Doa Yang Bukan-Bukan

Salam, saya tidak pandai mengarang, jadi saya harap pembaca dapat membaca dengan santai ya.

Cerita ni hampir berbelas-belas tahun dahulu, zaman saya sekolah menengah. Saya lahir dari keluarga yang biasa-biasa, tidak kaya juga tidak miskin, makan pakai semua cukup.

Saya bersyukur, tetapi disebabkan saya anak sulung dari 6 adik-beradik, saya tidak dibesarkan dengan wang ringgit dan dimewahkan dengan harta benda.

Saya bersekolah di sekolah harian biasa yang berdekatan dengan rumah.

Kebiasaannya, selepas habis sesi pembelajaran sekolah, sekolah saya akan adakan solat Zohor berjemaah dalam kalangan murid-murid dan akan ada cikgu yang mengawasi pelajarnya.

Saya akui, disebabkan faktor kewangan keluarga saya, saya cuma ada 1 pasang kain sembahyang sahaja yang selalu saya akan bawa ke sekolah untuk guna solat Zohor.

Untuk solat di rumah saya memang ada beberapa pasang, tapi memang menjadi tabiat saya yang di sekolah dan di rumah saya akan asingkan.

Ibarat baju di rumah, baju keluar berjalan, dan baju kerja — semua tu memang saya akan asingkan dan akan pakai ikut situasi.

Kain sembahyang tu memang bersih, cuma dia agak kecil saiznya dan kain jenis travel yang tidak perlu digosok, tetapi tidak seksi dan muat untuk saiz saya ketika itu.

Tetapi benda ni buatkan saya teringat-ingat sampai sekarang adalah situasi di mana ada seorang ustazah menegur saya di hadapan semua pelajar lain dengan cara yang agak kurang sopan bagi saya, sebab dia seakan menghina saya dengan kata:

“Tu kain sembahyang tak ada yang lain ke? Pakai hak adik ke? Asyik yang sama je sokmo pakai, miskin sangat ke nak beli yang lain?”

Semua pelajar tengok dekat saya. Saya waktu tu memang malu, tunduk sahaja muka sebab saya sedar kain sembahyang adalah penting.

Tanpa sedar, saya mendoakan yang tidak baik untuk ustazah tu.

Saya mendoakan anak-anak ustazah tersebut dimalukan depan semua pelajar dan ustazah akan jatuh bankrap juga sampaikan tidak mampu membeli kain sembahyang untuk anak-anaknya.

Situasinya sekarang, saya masih teringat akan doa itu walaupun berbelas-belas tahun lamanya dan rasa serba salah itu ada.

Adakah wajar saya pergi jumpa balik ustazah dan memohon maaf dengan bercerita balik situasi tersebut?

Tetapi ada ketika saya rasakan ia adalah kelakar… buntu memikirkan sebab setiap kali saya nak solat, benda tu bermain-main di fikiran — yang betapa nakalnya saya dulu sebab boleh mendoakan sebegitu.

Sampaikan umur saya sudah 30-an, tapi saya akan selalu teringat kata ustazah itu.

Sampaikan bila saya dah besar dan bekerja sendiri, saya selalu beli kain sembahyang baru untuk diri sendiri juga dan hadiahkan kain sembahyang untuk keluarga dan sahabat.

– Bunga kubur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Doa tu antara kita dan allah. Kalau tuhan berkehendak, dengan iradat-Nya maka terkabullah doa kita itu. Tapi kalau tidak makbul, berlapang dada saja.

    Saya pernah doakan bekas bos saya kehancuran hidupnya dan dihina. Puncanya beliau menengking saya (intern) di depan ramai utk kerja saya yang belum siap, sedangkan saya bkn staff penuh, already overwhelmed dgn task, dan bukan dibayar elaun 1 sen pun. Saya rasa dianaiya dan ia justified dengan doa saya.

    Dalam masa 6 bulan, company collapse dsbb perubahan polisi kerajaan. Isterinya pertamanya meninggal, isteri kedua minta cerai, rumah besar dijual dan skrg menyewa rumah PAKR, dgn anaknya 7-8 org mmg betul melarat hidupnya. Walaupun saya rasa doa saya agak berlebihan, tapi ia justified.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *