergetar. Aku stalk profil dia… dan ya, dia dah kahwin. Baru tahun lepas. Ada gambar nikah, senyuman bahagia yang pernah aku impikan dulu — kini milik orang lain.
Aku tak terus accept. Aku biarkan. Tunggu esok, konon nak fikir dulu. Tapi dalam hati, aku tahu… aku belum pernah benar-benar padamkan dia dari ruang hati aku. Tiba-tiba satu notifikasi masuk — Messenger.
Mesej pertama dia:
“Smlm aku mimpi kau…”
Aku terdiam. Jari beku. Jantung laju.
Kemudian dia sambung:
“Aku rasa bersalah… Aku rasa aku ada hutang dengan kau yang belum selesai. Mungkin sebab tu aku termimpikan kau.”
Mata aku bergenang. Bukan sebab mimpi tu. Tapi sebab untuk pertama kali… dia bersuara tentang rasa yang aku pernah simpan seorang diri bertahun lamanya.
Bukan cinta yang dia ungkap, tapi satu pengakuan — yang dalam dunia dia yang diam tu, sebenarnya ada ruang kecil yang pernah menyimpan nama aku.
Aku baca mesej dia berkali-kali. Hati aku rasa macam digenggam. Tapi dalam tenang , aku balas:
“Tak ada apa lah… aku dah maafkan, aku dah halalkan. Tak ada apa dah. Tak perlu rasa bersalah.”
Aku taip dengan jujur, walau dalam hati ada rasa yang masih tinggal. Aku tak nak dia rasa terbeban. Aku tak nak dia fikir aku masih menunggu, masih berharap.
Tapi hakikatnya… dalam tiap noktah ayat aku tu, ada serpihan rasa yang dulu pernah aku tunggu dia balas — dan hari ini, datang semula.
Dan selepas aku balas, dia diam sekejap… kemudian datang satu mesej lagi — yang buat dada aku rasa ketat:
“Kenapa dulu kau hilang??”
Aku terkedu.
Soalan tu… lama aku tunggu. Lama aku bayang kalau satu hari dia tanya. Tapi bila betul-betul keluar dari dia, aku tak tahu nak jawab macam mana.
Aku tarik nafas panjang.
Dalam hati, aku cuma mampu bisik:
“Kalau kau tahu sebab aku hilang tu… mungkin kau akan faham kenapa aku tak mampu patah balik waktu tu.”
Tapi jari aku hanya mampu balas:
“Kau tak nampak aku, walau aku duduk depan mata. Aku penat… jadi aku pilih untuk hilang.”
Lepas tu, dia balas lagi…
“Kenapa dulu tak pernah cakap kau suka aku?”
Soalan tu terus tikam dada aku. Bertahun aku simpan, bertahun aku tunggu dia faham — tanpa perlu aku lafaz.
Aku balas, jujur dari luka yang lama aku pendam:
“Kau tak pernah nampak ke semua usaha aku?? Setiap minggu aku tunggu masa nak contact kau… aku kawan dengan sepupu kau, cuma nak tengok kau cemburu. Aku cerita semua dekat sahabat aku, sahabat yang akhirnya kau pilih. Kau tak pernah nampak ke semua tu?”
Mesej tu aku taip dengan tangan yang menggigil.
Sebab walaupun lama dah berlalu… soalan dia tu buat luka lama berdarah semula. Sebab aku tak pernah diam… aku cuma menunggu dia buka mata. Tapi dia tak pernah lihat — atau mungkin dia pilih untuk tak peduli.
Dan dia balas semula…
“Aku suka kau, tapi aku tak reti nak luah…”
“Bila aku cari kau semula, kau dah tak ada.”
“Aku tunjuk juga usaha… Aku pernah pergi rumah kau, aku tebalkan muka minta nombor telefon kau dekat ayah kau masa tu…”
“Tapi masa tu… aku dah terlambat.”
Aku baca mesej tu lama. Tak tahu nak rasa apa. Sakit… sebab selama ni aku sangka aku sorang yang menyimpan. Tapi dalam diam, dia pun pernah cuba.
Cuma sayangnya, masa tak pernah menyebelahi kami.
Rasa itu pernah wujud — tapi waktu tak pernah izinkan ia berkembang. Dan yang paling menyedihkan… bila akhirnya kedua-dua hati yang pernah saling mencari, akhirnya bertemu semula, tapi masing-masing sudah terikat dalam cerita yang berbeza.
Untuk kau —
yang aku tak pernah buang dari hati aku walau sekali, walau bertahun berlalu…
Ketahuilah… kita tak ada jodoh untuk bersama.
Ya, aku diuji. Rumahtangga aku tak seperti yang aku harapkan. Tak harmoni. Tak tenang.
Tapi walau aku terluka, aku tetap tak boleh dimiliki.
Aku milik orang. Aku seorang isteri. Seorang ibu.
Dan walaupun hati ini pernah penuh dengan nama kau… aku tetap tak boleh berpaling dari takdir yang aku pilih.
Tapi satu perkara aku nak kau tahu —
Terima kasih.
Terima kasih sebab akhirnya kau balas rasa yang aku simpan sekian lama.
Terima kasih sebab buat aku tahu… aku tak pernah bertepuk sebelah tangan.
Walaupun kita tak bersama di dunia nyata, sekurang-kurangnya… kau pernah rasa, walau sekejap — apa yang aku rasa sepanjang hayat aku.
Mungkin kita cuma hadir dalam hidup satu sama lain untuk belajar — bukan untuk memiliki.
Kau ajar aku erti cinta yang diam-diam, yang setia walau tak pernah disambut.
Aku pula ajar kau… kadang bila kita lambat menyahut rasa, kita hilang peluang selama-lamanya.
Tapi aku redha.
Aku doakan kau bahagia, dengan hidup yang kau pilih. Dengan keluarga yang kau bina. Jangan ulang kesilapan sama… jangan biar seseorang yang sayang kau, merasa tak terlihat seperti mana aku dulu.
Dan aku pula… akan terus bertahan. Walau hati ni masih belajar untuk ikhlas, aku tetap percaya… rasa yang tulus takkan pernah sia-sia, walau akhirnya tak jadi milik kita.
Sebab sesetengah cinta, cukup sekadar pernah ada — dalam diam, dalam doa, dalam kenangan yang akan kita simpan… sampai bila-bila.
– Juliet (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit