Aku Buta, Tapi Aku Adalah Juruterbang Untuk Dia dan Negara Ini

Aku tak tahu bagaimana untuk mula, tapi aku tahu aku perlu luahkan.

Bukan sebab aku nak simpati.

Bukan sebab aku nak perhatian.

Tapi sebab aku tahu di luar sana, ada ramai lagi macam aku yang impiannya tinggi melangit, tapi kakinya diikat oleh kenyataan.

Nama aku… tak penting.

Yang penting adalah impian aku.

Sejak kecil aku bercita-cita untuk jadi seorang juruterbang jet pejuang.

Aku nak lindungi langit Malaysia. Aku nak berada di barisan hadapan, menggempur musuh demi tanah air yang aku cintai sepenuh jiwa.

Aku nak rasakan deruman enjin yang menggegarkan bumi, yang menjadi amaran kepada sesiapa sahaja yang berani menyentuh tanah tumpah darahku.

Tapi aku…

Aku dilahirkan buta.

Orang kata, “Mana mungkin orang buta jadi juruterbang?”

Aku senyum, tapi dalam hati aku remuk.

Sebab aku tahu tak kira berapa banyak aku usaha, realiti tak akan ubah fakta.

Tapi tahu tak satu hal? Aku tak pernah berhenti.

Setiap kali aku buka komputer, setiap kali jari aku menyentuh papan kekunci, aku bukan sekadar ‘mengguna laptop’. Tidak.

Aku sedang duduk dalam kokpit jet pejuang.

Aku sedang hidupkan sistem. Aku sedang baca peta udara.

Dan bila aku tekan “Enter”, itu adalah isyarat aku sedang terbang, menembusi awan, merentas ruang udara demi mempertahankan bumi Malaysia.

Dalam bayangan aku, aku sedang buat pertunjukan udara di hadapan rakyat Malaysia.

Jet pejuang yang aku pandu menderu laju, membelah langit biru.

Aku lakukan aksi manuver yang tajam dan berani, berpusing melawan graviti barrel roll, cobra maneuver, low pass flyby.

Tapi dalam ribuan penonton di bawah sana…

Ada seorang yang paling aku cari.

Seorang wanita yang aku cintai dalam diam.

Dia tak pernah tahu betapa aku menyimpan rasa.

Dia tak pernah tahu betapa dalam dunia aku yang gelap ini, wajah dialah cahaya paling terang.

Dan hari itu dalam bayangan aku dia tengok ke langit.

Dia nampak jet yang aku pandu.

Dia tahu… akulah di dalamnya.

Dan dia senyum bangga.

Ya Allah, hanya Tuhan yang tahu perasaan tu…

Bila orang yang kita cintai melihat kita bukan sebagai seorang yang serba kekurangan, tapi sebagai wira di langit, seorang pejuang yang membawa nama negara dan… membawa hatinya bersama.

Aku buat demonstrasi serangan udara.

Aku bidik tepat sasaran, dan bumi bergema dengan letupan simulasi.

Semua bersorak. Tapi bagi aku, sorakan dia yang aku paling tunggu.

Dan bila aku mendarat semula, aku bayangkan dia lari ke arah aku dan berkata:

“Aku tak pernah sangka seorang lelaki buta boleh buat aku percaya pada impian semula.”

Tapi…

Bila komputer aku dimatikan, bila suara NVDA berhenti berbicara… aku kembali ke dunia nyata.

Aku masih lelaki buta.

Masih mencari arah dengan tongkat putih.

Masih bertatih dalam kehidupan yang gelap.

Namun jauh di sudut hati, aku bukan insan biasa.

Aku adalah juruterbang yang tak akan pernah menyerah.

Aku bawa impian aku dalam setiap denyut nadi.

Aku bawa semangat patriotik dalam setiap hela nafas.

Dan aku bawa cinta cinta pada dia dan pada negara dalam setiap ‘penerbangan’ yang aku cipta dalam gelap.

Kepada siapa pun yang membaca ini,

Jika kau rasa hidup kau tak sempurna,

Ingatlah… mungkin Tuhan tak beri kau mata untuk melihat dunia,

Tapi Dia beri kau hati untuk terbang lebih tinggi dari siapa pun.

Aku buta.

Tapi aku yakin, cinta, semangat, dan impian… tak perlukan mata untuk hidup.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Doakan satu hari nanti, jika bukan di langit dunia, aku tetap akan terbang di langit harapan.

– Fitri Hadi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *