Terima kasih kepada admin yang sudi menerima confession ini.
Aku bukan budak IIUM, cuma pembaca setia page ini. Aku pun pelajar macam korang semua. Dari Form 1 sampai lah belajar di universiti memang tinggal di asrama. Banyak kisah seram yang aku nak kongsi.
Kisah pertama tentang makcik bongkok. Biasa lah, dekat asrama malam-malam kita rasa lapar, rasa dahaga.
Nak dijadikan cerita, pada satu malam tu dalam pukul 2 pagi, aku rasa dahaga sangat. Stok-stok air aku dan member-member pun dah habis.
Nak buat macam mana, aku terpaksa lah turun bawah isi air. Ambil 80 sen dalam dompet terus aku turun sorang-sorang.
Roommate semua belum tidur, tengah main game, biasa lah lelaki kan. Malam tu memang gelap, lampu koridor dengan lampu tangga semua tak menyala. Aku tak ada lah takut gelap, cuma rasa sejuk-sejuk macam tu lah.
Dah sampai hujung koridor, aku pun mula lah turun tangga. Aku tinggal dekat aras 4.
Aku turun perlahan-lahan sebab tak nampak sangat tangga.
Baru saja turun sampai dekat tengah tangga antara aras 4 dengan aras 3, aku nampak sesuatu macam lembaga hitam dekat hujung dinding belah kiri.
Benda tu kecil sikit dari aku dan berada dalam keadaan rukuk. Aku tercengang tak boleh gerak.
Serius terkejut weh, kerana bila aku tengok betul-betul, rupanya dia makcik tua yang bongkok. Mata dia merenung tepat ke mata aku. Jarak aku dengan dia memang dekat, tak sampai satu depa pun.
Walaupun gelap, aku masih dapat tengok dia dengan jelas, mungkin sebab terlalu dekat. Dan yang paling aku takut ialah bila kepala dia bergerak sedikit ke kiri dan ke kanan.
Betul lah orang cakap, bila dah terkejut memang segala jenis ayat mesti lupa, takbir pun dah tak boleh nak sebut.
Terkaku dalam 3–4 saat. Memang aku tak percaya apa yang aku lihat.
Aku cuba pejam mata dan terus berpaling ke arah atas dan lari sekuat hati. Lari naik ke aras 4 dan masuk terus ke dalam bilik.
Aku tak cerita dekat sesiapa sebab aku sendiri masih lagi tak percaya dan aku tak nak takutkan roommate aku.
Inilah kisah yang aku masih tak boleh lupakan. Banyak lagi kisah, tapi nantilah bila aku ada mood.
– Aku seorang lelaki (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit