Kau Kahwin Lagi, Aku Jual Rumah Kau II

Untuk Part I, (https://iiumc.com/kau-curang-lagi-aku-jual-rumah-kau/).

Bukan setakat rumah dia aku jual, segala joran pancing harga ribu riban jenama abu garcia, shimano, daiwa dia pun aku jual. Sport rim, bumper, lampu, sound system kereta dan entah apa lagi barang untuk dyno kereta dia semua aku jual.

Jam tangan, koleksi robot, koleksi anime limited edition dia semua aku jual. Asal jadi duit, aku cash kan je. Peduli apa aku dia rela ke tak rela. Dia kawin lagi, ada dia peduli aku aku rela ke tak selama ni? Takde.

Aku ni bukanlah sengkek sangat sampai semua harta orang aku nak sita. Tapi sebab kesabaran aku dicabar. Nafkah aku sebagai isteri hampir setahun dia tak bayar langsung. Bil api air WiFi rumah kereta yuran sekolah anak semua ni dia sengaja tak bayar dan dibiarkan tertunggak.

Tapi dengan bini baru sengaja post pergi bercuti sana sini. Loan dia tapi Bank cari aku. Sekalipun gaji aku besar dan boleh je aku bayar tapi aku tak redha ye dia tak bayar nafkah aku. Apa nak jadi, jadilah. Sumpah sampai mati aku tak redha.

Entahlah… mungkin suami aku bosan agaknya dengan aku sebab aku ni hati baik, diam, tak melawan. Dia buat apa pun, aku still ada dengan dia.

Bila fikir balik, kalau aku jadi dia, aku pun bosan bini baik sangat ni. Takde cabaran. Rasa bosan hidup, tak thrill. So, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

Sebelum ni, bila dia banding aku dengan perempuan lain, aku perhatikan perempuan yang dia suka tu. Aku tiru semua gaya perempuan tu aku buat jadi template.

Aku pergi saloon buat rambut buat treatment habis RM2000 untuk rambut sahaja. Belum masuk facial treatment, manicure pedicure. Tapi rambut aku hasilnya memang cantik lah kepok-kepok golden blonde.

Aku tukar gaya penampilan aku. Baju aku di rumah semua seksi singkat kain belah. Di luar aku masih muslimah, jangan risau. Aku pergi gym bagi fit badan. Mana yang patut besar bagi besar. Mana yang patut alim bagi slim.

Aku pastikan aku lebih cantik dari perempuan yang dia bandingkan aku tu. Of course aku swipe kad bank dia dengan rela hati masa tu.

Aku fikir lepas aku make over diri, upgrade penampilan, pakai seksi, pakai perfume mahal wangi, cantik, rambut kepok-kepok persis model, dia akan stay dengan aku. Rupanya tidak. Cantik tak cukup ye. Dia jadikan pulak alasan kerjaya aku yang sentiasa sibuk membuatkan dia kurang kasih sayang.

Eh kau kalau nak bini hadap muka kau je 24 jam kau jangan kahwin dengan orang kerja hospital lah. Aku pernah minta tukar kerja klinik atau research line tapi faham2 lah bukan harini kau mohon esok lulus kan?

Dia ni pun satu, Dulu cakap lain, sekarang cakap lain. Tak payah lah cakap bini yang punca sedangkan sebenarnya si suami ni yang tak reti bersyukur!

Suami aku ni ada banyak kebaikan dia pada aku dan keluarga. Banyak kebaikan dia yang aku sangat hargai dan bersyukur. Dia bayar kos surgery aku, dia sponsor separuh yuran aku sambung belajar. Family dia pun baik. Mak mertua aku baik macam mertua dari syurga.

Kalau gaduh laki bini, mak mertua aku pertahankan aku sampai laki aku ni pernah lah tanya siapa anak mak sebenarnya ni? Sebab tu.. Aku ni jenis selagi boleh pertahankan, aku pertahankan. Tapi… jangan bagi sabar aku habis je.

So lepas rumah dah selamat dijual, sudah tentu lah suami aku ni meroyan. Duit hasil jualan rumah tu aku suruh peguam aku simpan dalam akaun firma dia.

Aku mohon perintah injunksi dari mahkamah untuk menghalang duit tu dari diusik walaupun 1 sen sehinggalah semua tuntutan mahkamah aku ke atas dia selesai.

Bermulalah perjalanan kami turun naik mahkamah. Sebenarnya aku bukan suka sangat nak naik turun mahkamah ni. Tapi, dah suami aku ni posting kat Fb dia cabar aku pergi mahkamah tuntut hak aku, okay aku tunaikan permintaan dia. Dia nak sangat, aku bagi.

Aku jual rumah tu semasa kami masih suami isteri. Lepas suami aku kawin lagi, benda pertama aku buat adalah perjanjian poligami.

Dalam perjanjian tu aku tuntut siap2 hak penjagaan anak, rumah ni aku minta dia hibah kan bahagian dia pada aku. Bila gaduh besar dan dah tak tinggal bersama, aku terus pergi mahkamah bawa perjanjian tu dan convert jadi perintah mahkamah.

So, aku dapat hak penjagaan anak aku. Pastu aku jual rumah. Selesai dua perkara ni baru aku minta cerai. Kenapa aku lambat2 minta cerai? Sebab aku nak bagi nafkah tertunggak isteri tu banyak biar cecah 100k supaya berbaloi aku pasang peguam.

Alang2 pergi high court biar tuntut amount ratus ribu terus! Puas hati jugak lah bila dengar Tuan Hakim baca jumlah tuntutan ratus ribu tu. Takde lah sakit hati sangat penat turun naik court tapi takde untung duit kan?

Lepas cerai, Ex aku semakin meroyan. Dia bawak lari anak pulak dah. Entah macam mana dia berpakat dengan bini baru dia pergi sekolah menyamar jadi aku pastu tukar sekolah anak aku. Gila betul! Dia lupa agaknya aku ada 3 orang peguam? Tak pasti lah dia sengaja cabar aku ke atau dia memang dah tak waras.

Aku ni mengenangkan dia bapa pada anak aku dan banyak kebaikan2 dia sebelum ni, aku sabar. Walaupun aku ada perintah mahkamah dan aku boleh je nak sumbat dia masuk lokap sebab menghina perintah mahkamah. Aku sabar.

Aku minta peguam aku setel tepi dengan budi bicara dan kebijaksanaan akal. Peguam mohon JKM ambik anak tu sebab dengan bapak dia terabai tak pergi sekolah. Bila Ex aku tahu JKM nak ambik anak, akhirnya dia surrender dan pulangkan semula anak pada aku.

Aku ni sebenarnya nak hidup tenang2 je. Drama sikit2 gaduh2 manja tu boleh lah. Tapi kalau sampai aib, maruah aku sebagai isteri diinjak-injak, aku jadi hilang rasa hormat pada dia. Rasa nak pandang muka dia dengan pandangan kasih sayang tu dah takde.

Aku doa minta pada Allah supaya hapuskan semua rasa sayang cinta rindu benci menyampah aku pada dia. Biar takde rasa supaya aku boleh pandang dia dengan rasa kosong dan professional sahaja lepas ni hanya sebatas hal anak.

Selepas bercerai, dia cadangkan kami kahwin semula. PJJ pun takpe asalkan aku kembali jadi isteri dia. Dia kata dia dah sedar silap dia. Dia dah takde dah impian nak bini 4. Bini 1 pun cukup dah. Aku? Aku tak seen je wassap dia tu. Aku cuma wassap dia perihal anak sahaja.

Alhamdulillah dia bapa yang sangat bertanggungjawab. Aku bersyukur kerana masih ada kebaikan dari dia. Tak kurang kasih sayang pada anak. Cukup segala makan pakai keperluan anak.

Aku sentiasa berterima kasih pada dia sebab tak abaikan anak. Dia baik. Aku pun baik. Cuma, takdir Tuhan kata jodoh dah habis. Terima jelah takdir tu.

Aku sayang diri aku. Betul aku sayang orang. Tapi aku paling sayang diri aku. And yes, aku kekalkan gaya penampilan baru yang rambut kepok-kepok tu. Sebab aku upgrade diri aku bukan untuk dia tapi untuk aku. Aku suka tengok diri aku cantik depan cermin.

– Dr.Mira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Gaji besar, kerja professional tak de hal la nak ganyang balik ex suami yg tak guna tu. Yg lainnya tt ni dia guna otak dia. 👍 Confession lain semua drama je. Mintak pendapat bagai. Effort nak berubah illek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *