Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca.
Maaf andai tulisan ini ada kekurangan atau kesilapan bahasa. Sudah sekian lama saya tidak menulis, dan hari ini saya mencoretkan sesuatu yang berat di hati saya.
Saya merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik. Sejak kecil, saya memang seorang yang aktif dan cergas dalam pelbagai aspek, termasuklah pelajaran. Alhamdulillah, keputusan saya di sekolah dahulu agak cemerlang.
Adik saya pula sangat berbeza dengan saya. Jarak umur kami enam tahun, dan dia merupakan seorang yang pendiam dan introvert.
Dari kecil, dia kerap dibuli dan tidak menunjukkan prestasi baik dalam pelajaran. Keputusan SPM-nya juga sangat lemah sehingga tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi.
Saya pernah menasihatinya untuk mencari kerja, tapi dia menolak dengan alasan mahu menjaga ibu dan ayah yang ketika itu semakin uzur.
Selepas saya mendirikan rumah tangga, saya semakin jarang berada di sisi keluarga. Adiklah yang tinggal bersama ibu bapa dan menguruskan mereka.
Setiap kali saya pulang, ibu sering mengadu tentang sikap adik. Tapi saya hanya diam kerana saya tahu, walaupun ibu mengqta adik, tapi, kasih sayang ibu terhadap adik sangat mendalam, malah saya rasakan lebih dari saya.
Selepas ayah kami meninggal dunia, saya kembali menasihati adik untuk bekerja. Kali ini dia akhirnya bersetuju.
Namun tidak lama selepas itu, ibu mengadu lagi—katanya adik sering menengking, menjerit, dan bercakap kasar dengannya. Bila saya tanya, adik tidak mengaku.
Sehinggalah satu hari, saya sendiri terdengar dengan telinga saya. Masa tu, tangan saya ringan… saya tampar dia.
Sekarang, adik sudah berkahwin dan masih tinggal di rumah ibu. Tapi cerita lama berulang. Ibu sering mengadu yang adik meninggikan suara, memarahi dan menengkingnya, sampai ibu kelihatan murung dan seperti mengalami tekanan perasaan.
Saya ajak ibu tinggal bersama saya di Melaka, tapi dia tak sanggup tinggalkan rumah… dan tak sampai hati tinggalkan adik.
Saya buntu. Saya dah cuba nasihat, marah, bahkan memaki adik dalam keadaan terdesak. Tapi semuanya tak berhasil. Akhirnya, saya pula yang dipersalahkan. Saya dianggap anak yang memburukkan adik sendiri.
Saya benar-benar bimbang akan keadaan ibu. Wajahnya tak ceria, nadanya berat, matanya penuh beban. Saya kasihan sangat.
Apa yang patut saya buat? Tolonglah saya… saya cuma mahu ibu saya tenang dan bahagia di usia tuanya.
– Siti (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit