Nama aku biarlah dirahsiakan.
Aku tak pernah sangka…
Aku cuma nak belajar agama.
Aku cuma nak kenal Tuhan dengan lebih dekat.
Dan dia, Ustaz M, seorang guru agama yang disegani, menawarkan jalan itu.
Setiap minggu aku hadir kelas pengajian tasawufnya. Hati aku lapang. Aku percaya, dia benar-benar ikhlas.
Dia bercakap tentang jalan mengenal Tuhan, redha, sabar, jiwa yang tenang. Kata-katanya menusuk ke hati.
Tapi rupanya… pandai agamanya, belum tentu paling bersih jiwanya.
Satu pagi, dia WhatsApp aku. Tanya tentang hal peribadi.
Awalnya aku rasa pelik. Tapi aku jawab juga. Hormat aku pada seorang guru.
Tak lama selepas itu, dia mula panggil aku dengan nama yang sangat peribadi, nama yang hanya segelintir orang tahu.
Aku rasa tidak selesa. Tapi… aku diam.
Dia tanya aku sihat atau tidak. Katanya dia nampak aku semalam, nampak letih.
Memang waktu tu aku kurang sihat, fizikal dan emosi.
Lalu dia balas:
“Biar ustaz bantu.”
Aku fikir, bantu dari jauh. Doakan ke, beri nasihat. Tapi bila dia ajak berjumpa, aku setuju.
Entah kenapa, aku terlalu percaya.
Dia beri lokasi. Katanya senang kalau buat rawatan di sana.
Aku ingat isterinya akan ada. Tapi… aku silap.
Bila aku sampai, hanya aku dan dia.
Dan Tuhan.
Dia masuk ke dalam kereta aku. Duduk di sebelah.
Katanya, “Rawatan sekejap je. Di sini pun boleh.”
Aku diam. Jantung aku berdegup. Tapi aku masih tak syak. Mungkin sebab aku tak pernah bayangkan akan ada ustaz yang sanggup…
Rawatan bermula. Kononnya.
Dia letakkan tangan di belakang badan aku. Katanya nak buang angin jahat.
Tapi perlahan-lahan, tangannya bergerak ke bahagian depan.
Aku membatu.
Aku tak bersuara. Tak menjerit.
Bukan sebab aku setuju. Tapi sebab aku… takut.
Sangat takut.
“Ustaz tahu apa ustaz buat.”
Tak ada satu ayat ruqyah pun aku dengar. Tak ada doa.
Yang ada cuma nafsu yang bertopengkan amal soleh.
Dia paksa aku pandang mata dia.
Bila aku tunduk, dia tarik dagu aku.
“Pandang ustaz, biar ustaz betulkan semua beban tu…”
Dia usap pipi aku. Tangan dia bergerak ke muka.
Suara dia lembut, suara yang dulunya aku hormat, kini jadi suara yang aku benci sampai ke tulang sumsum.
“Tenang…” katanya.
Tapi apa yang tenang, bila hati aku menjerit, tubuh aku menggeletar, dan jiwa aku retak berderai?
Dia pegang tangan aku erat. Lama. Nafas dia makin dekat. Tubuh dia makin hampir.
“Masih berdebar dengan ustaz?”
Aku geleng.
Sebab aku tak tahu nak kata apa lagi.
Aku cuma nak cepat-cepat keluar. Lari dari mimpi ngeri ini.
Dan sebelum aku sempat buat apa-apa, dia buka satu lagi pintu:
“Padam semua chat kita tadi. Mesej-mesej tu.”
Aku tanya kenapa.
“Nanti orang salah faham. Kita jaga aib… aib kita berdua.”
Aib? Aib siapa yang kau maksudkan?
Aku cuba menolak. Tapi dia paksa. Suara dia berubah. Tajam. Mendatar.
Akhirnya aku padam.
Dan kemudian dia kata:
“Jangan cerita pada sesiapa. Ini antara kita. Kalau cerita, aib ni terbuka. Awak pun kena.”
Aku hanya mampu tunduk. Rasa bersalah yang dia tanam, mula tumbuh dalam hati aku.
Selepas itu aku pulang. Diam.
Aku tak menangis, sebab aku terlalu kosong.
Tapi cerita ini belum habis.
Malam hari kejadian tu… waktu semua orang tidur, dia mesej aku lagi.
“Suami mana?”
Aku jawab, “Dah tidur.”
Dan dia balas:
“Nisa (bukan nama aku) selesa dengan ustaz pagi tadi?”
Aku terdiam. Telefon jatuh dari tangan aku.
Dada aku sesak. Tangan aku menggigil.
Air mata tak berhenti.
Dan masa tu… aku sedar, aku baru saja diperdaya oleh seorang yang pakai nama Tuhan untuk cabuli tubuh dan jiwa aku.
Dan lebih pedih… aku tak mampu cerita pada sesiapa.
Sampai hari ini, aku tak mampu hadiri mana-mana majlis pengajian yang dipimpin lelaki. Aku trauma.
Aku takut.
Dan aku tahu… aku bukan satu-satunya.
Hari ini aku bersuara bukan untuk buka aib, tapi kerana aku tak mahu ada lagi wanita yang dikhianati oleh lelaki bertopeng agama.
Yang mempergunakan nama Tuhan untuk memuaskan nafsunya.
Kalau kau rasa marah…
Bantu aku lindungi yang lain.
Sebab sesungguhnya… yang paling bahaya bukan syaitan, tapi manusia yang menyerupai wali.
– Aku (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit