Arwah ibu saya menghidap kencing manis dan perlu follow up di klinik kerajaan, tapi ibu saya tak pernah dengar cakap doktor untuk jaga makan. Malah ubat pun sangat jarang makan.
Mulanya saya teman ibu setiap kali ke klinik tapi disebabkan sikap ibu, saya cakap tak perlulah pergi lagi. Bukannya ibu dengar cakap doktor pun. Pergi untuk apa?
Mulanya saya sering jaga ubat ibu, paksa dia makan tapi lama² saya kesian. Saya terfikir, dalam waktu saya bertekak dengan ibu tentang jaga makan dan makan ubat, bagaimana kalau tiba² ibu meninggal dan memori terakhir saya adalah pertengkaran dengan ibu hanya sebab ibu tak nak makan ubat.
Maka, saya berhenti paksa ibu. Malah saya mula tak kisah kalau ibu tak nak makan ubat dan saya juga masak dan belikan apa saja yang ibu nak termasuk makanan manis. Saya nak ibu gembira. Saya nak penuhi semua kehendak ibu.
Ibu masih ke klinik tapi saya dah malas nak temankan ibu sebab saya rasa membuang masa kalau ibu abaikan nasihat doktor dan tak mau makan ubat. Akhirnya ibu pergi seorang.
Selalu ibu minta saya teman tapi saya bagi alasan sibuk dengan kerja. Memang saya sibuk kerja tapi hakikatnya, saya masih boleh curi masa untuk teman ibu. Saya sudah mula jadi anak derhaka.
Satu petang, ibu telefon saya suruh balik cepat sebab dia rasa lain macam. Tapi sebab ibu selalu saja telefon dengan “alasan” begini, saya tak endahkan.
Bila saya fikir balik, suara ibu waktu tu agak cemas berbanding biasa tapi saya tetap teruskan kerja dan buat tak endah. Saya telah jadi anak derhaka.
Petang itu bila habis kerja, barulah saya balik tengok ibu. Waktu itu, ibu sudah kena strok akibat gula yang tinggi.
Saya anak paling derhaka.
Akhirnya ibu turut disahkan menghidap dementia. Pada awalnya keadaan ibu masih baik walaupun terkena strok dan dementia. Ibu masih boleh berjalan, senyum dan faham percakapan orang.
Namun, disebabkan faktor kewangan, saya terpaksa tamatkan sesi fisio ibu dan berniat untuk melakukannya sendiri.
Awalnya saya layan ibu dengan baik, sedikit pun saya tak merungut bila ibu kencing bocor, atau najisnya banyak. Saya tahu ibu jadi begini kerana saya.
Sepatutnya ini kesempatan saya untuk menebus dosa tapi…
Selepas berbulan menjaga ibu, kesabaran saya mula diuji. Akibat perlu menjaga ibu setiap masa, saya tak lagi boleh bekerja. Maka, kekangan kewangan mulai menganggu mental saya.
Saya sudah tak lagi membantu ibu buat fisio, malah saya biar ibu terlantar atas katil. Saya masih beri ibu makan tapi usaha saya untuk memulihkan ibu hampir tiada.
Saya obses mencari kerja untuk mencari wang dan sekali lagi, saya abaikan ibu. Saya anak paling derhaka.
Saya ada 10 orang adik beradik. Saya anak ke-8. Tapi sebab hanya saya saja yang belum berkahwin, tanggungjawab menjaga ibu ayah yang tua dan sakit, jatuh ke bahu saya seorang.
Ya, adik beradik lain ada bantu dari segi kewangan tapi tetap tak memadai.
Lama kelamaan saya mula hilang pertimbangan, hilang kesabaran. Saya mula memukul ibu. Saya mencaci ibu. Saya anak paling derhaka yang layak dibakar api neraka.
Apabila saya sedar mental saya yang teruk dan ibu menjadi mangsa, saya mohon pada adik beradik untuk ambil alih penjagaan ibu buat sementara. Paling kurang seminggu.
Saya ingin ambil masa itu untuk muhasabah diri dan cari kekuatan dan kesabaran untuk kembali menjaga ibu sebaik²nya.
Tapi tiada siapa yang menyahut. Saya hampir gila kerana mengingatkan dosa yang bakal saya lakukan setiap kali saya hilang sabar dengan ibu. Ibu akan dipukul lagi dan menjaga mangsa kezaliman saya.
Dalam menjaga ibu, saya juga perlu menjaga ayah saya yang turut mengalami masalah kesihatan dan sering dikejarkan ke hospital.
Namun, rayuan saya tetap tak diendahkan adik beradik lain dengan alasan mereka juga ada keluarga yang memerlukan mereka.
Saya hilang arah tuju. Akhirnya, sekali lagi ibu diserang strok dan selepas sebulan terlantar di hospital tak sedarkan diri, ibu dijemput ilahi.
Tak sempat saya memperbetulkan kesilapan. Tak sempat saya memohon ampun. Semuanya sudah terlambat.
Sekarang, saya perlu berdepan dengan penyesalan yang tak tertanggung.
Dulu bila mendengar kisah anak derhaka, saya yakin saya tak akan jadi seperti mereka tapi jelas sekali, saya adalah anak derhaka.
Dalam hati, ya, saya juga salahkan adik beradik saya tapi saya juga harus akui salah saya sendiri kerana tidak sabar dengan ujian Allah.
Saya juga marah dengan Allah kerana tidak menyembuhkan ibu, tak beri peluang ibu untuk bahagia sekali lagi tapi akhirnya saya redha. Allah Maha Mengetahui.
Kini saya hidup dalam penyesalan dan dosa besar. Hanya di pusara ibu saya memohon ampun. Hanya melalui Allah saja saya mampu memohon kemaafan yang saya tidak dapat mendengar jawapannya.
Jadikan kisah ini peringatan. Sayangi ibu bapa anda saat mereka masih ada.
– Hananda Awliya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
semoga Allah beri ko ketenangan dik dan permudahkan urusanmu. semoga arwah ibumu masuk syurga. aammiinnn
Terima kasih berkongsi kisah dan pengalaman utk dijadikan peringatan dan tauladan