Anjing Kurap

Beberapa hari lepas, Abang Long panggil kami semua adik-beradik berkumpul. Katanya, pakcik telefon katanya ayah sekarang dah jadi gelandangan.

Dia gigih cari ayah, selalu intip ayah tidur di mana, rutin harian dia macam mana. Tak ada rumah, tak ada kerja.

Pakcik dah lama cari, sebab ayah langsung tak pulang ke kampung, tak contact adik-beradik, macam hilang ditelan bumi.

Nak cari nombor Abang Long pun susah. Tapi dapat juga akhirnya, sebab abang long aku ni agak famous juga dekat social media, mungkin anak-anak pakcik pun menolong.

Dan bila akhirnya dapat… kami pula yang dicari? Nak tergelak rasa hati ini.

Waktu berkumpul tu, rumah sunyi. Tak ada suara. Muka masing-masing kosong, beku. Adik bongsu aku angkat punggung terus salam along tanpa kata apa-apa, terus masuk bilik.

Aku tengok Abang Long termenung. Mungkin dia tengah ingat balik kenangan 15–16 tahun lepas. Mana mungkin lupa?

Waktu tu kami lima beradik.. tiga lelaki, dua perempuan. Yang abang long dah habis sekolah, yang lain sekolah menengah dan rendah, yang bongsu baru umur 3 tahun.

Dan kami semua… dihalau dari rumah oleh ayah sendiri.

Puncanya? Ayah kantoi kahwin lain. Tapi bukan minta maaf. Bukan cuba jelaskan. Dia campak semuanya. Ibu. Anak-anak. Rumah tangga. Semuanya dibuang macam tak ada nilai.

Waktu dihalau, kami tak ada apa-apa. Baju sekolah pun tak sempat ambil. Buku, dokumen penting semua tertinggal. Yang kami ada cuma satu sama lain. Mujur ada Paksu dan Maksu yang uruskan masa tu. Kalau tak… entah ke mana kami pergi.

Dan kami tak lupa bagaimana kami dihina. Teringat masa Along cakap, “Ayah, jangan, ayah jangan…” Tapi ayah sepak Along. Lepas tu dia cakap kami macam anjing kurap. Seolah darah yang mengalir dalam badan kami ni jijik sangat. Tak berharga.

Kotor sebab ibu kami tak bekerja, tak cantik, sibuk ke sana sini dengan 5 orang anak. Sebab mak hari-hari basah kuyup dengan kerja rumah dan jaga kami. Sampai kami anak-anak manusia pun dianggap seperti anjing kurap.

Isteri barunya pula? Dia bakar semua baju kami. Tak tinggalkan sehelai pun. Ni maksu yang cerita, katanya suruh ambil apa yang nak ambil tapi bila tanya mana baju anak-anak, bini muda kononnya membakar sampah di belakang rumah.

Maksu ternampak lencana nama dan baju-baju kami. Dia sendiri menangis tengok, dan tak terasa nak berhubung lagi. Lebih baik dia tolong beli baru sahaja. Sehina itu.

Nafkah? Tak pernah muncul. Maaf? Tak pernah datang.Dan sekarang… bila hidup dia runtuh, kami pula dicari?

Kami tertanya juga macam mana dia boleh jadi gelandangan? Bukan ke dia yang pilih hidup baru? Bukan ke dulu dia bahagia? Tak perlu tanggung lima orang anak jijik ni? Bebas. Ada isteri baru, anak-anak baru. Rumah besar.

Tak pernah sekali pun kami terlintas nak cari siapa perempuan itu, macam mana dan bagai mana. Kami 6 beranak move on. Bergerak seperti angin, meneruskan hidup, diorang tu macam mati. Ingatan kami ni macam dihentak dihempuk dengan batu tu tiba tiba lupa.

Jadi sekarang… mana semua tu?

Mana perempuan yang dulu dijulang?

Mana anak-anak yang kononnya lebih berharga dari kami?

Dan paling ikhlas aku nak tanya…

Tak boleh ke hubungan ni lenyap terus? Sampai akhirat? Perlu ke masih ada kaitan kami dengannya… walaupun di alam sana nanti?

Rasa nak tukar nombor terus. Nak padam semua media sosial. Jangan sampai LinkedIn aku pun mereka cari. Aku dah letih. Letih dengan luka lama yang tak pernah betul-betul sembuh. Letih dengan cerita yang tak sepatutnya diulang.

Dan sebenarnya, nama “ayah” tu dah lama lenyap dari hidup kami. Dalam doa kami, dalam fikiran kami dah tak wujud. Yang kami tahu, kami ada ibu, dan kami ada ayah tiri yang lebih dari cukup.

Seorang lelaki yang hadir dalam hidup kami bukan kerana wajib, tapi kerana kasih. Yang tak pernah tinggi suara. Tak pernah hina. Tak pernah soal.

Dan waktu kami tahu dia menghidap kanser darah… kami mula berbicara perlahan, tentang satu hari nanti… kalau abah tiada. Rumah jadi sunyi.

Dan ayah kandung kami? Dalam solat jemaah, kami baca doa… dan nama dia tak pernah disebut lagi. Terlalu perit. Terlalu berat.

Dan sekarang, pakcik telefon bertalu-talu. Minta kami tolong. Katanya ayah tak ada siapa. Kenapa tidak dia yg uruskan dan campak sahaja la kemana mana rumah orang tua. Memang kami tak nak!

Tapi kami bukan tempat dia datang bila hidup dia kosong.

Kami bukan pelampung yang dia cari bila dia tenggelam.

Kami bukan kejam. Tapi kami manusia biasa yang dah terlalu lama berdarah.

Kami cuma nak hidup… tanpa dihantui masa lalu. Yang telah menjadi anjing kurap biar lah dia tidur dimana dia mahu, makan apa yang dia ada.

Kalau ada yang terasa dengan luahan ini, aku nak khabar kan yang luka kami sepatutnya jangan dibuka dan ditanya lagi!

– Senja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. saya baca dengan air mata… sedihnya perasaan anak2…
    didoakan yang terbaik untuk anda sekeluarga..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *