Makna Dalam Tindakan

Kebejatan kes sosial yang banyak berlaku masa kini menyebabkan kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang ada dalam fikiran pelaku?

Kenapa sanggup melakukan penganiayaan kepada orang lain? Apa motivasi sebenar mereka?Adakah tanda-tanda yang boleh dihubungkan untuk dimanfaatkan supaya ianya tidak berulang lagi?

Antara persoalan lain;

Kenapa seseorang itu memandu laju sehingga kemalangan? Kenapa pasangan itu curang? Kenapa aib sendiri disebarkan? Kenapa fitnah itu berlaku? Kenapa ketidakadilan berlaku? Kenapa pihak berkuasa rasuah? Kenapa menjadi penagih dadah? Kenapa mencuri? Kenapa buli berlaku? Kenapa menghalang lalu lintas?

Manusia terbahagi kepada tiga golongan.

Pertama ialah golongan yang bertindak melalui jalur makna yang benar.

Yang kedua ialah melalui jalur makna yang salah,

Dan yang ketiga ialah golongan yang mencari kepuasan diri semata-mata tanpa ada apa-apa makna.

Pelaku kepada semua soalan diatas ialah dari golongan dua dan tiga.

Gejala penagihan dadah, seks bebas adalah menifestasi manusia mencari kepuasan diri semata-mata. Mereka tahu risiko dari perbuatan mereka, mereka tahu akibat dari perbuatan mereka tetapi terus melakukannya kerana sudah tidak wujud makna hidup yang benar dalam diri mereka.

Jika mereka tidak berusaha mencari makna hidup yang benar mereka akan terus melakukan kerosakan kepada diri sendiri dan orang lain.

Kemuncak kemahuan hidup semua manusia adalah untuk mencari kepuasan diri. Seperti apa yang dikatakan Aristotle “setiap manusia ingin mencapai kegembiraan”.

Yang membezakan adalah mereka yang mencari kepuasan diri melalui makna manakala satu lagi hanya kepuasan diri semata-mata. Kepuasan diri melalui makna pula terbahagi kepada dua iaitu makna yang benar dan makna yang salah.

Untuk memahami apa itu makna yang salah? boleh juga disinonimkankan matlamat menghalalkan cara, sebagai contoh mengambil rasuah, menipu perniagaan, mengumpat, menfitnah dan sebagainya.

Untuk membezakan dengan lebih mudah makna yang benar dan makna yang salah pelakunya akan melintasi garis Adab, Akhlak, Etika, Empati, Moral dan Undang-Undang.

Era digital dan zaman media social menyebabkan kehidupan manusia menjadi semakin kering makna hidup. Lambakan kandungan internet yang berpaksikan kepada jumlah tontonan semata-mata membiakkan konten yang tidak ada makna.

Video-video yang dihasilkan bukan sahaja pendek malah ada yang jauh dari norma-norma agama. Natijahnya, hanya memberi kepuasan diri semata-mata dan makna hidup yang salah menjadi jalur pemikiran yang semakin tekal.

Kes-kes jenayah yang berlaku adalah berpunca dari manusia yang mencari kepuasan diri bukan dari makna yang benar. Sistem pendidikan yang dulunya berorientasikan jumlah A semata-mata antara menjadi penyumbang penipisan makna hidup yang benar.

Melalui pendidikan perlu diterapkan makna hidup yang benar. Jika matematik adalah subjek nombor yang diajar hanya untuk menguasai formula sahaja, maka pelajar tidak akan menemui makna yang ada pada nombor itu. Begitu juga subjek-subjek yang lain.

Aspek A difokuskan sebagai yang paling bermakna maka subjek-subjek yang diajar akan kering makna hidup. Pelajar yang tidak mempunyai pembantu untuk memahami subjek-subjek yang diajar, maka pelajaran menjadi tidak bermakna kepada mereka.

Perhatikan kepada anak-anak pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran. Kemana mereka menghabiskan waktu lapang mereka? Mereka mencari kepuasan diri melalui rakan-rakan seperti mereka dan menjebak gejala-gejala yang tidak baik.

Mereka menyangka itu adalah makna kepada hidup sedangkan mereka hanya memburu kepuasan diri disebabkan tidak menemui makna hidup. Situasi kehidupan pelajar itu pelbagai, ramai juga yang tidak bernasib baik.

Mungkin didalam keluarga kurang pendedahan dek kerana mempunyai keluarga yang tidak mampu memberi makna yang benar menyebabkan mereka terperangkap dengan makna yang salah. Menjadi tugas pendidik mendidik mereka dengan makna yang benar. Itu perihal pelajar.

Bagaimana pula dengan kisah-kisah social yang melibatkan orang dewasa yang telah dikira matang, terpelajar dan berilmu? Ilmu dipegang bukan dengan makna, menyebabkan walaupun mereka tahu perbuatan itu salah mereka tetap melakukan.

Mengejar kepuasan diri semata-mata dan juga dengan makna yang salah akan membinasakan. Perlu kesedaran kepada mereka yang terlibat dan terbuka untuk menceritakan masalah yang mereka hadapi.

Ilmu yang mereka ada hanya sebagai alat untuk mencari duit bukan untuk mendapatkan makna rahsia alam.

Mungkin mereka pintar mendapat kecemerlangan pada masa lalu tetapi jika mereka berhenti mencari dan berasa ilmu mereka sudah cukup, maka ilmu yang ada hanya menjadi alat untuk kepuasan diri semata-mata. Sangat menyedihkan bila ini juga turut berlaku kepada segelintir orang yang mempunyai ilmu.

Apa yang berlaku masa kini, tidak menampak lagi kes-kes kesalahan social akan menurun. Malah ada yang telah menyebarkan HIV secara sengaja demi mengejar kepuasan peribadi semata-mata.

Perlu perhatikan diri masing-masing! Dalam melakukan tugasan seharian, berapa kali kita melakukan sesuatu perkara itu dengan makna yang benar dan berapa kali kita melakukan sesuatu yang tidak ada apa-apa makna.

Kekosongan makna hidup yang perlu dipenuhi, jauhilah kandungan internet yang kering makna, Carilah makna dimana-mana sahaja! Sebagai seorang muslim teruslah menuntut ilmu agama.

Dekatkan diri juga dengan sastera dalam kehidupan kita, kerana dalam sastera ada makna falsafah, dakwah, seni dan juga hiburan. Beli novel-novel yang bermanfaat, baca karya-karya tempatan dan antarabangsa yang disyorkan.

Jika suasana sukar dan tidak mengizinkan, tontonlah cerita-cerita yang memberi manfaat. Carilah Filem-filem lama yang banyak mengandungi bahasa yang cukup indah dengan nilai-nilai yang baik seperti Filem Allahyarham Tan sri P.Ramlee yang penuh jenaka yang bermakna.

Jika suasana masih tidak mengizinkan boleh juga menonton anime kerana mengikut kajian anime juga mengandungi falsafah yang tinggi. Boleh dikatakan keseluruhan filem atau cerita memberi makna yang pada akhirnya kebaikan akan mengalahkan kejahatan.

Tingkat kepuasan diri yang paling tinggi ialah bila kita menemui makna yang benar didalam hidup. Ia akan memberi ketahanan yang tinggi berhadapan dengan ujian hidup. Ia juga akan mengajar setiap manusia melakukan kesilapan.

Jika masih belum menemui makna teruslah mencari, kerana dalam mencari itu juga sudah wujud makna yang benar.

– Sang Pembaca (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *