Oh My Guru

Ini adalah coretan memori aku di alam persekolahan. Ajaibnya memori, ianya sentiasa berada di dalam hati walau jauh masa berlalu, walau cuba untuk dilupa, walau memori baru terus dicipta.

Cerita 1

Semasa sekolah rendah, aku merupakan seorang pelajar yang boleh dikategorikan cemerlang, senantiasa berada di kedudukan 10 teratas di sekolah. Kelas pertama dari darjah 4 sehingga ke darjah 6.

Semasa darjah 4, aku merupakan seorang yang pemalas dan asyik tak siapkan kerja sekolah. Maklumlah, masa aku sekolah rendah, aktiviti ko-kurikulum selalu diadakan waktu petang, sekolah di sesi pagi.

Jadi, bila balik keletihan, aku akan tidur awal. Terlupa kerja sekolah, esoknya di‘makan’ cikgu Math sampai menggigil badan.

Cikgu Math cikgu kelas aku masa darjah 4, cikgu yang paling aku takut. Dan dia terus kekal menjadi guru kelas aku sampai aku darjah 6.

Aku berubah semasa darjah 5, dengan semangat dan 2 kawan baik yang baru, aku semakin rajin. Tetapi pada guru kelas aku, aku masih budak pemalas yang sama. Persepsi yang kekal bagi dirinya. ‘Budak ini tidak ada harapan’.

Semasa darjah 6, hari pertama di kelas, cikgu membaca satu-persatu nama pelajar untuk mengambil kehadiran. Bila sampai di nama aku,

“Mohd ********”

“Ya saya, Cikgu.” aku menyahut menunjukkan aku ada di dalam kelas.

Sambung cikgu, “La… ada lagi ke budak ni dalam kelas ni, budak JAHAT ni kekadang pandai jugak.”

Aku terkejut. Budak 12 tahun mendengar kata-kata sedemikian dari seorang guru yang berumur hampir 40-an. Tak pasti sama ada cikgu sekadar bergurau atau benar-benar maksudkan begitu. Yang pasti, hati aku sakit dan sampai sekarang aku masih terasa dengan cikgu ni.

Aku tahu apa itu budak jahat. Budak jahat semasa di sekolah aku selalu dirujuk pada pelajar yang kuat melanggar disiplin, pakaian tak kemas, ponteng sekolah, melawan cikgu, suka bergaduh dan banyak lagi. Satu pun dari benda tu aku tak pernah buat.

Bayangkan, selepas aku mendengar kata-kata macam tu dari cikgu, setiap hari lepas tu aku akan fikir, meragui diri sendiri. Menilai diri aku, mencari kejahatan dalam diri aku.

Konklusi yang aku dapat dengan IQ seorang 12 tahun ialah kerana aku dari keluarga miskin, yuran sekolah sering lambat bayar, jamuan kelas tak pernah join (sebab jamuan selalu di KFC, dengan yuran penyertaan RM10, satu nilai yang sangat besar bagi family aku). Nampak bodoh kan? Tapi tulah yang aku rasa masa tu.

Kawan sekelas yang kaya siap boleh melawak dengan cikgu, sembang-sembang macam kawan, tapi aku selalu dilayan dengan muka garang dan masam.

Tapi jangan risau, dengan pemikiran kanak-kanak 12 tahun, cukuplah kawan-kawan sekeliling yang baik dan ceria, cukup untuk aku menikmati zaman sekolah rendah aku dengan indah. Alhamdulillah.

Apa yang aku nak sampaikan dari cerita ini adalah satu pengajaran kepada kita semua manusia, terutamanya guru-guru.

Ramai kawan aku sekarang ni sudah start posting di seluruh pelusuk tanah air. Ada yang dihantar ke pedalaman. Merekalah harapan aku untuk mendidik generasi akan datang. Mendidik pemuda-pemudi yang akan membawa rahmat ke seluruh alam. InsyaAllah.

Pesan aku satu, fikirlah berkali-kali sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata kepada anak-anak murid anda. Pada anda, ia hanya sekadar perkataan, tetapi bagi murid tu ianya merupakan ‘indictment’. Pemutus semangat. Pemusnah harapan.

Aku tidak berdendam dengan cikgu tu, lebih kepada “forgive but never forget”. Mungkin dengan kata-kata cikgu tu buat aku lebih berusaha untuk mencapai impian. Untuk membuktikan bahawa aku tak jahat.

Alhamdulillah sekarang aku melanjutkan pelajaran di luar negara dalam bidang kejuruteraan. Akan pulang.

– BroMechanical (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *