Salam sejahtera diucapkan kepada semua & terima kasih kepada admin atas penyiaran luahan ini. Mungkin penulisan ini adalah penulisan terakhir di sini memandangkan masa amat mencemburui kehidupan kita.
Ada beberapa luahan penulisan yang telah dicoretkan sebagai imbauan kenangan dan pengajaran di masa mendatang. Antara coretan yang pernah terlakar di IIUM Confession termasuklah zaman kanak-kanak, zaman remaja, dan zaman bekerja sekarang.
Cuma luahan kali ini adalah lebih kepada impian yang masih belum tercapai. Dan adakah akan berkubur atau direalisasikan oleh orang lain, tiada siapa yang tahu penyambungnya.
Sepanjang perjalanan kehidupanku sebagai orang buta, pelbagai ragam si buta yang aku perhatikan. Mata saja yang buta, tapi perangai sama macam orang celik.
Diri sendiri salah, tapi tak mengaku salah. Ego tinggi melambung. Tak hormat dan mencaci maki. Kaki mengumpat dan bergosip melaga-lagakan antara satu sama lain. Dengki mendengki. Tak boleh terima dan mula melenting untuk jatuhkan kalau orang lain lebih pandai / lebih tahu daripada dia.
Kadang-kadang kita tanya sebab tak tahu dan nak belajar cara guna aplikasi di telefon, cara guna komputer dengan suara, cara teknik urutan yang betul.
Tapi kebanyakan mereka ni kedekut nak mampus untuk kongsi dan suka berbangga dengan ilmu yang dorang ada. Anggap orang buta lain bodoh tak tahu apa-apa dan mereka akan dicari sebagai tempat rujukan konon…. Itulah antara perangai si buta yang akan selalu ada sampai bila-bila.
Tak ramai yang bersikap betul-betul profesional. Tahu bila nak bezakan emosi dan kerja. Tahu bila perlu merendah diri dan sama-sama majukan orang lain. Boleh dibilang dengan jari orang buta yang tinggi nilai akhlak berbanding yang buta bodoh sombong (maaf bahasa kasar, tapi inilah hakikat).
Pernah aku dan beberapa orang rakan yang sama-sama buta dan low vision, kami berbincang masa tu lepas tamat tingkatan 5. Duduk lepak di kedai aiskrim (lupa nama apa entah). Masa tu masing-masing beri pendapat hala tuju lepas tingkatan 5.
Ada yang kata ramai orang buta masuk universiti. Belajar diploma, degree, master PhD. Tapi tak ada kerja juga. Lepas tu masuk pusat kemahiran macam GTC dan St. Nicholas. Konon nak belajar administration, call center, body massage, reflexology. Tapi tak semua juga berhasil.
Lepas ambil kursus administration & call center pun tak ada kerja. Yang dah kerja massage pun tak tahan karenah majikan dan pelanggan. Akhir sekali, menjadi peniaga tisu yang sangat berjaya di pasar malam dan kaki lima kedai.
Umur 20an, 30an dah menjadi peniaga tisu yang berjaya. Badan sihat. Cuma mata buta. Mungkin IQ ada masalah trauma dengan kerja masa lalu.
Isu utama dalam dunia pekerjaan orang buta senang jer. Sikap orang buta sendiri yang nak mudah, stigma prejudis majikan dan masyarakat, dan tiada sokongan berterusan selain NGO buta banyak fokus kepada program entah apa-apa.
Isu ni pernah aku ceritakan dalam IIUM Confession tapi dah lupa tajuk apa laaa. Panjang lebar la jugak kitorang borak pasal isu ni. Dan sekarang masing-masing jadi orang berguna.
Kali ini penulisan terakhir aku lebih kepada sambungan apa impian kami masa perbincangan kedai aiskrim masa tu.
Memandangkan orang buta ni masing-masing ada kelebihan tersendiri ikut kemampuan, kami melihat syarikat KL Braille sebagai satu contoh yang sangat bagus membangunkan kehidupan orang buta yang lebih produktif. Sebab setakat ini kebanyakan kedai majikan orang buta lebih tertumpu kepada bidang urut.
KL Braille satu-satunya kedai majikan orang buta yang menceburi bidang berkaitan braille (maksudnya luar daripada kebiasaan). Mungkin di masa akan datang akan ada kedai / syarikat tisu untuk orang buta agaknya. Tisu muka, tisu tandas, tisu basah, tisu makan (gurau jer). Maka kami berlima pun mula melakar impian yang berbunyi begini :
Andaikan kami menyewa lot kedai di tingkat satu dengan keluasan yang agak besar. Lot kedai itu bukan sekadar ruang fizikal, tetapi simbol hasrat kami untuk menjadikan orang buta sebagai pemacu perubahan.
Dalam perancangan kami, pengurusan kedai tidak hanya tertumpu kepada seorang individu, tetapi digerakkan secara berpasukan, dibahagi mengikut kekuatan masing-masing. Setiap orang diberi peranan yang sesuai dengan tahap penglihatan dan kebolehan kendiri.
Kita si buta juga sepenuhnya bertanggungjawab dalam operasi yang tidak memerlukan visual langsung seperti urusan inventori berlabel Braille, pengurusan pelanggan menggunakan sistem audio dan khidmat nasihat produk berdasarkan pengalaman penggunaan sendiri.
Sementara itu, rakan-rakan low vision membantu bersama kami mengurus bahagian yang memerlukan sedikit input visual seperti mengatur susun atur barang, semakan stok yang memerlukan imbasan QR, atau mengemaskini sistem pembayaran atas talian.
Setiap pekerja dibimbing dan diberi latihan khusus — bukan sahaja dari segi kemahiran produk atau servis — tetapi juga penggunaan teknologi akses seperti pembaca skrin, aplikasi pembantu visual, dan sistem pengurusan maklumat berbantukan suara.
Pekerja dibenarkan bekerja secara bergilir, mengikut waktu yang fleksibel, memandangkan keperluan mobiliti dan keletihan penglihatan yang berbeza antara individu.
Kami juga bercita-cita menjadikan kedai ini sebagai tempat latihan praktikal untuk orang buta yang baru kehilangan penglihatan, agar mereka dapat membina semula keyakinan dalam suasana yang selamat dan inklusif.
Untuk aspek pemasaran, kami mengambil pendekatan digital — bukan semata-mata kerana kosnya lebih rendah, tetapi kerana ia lebih fleksibel untuk digunakan oleh orang buta.
Kami rancang promosi melalui platform seperti YouTube, TikTok, Facebook, dan WhatsApp , yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan kami sendiri.
Video promosi dihasilkan dengan skrip yang dirakam menggunakan suara sebenar pekerja buta mahupun Open AI. Walaupun tidak menggunakan visual kompleks, setiap rakaman ditekankan kepada suara yang meyakinkan, muzik latar yang menenangkan, dan cerita di sebalik produk.
Kandungan video ini kemudiannya disunting menggunakan perisian mesra pembaca skrin dibantu oleh rakan low vision atau freelancer jika diperlukan.
Di TikTok dan Facebook, kandungan dikitar semula dalam bentuk video pendek dengan kapsyen besar dan jelas, manakala audio menjadi penyampai utama. Perniagaan kami tidak bermatlamatkan simpati mahupun empati semata-mata, tetapi kualiti barangan dan perkhidmatan itu yang menjadi jaminan.
Dari sudut pemasaran, kami memilih platform digital — bukan semata-mata kerana keberkesanan kos, tetapi kerana ia lebih mesra akses bagi pengguna buta. Kami hasilkan kandungan promosi di YouTube, TikTok, dan Facebook, dengan audio sebagai elemen utama.
Skrip dirakam menggunakan suara sebenar pekerja mahupun Open AI, dan video disunting menggunakan perisian mesra pembaca skrin, dengan bantuan low vision atau freelancer jika diperlukan.
Di WhatsApp Business, kami sediakan katalog produk dengan maklumat terperinci, borang tempahan dalam bentuk pautan atau nota suara, dan sokongan automatik yang boleh dibaca oleh pembaca skrin. Label Braille digunakan bagi sesetengah produk untuk kemudahan pengguna.
Pelanggan bukan sahaja membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan, tetapi mereka juga melihat usaha ini sebagai sesuatu yang bermakna. Bagi pelanggan celik, ini merupakan pengalaman baharu yang inklusif. Bagi pelanggan buta, ia adalah ruang yang memahami dan menghargai keperluan mereka.
Akhirnya, impian ini bukan sekadar tentang perniagaan. Ia tentang membina sebuah komuniti yang menyokong satu sama lain — tempat menambah kemahiran diri, tempat menghargai manusia dan peluang, dan tempat untuk bangkit kembali serta percaya kepada potensi diri yang buta.
Impian itu masih belum tercapai sepenuhnya. Namun, setiap langkah yang diambil ke arahnya membawa harapan baharu. Dan selagi ada yang bersedia melangkah bersama, impian ini tidak akan pernah mati.
– BuNgA RaYa The End (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit